Saturday, February 5, 2022

PENERAPAN NILAI DIRI SEORANG MELAYU

 



PENERAPAN NILAI DIRI

Antara penerapan yang bakal ditanamkan dalam diri seorang dewasa di negara kita ini adalah seperti berikut ;

- Penerapan Ugama
- Penerapan Bangsa
- Penerapan Sifat dan Sikap
- Penerapan Akademik
- Penerapan Seni, Kemahiran dan lain-lain.

Penerapan-penerapan inilah yang bakal masuk ke dalam diri seseorang individu itu dan bakal menjadi prinsip pegangan hidup. Ia bergantung kepada didikan, pendedahan, pengalaman dalam sedar atau tidak seseorang itu. Perbezaan penerapan antara satu orang dengan orang yang lain selalunya menimbulkan perselisihan. Baik adik beradik mahupun suami isteri. 

Di negara ini hanya penerapan nilai akademik dijalankan dengan sistematik dan berstruktur tetapi penerapan yang lain terbentuk dalam diri secara tidak formal dan spontan. Adapun penerapan nilai ugama juga ada yang sistematik bagi mereka yang belajar di sekolah-sekolah ugama namun jumlahnya sedikit. Mungkin juga penerapan nilai ugama yang berstruktur, tersusun dan terancang tidak ditekankan di negara ini disebabkan oleh isu politik.

Sebagai analogi dalam diri kebanyakan kita, pengisian dalam diri kita umpama cebisan-cebisan jigzaw puzzle yang sebahagiannya tersusun dan sebahagian yang lain dalam keadaan yang berterabur. Bahagian yang tersusun itu ialah dari aspek akademik dan yang berterabur itu adalah dari aspek yang lainnya. Dalam aspek akademik kita dia diajar dari membaca, menulis dan mengira. Matapelajaran Matematik umpamanya dipelajari secara berperingkat-peringkat mengikut silibus yang telah disediakan bermula dengan mengenali nombor kecil hinggalah ke nombor yang besar. Seterusnya mempelajari peratusan, pembahagian, perpuluhan dan sebagainya mengikut tahap pembelajaran.

Bagi aspek penerapan nilai yang lain ia tidak dijalankan dengan cara yang sedemikian tetapi ia terpulang kepada sistem didikan di rumah. Anak yang dididik dari aspek perniagaan boleh jadi akan menjadi peniaga bila ia besar kelak, anak pendidik contohnya guru dan pensyarah selalunya akan cemerlang dalam akademik, anak ahli sukan akan mendidik anaknya bersukan dan begitu jugalah seterusnya. Pun begitu ada juga keadaan dimana sibapa adalah seorang ahli perniagaan tetapi tidak mendidik anak-anaknya berbuat demikian hinggakan anak itu memilih untuk mencari kerjaya dalam bidang penggajian.

Sebenarnya kita perlu pelajari semua ini sebelum ia menetap dalam diri. Namun demikian tidak dinafikan ada orang yang diberikan taufik dan hidayah tanpa perlu pengisian dalam diri. Walaubagaimanapun kita bukan seperti para Nabi dan Rasul yang dikurniakan dengan ilmu pengetahuan secara terus ke dalam hati mereka hinggakan mereka boleh menceritakan tentang sejarah masa lampau mahupun apa yang akan terjadi di masa akan datang secara tepat.  

Sebagai manusia biasa kita akan hanya tahu kepada perkara yang pernah didedahkan kepada kita, kalau ia tak pernah didedahkan pastinya kita tak akan tahu mengenainya. Ada orang lebih penerapannya dalam bidang seni dan kemahiran, ada orang lebih kepada akademik, ada orang lebih kepada ugama dan sebagainya. Tanpa disedari sebenarnya perbezaan penerapan nilai dalam diri inilah yang selalu menyebabkan ketidakfahaman dalam perhubungan antara dua insan. Jawapan kepada persoalan ini akan dihuraikan dalam topik-topik yang mendatang.

Kalau dalam buku-buku yang lalu saya telah huraikan mengenai penerapan sikap, kaedah menangani masalah, penerapan nilai dunia dan akademik, topik-topik ini pula menumpukan kepada cebisan-cebisan pengisian ugama yang berterabur dari dalam diri kebanyakan kita dan dengan izin Allah cuba untuk disusun semula dengan cara yang terancang, tersusun dan teratur agar kita sama-sama dapat mengenali diri dan Allah Taala dengan lebih dekat lagi.

