KEMULIAAN MAKHLUK
Seterusnya mari kita buat analisis dari segi kemuliaan makhluk pula. Saya tidak berhasrat menceritakan tentang makhluk seperti api, pokok dan lain-lain ini kerana makhluk-makluk ini tidak boleh bergerak, dengan tugas dan fungsinya minimal. Makhluk-makhluk ini hanya menjalankan tugas-tugas yang tertentu sahaja patuh mengikut perintah Allah Taala. Begitu juga dengan makhluk emosi seperti bosan, kecewa, gembira, bangga dan sebagainya kerana mereka juga makhluk yang hanya patuh dan menjalankan khidmat tanpa soal.
Kalau kita cerita tentang penciptaan rokoklah katakan, rokok yang dicipta daripada daun tembakau itu. Rokok bukannya boleh bergerak tetapi manusialah yang mengambil rokok tersebut meletakkan rokok sebut ke bibirnya dan kemudian menyalakan api untuk memasang lantas menghisap rokok tersebut. Rokok, makhluk yang hina tetapi dimuliakan oleh manusia, diletakkan di atas kepalanya dan bukannya di tempat yang sepatutnya. Malah ada perokok tegar yang menyatakan yang mereka tidak boleh berfikir kalau mereka tidak menghisap rokok.
Dalam gambarajah ini, binatang ada yang jantan dan ada yang betina, ia dicipta Allah dengan naluri. Tidak mempunyai akal, mempunyai ciri seperti makan, minum, tidur dan menjalankan hubungan seks. Binatang juga tidak menjalankan ritual seperti solat mengaji, puasa dan sebagainya, setakat buku ini ditulis kita belum pernah lagi nampak lembu berduyun-duyun pergi ke masjid untuk menjalankan solat Jumaat. Binatang juga tidak nasihat menasihati, bergotong royong, berpersatuan dan sebagainya.
Jadi dalam carta ini saya letakkan binatang berada di kelompok yang paling bawah di antara kolompok-kelompok makhluk yang ada.
Kelompok di atasnya ialah makhluk Malaikat. Kalau kita lihat malaikat bukan macam binatang. Ia adalah makhluk yang dicipta Allah Taala untuk fungsi yang berbeza. Tidak seperti binatang, malaikat tiada jantina, tiada jantan yang tiada betina, ia juga tidak makan tidak minum yang tidak menjalankan hubungan seks, mereka tidak kahwin dan mereka tidak mempunyai anak cucu dan cicit. Makhluk ciptaan Allah bernama malaikat ini ditugaskan untuk patuh dan taat menjalankan apa juga yang Allah perintahkan.Dalam hal ini malaikat punya tugasnya masing-masing, seperti yang kita tahu, malaikat Mikail contohnya ditugaskan untuk menyampaikan rezeki, malaikat Israfil ditugaskan untuk meniup Sangkakala, ada juga malaikat yang khas untuk solat untuk bertahmid dan bertahlil kehadrat Allah Taala. Apa yang pasti mereka tiada naluri, mereka tiada nafsu dan tiada akal seperti manusia, mereka tidak diberi pilihan, mereka hanya menurut perintah Allah Taala terhadap apa yang ditugaskan.
Dalam gambarajah ini saya meletakkan status malaikat lebih tinggi daripada binatang.
Seterusnya manusia. Makhluk manusia ini juga berbeza kalau dibandingkan dengan makhluk binatang dan malaikat. Ini kerana manusia sama macam binatang makan minum tidur berhubungan dan sebagainya, manusia juga sama macam malaikat diperintahkan untuk patuh kepada Allah Taala untuk menjalankan ritual seperti puasa, solat, berzikir dan sebagainya.
Bezanya ialah manusia dikurniakan akal juga dikurniakan nafsu dan diberi pilihan untuk memilih yang mana jalan yang Haq dan mana satu yang Batil.
Kalau kita fikirkan makhluk Jin juga berada dalam kurang lebih rangkuman yang sama, cumanya ia makhluk ghaib yang dicipta dari api, Ia makan minum tidur berhubungan beranak pinak dan sebagainya. Jin juga diberikan Allah pilihan untuk memilih sama ada untuk menjadi makhluk yang memilih Islam atau sebaliknya. Namun demikian perlu diketahui yang makhluk jin hirakinya tetap berada di bawah makhluk manusia dari segi kemuliaan. Ini kerana jin juga belajar dan menganut Islam dengan Nabi Muhammad S.A.W dan bukan sebaliknya.
Pun demikian harus diingat kemuliaan manusia ini hanya dikira apabila dia menerima Ugama islam sebagai ugama pegangannya lantas beriman dan beramal soleh kepada Allah Taala. Dalam hal ini sekiranya seseorang manusia itu, hidupnya cuma makan minum, tidur, sex dan berhibur adalah lebih baiklah dia jadi binatang dan jangan jadi manusia. Kemudian sekiranya seseorang manusia itu menghabiskan masa hanya berzikir kepada Allah Taala setiap saat dan setiap masa tanpa buat apa-apa kerja yang selain dari itu maka eloklah dia menjadi malaikat. Dalam hal ini, seorang manusia mestilah melakukan kerja-kerja yang lain seperti berinteraksi bantu-membantu bergotong-royong nasihat-menasihati dan sebagainya. Semua ini tidak dijalankan atau tidak dilakukan oleh Malaikat mahupun Binatang. Inilah membezakan kita manusia kalau dibandingkan dengan makhluk-makhluk yang lain. Semua yang kita lakukan Itu sekiranya dilakukan dengan ikhlas kerana Allah Taala maka kita akan mendapat ganjaran darinya dan InshaAllah ianya dikira sebagai ibadah yang diredai Allah Taala.
Jadi makhluk apakah yang lebih tinggi daripada manusia dari segi kemuliaannya. Tak lain dan tak bukan ianya adalah para Nabi dan Rasul. Mereka juga manusia sama macam kita berkahwin dan sebagainya namanya membezakannya ialah mereka berdakwah menyebarkan risalah Allah. Itulah tugas yang mereka jalankan dan tugas menyebarkan agama Allah inilah yang membawa ganjaran yang paling besar.
Jadi sebagai manusia sekiranya kita ingin mendapat ganjaran atau kemuliaan yang terbesar ini maka adakah kita menjalankan usaha-usaha dakwah iaitu usaha menyebarkan syiar Islam. Ini kerana sekiranya tiada lagi menyampaikan syiar Islam maka agama Islam takkan lagi berkembang dan mungkin itu tanda-tanda dimana dunia akan kiamat. Ini kerana pada zaman ini tiada lagi para Nabi dan para Rasul yang akan muncul bagi menjalankan usaha-usaha dakwah ini sehinggalah munculnya Imam Mahadi dan turun kembali Nabi Isa A.S. menjelang hari Kiamat nanti.
Kesimpulan dari topik ini ialah fahamilah yang diri kita sebagai manusia sekiranya kita beriman dan beramal soleh kepada Allah Taala maka kita berada dalam kedudukan kemuliaan yang tinggi. Kita manusia hakikatnya lebih mulia dari malaikat, jin, binatang serta makhluk-makhluk yang lainnya. Jadi janganlah meletakkan makhluk-makhluk yang di bawah itu di atas kepala kita sedangkan mereka jauh lebih hina dari kita sendiri.
Faizal Yusup Al Haj
0166667430
Minda Akhirat
Hidup Kena Cool, Hati kena Mulia...
https://mindaakhirat.blogspot.com/
PS - Sekiranya anda membaca semua 70 bab dalam blog Minda Akhirat ini mengikut tertib dan susunannya saya percaya sesuatu akan berlaku di dalam hati anda dengan izin Allah Taala. Ia akan membawa kebaikan yang banyak dalam hidup anda. Percayalah. Kalau anda tak percaya, bacalah!
PSS - Anda juga boleh menonton semua pengisian ini dalam bentuk video di Instagram Minda_Akhirat. Layari ;
No comments:
Post a Comment