PERBEZAAN PENERAPAN NILAI DIRI

Dalam isu penerapan nilai diri ini, ada orang yang tinggi kelayakan akademiknya kerana mereka belajar hingga ke peringkat PhD dan menjadi seorang professor contohnya sedangkan ada orang kelebihannya adalah dalam bidang seni dan kemahiran hingga mereka boleh menjadi artis, penyanyi, pelukis dan sebagainya.
Apapun yang kita usahakan dalam apa juga bidang sekalipun akan menjadikan diri kita pandai dan pakar mengenainya namun demikian pada masa yang sama kita akan menjadi pakar dalam bidang yang tertentu tetapi bukan pakar dalam bidang yang lainnya berdasarkan penerapan kehidupan yang kita lalui itu.

Cuba tanya diri anda sendiri berapa banyakkah penerapan-penerapan yang ada dalam diri anda sendiri?

- Penerapan Ugama
Adakah anda punya pengetahuan yang mendalam dalam aspek ini lantas menjadikan kita orang tinggi akhlaknya?

- Penerapan Bangsa
Adakah anda tahu mengenai adat istiadat, budaya dan pantang larang secara menyeluruh?

- Penerapan Sifat dan Sikap
Adakah kita faham semua sikap dan sifat yang menjadi norma kehidupan bermasyarakat dan dapat melaksanakannya dengan baik? 

- Penerapan Akademik
Adakah kita belajar ke peringkat PhD dan dapat menyumbang kepandaian kita kepada masyarakat?

- Penerapan Seni
Tahukah kita melukis, menari, berlakon, melawak, menyanyi dan sebagainya.

Persoalan-persoalan ini sebenarnya akan menyebabkan kita berfikir sejenak akan penerapan-penerapan yang ada dalam diri kita sendiri. Bukankah ini menunjukkan yang kita dilahirkan serba kekosongan dan penerapan semua aspek ini datang memasuki diri kita kemudian satu persatu.

Mungkin juga kita terlalu sibuk menjalani kehidupan seharian hinggakan kita tiada masa untuk duduk menggunakan akal dan berfikir sejenak mengenai semua ini. Sedangkan kita sebenarnya berbeza dengan makhluk yang lain di mukabumi ini oleh sebab kurniaan akal. Alasannya mungkin bukan kita tak mahu berfikir tetapi kita terlalu sibuk dengan urusan harian hinggakan kita tak punya masa untuk berfikir.

Tidak mengapalah, itu soal lain. Mari kita balik kepada soalan yang saya ajukan tadi.

Saya bertanya demikian kerana saya pernah terbaca kisah Pak Imam yang ditangkap khalwat, kisah homoseksual, kisah murtad, kisah budak genius menjadi penagih dadah mahupun pelacur, kisah penyanyi yang bercerai berai dan sebagainya. Apa masalah mereka dan apakah penerapan nilai diri mereka sebenarnya?

Dalam satu kes yang saya kendalikan saya pernah bertemu dengan seorang yang mempunyai sifat yang begitu kedekut dan berkira hingga menyebabkan penceraian. Adakah ini sifat kedekut ini sifat baik yang diterima dalam norma masyarakat. Saya yakin tidak tetapi penerapan sifat inilah yang sebenarnya menetap dalam dirinya menjelang dewasa.

Kemudian dalam banyak kes, ramai yang merasakan yang dirinya serba pandai, serba lengkap, serba tahu hingga tak mahu mendengar nasihat / belajar dari orang lain walhal penerapan nilai diri mereka dalam banyak aspek berada dalam peringkat yang rendah.

Jadi bagaimanakah semua penerapan dalam ini sebenarnya boleh terbentuk?

Mungkin konsep 4P yang telah saya kemukakan dalam bab yang terdahulu akan dapat membantu.

Faizal Yusup Al Haj
0166667430
Minda Akhirat
Hidup Kena Cool, Hati kena Mulia...

PS - Sekiranya anda membaca semua 70 bab dalam blog Minda Akhirat ini mengikut tertib dan susunannya saya percaya sesuatu akan berlaku di dalam hati anda dengan izin Allah Taala. Ia akan membawa kebaikan yang banyak dalam hidup anda. Percayalah. Kalau anda tak percaya, bacalah!

PSS - Anda juga boleh menonton semua pengisian ini dalam bentuk video di Instagram Minda_Akhirat. Layari ;

No comments:

Post a Comment