MANGGA YANG CANTIK KULITNYA
“Facade” ini adalah perkataan bahasa Perancis yang bermaksud Luaran ataupun Permukaan dalam Bahasa Melayu. Saya menggunakan perkataan ini kerana saya tidak bertemu dengan makna yang sesuai untuknya dalam Bahasa Melayu di dalam kamus. Apapun saya yakin penerangan yang bakal saya titipkan akan menjelaskan maksud saya berkenaan dengan isu ini.
Ia diibaratkan seperti sebuah rumah yang kelihatan begitu cantik dari luarnya. Struktur binaannya begitu halus siap dengan pagar batu, rumput karpet dan sebagainya. Sebuah kereta berjenama diletakkan di anjung hadapan rumah tersebut. Dari mata kasarnya kita mengatakan yang segala yang baik tentang pemilik rumah tersebut.
Masalahnya bila kita masuk ke dalam rumah tersebut keadaannya bersepah, penuh dengan sampah sarap langsung tidak berkemas. Keluarga mereka sebenarnya hidup dalam porak peranda dan dibelenggu hutang.
Inilah contoh yang terbaik yang dapat saya huraikan bagi menerangkan topik ini. Dalam hal kemanusiaan orang yang “facade” ini hanya mahu menunjukkan apa yang gah di luar tetapi menyorokkan segala kelemahan mahupun kekotoran yang ada di dalamnya. Seumpama buah mangga yang cantik dan wangi di luar tetapi busuk dan berulat di dalamnya.
Ada yang sanggup berhabis-habisan untuk menunjukkan status mereka kepada yang ramai. Dari pakaian dan perhiasan diri, telefon bimbit, kereta dan rumah semuanya yang canggih dan berjenama walhal belum sampai cukup bulan kantung mereka dah kosong. “Biar papa asal bergaya”. Kata mereka. Mereka juga sanggup meminjam hak orang lain semata-mata untuk menayang dan menunjuk-nunjuk kepada orang lain.
Contohnya di zaman bujang ada yang sanggup membeli minyak wangi dan pakaian yang mahal, malah sanggup untuk meminjam duit dan pakaian rakan hanya untuk keluar ber”dating” dengan kekasih hati dan makan di restoran yang mahal.
Bagi yang senang pula mereka berbuat demikian untuk menayangkan kemewahan yang mereka. Semua penerapan ini sebenarnya bermula dari Barat yang di war-warkan melalui media massa mereka. Dalam lain perkataan mereka menunjukkan dalam filem-filem mereka betapa kekayaan itu sesuatu yang dipandang tinggi. Mereka menunjukkan kereta, rumah dan barang-barang mewah yang lainnya dan kemudiannya diikuti oleh semua bangsa di seluruh dunia. Orang Vietnam, Cina, Malaysia malah Iraq sekalipun yang hidup dalam serba kekurangan dan kesederhanaan pada awalnya bila keadaan ekonominya meningkat akan mengikut cara kebaratan ini. Mereka sanggup berhutang dan bergolok gadai untuk menujukkan status mereka walhal sebenarnya mereka dalam hutang yang menimbun.
Lebih ekstrim lagi kita dapat lihat orang tua kaya yang berkahwin dengan seorang perempuan muda yang cantik. Perempuan cantik dan muda ini dinamakan “isteri piala” seperti yang dilakukan oleh Donald Trump hartawan hartanah Amerika Syarikat. Kemudian ada yang menampakkan kebahagiaan dalam perhubungan kekeluargaan namun pada hakikatnya penuh dengan masalah. Mereka menampakkan kasih sayang dengan berpelukan di hadapan mata yang yang melihat namun di belakang mereka bagai anjung dan kucing yang tak boleh berhenti bergaduh.
Mereka ini sebenarnya adalah orang yang hipokrit, terdiri dari orang-orang yang mementingkan aspek keduniaan yang bersifat luaran semata- mata. Penerapan diri ialah untuk sentiasa kelihatan anggun dan canggih, kelihatan kaya dan mewah, merasakan yang semua orang memandang, merasakan diri lebih baik dari orang lain dan berbangga berbuat demikian dengan mengharapkan penghargaan dan pujian. Semua kelemahan akan ditutup dan menipu sekiranya perlu. Menipu dan terus menipu. Ini adalah salah satu penerapan nilai yang dianjurkan Barat melalui rancangan televisyen yang lama-kelamaan menjadi prinsip diri orang kita. Memang ia kelihatan gah dari segi luarannya tetapi hakikat sebenarnya jiwa mereka kosong. Lambat laun ia akan memakan diri sendiri.
Sikap ini bukan hanya berlaku pada peringkat individu malah menular dalam pengurusan syarikat dan digelar “window dressing” juga dalam pemerintahan sesebuah negara dan dinamakan propaganda. Ini semua adalah dakyah yang bertujuan mengabui mata orang luar yang tidak memahami lantas diperdaya / dimanipulasi.
Sebagai manusia yang merupakan kejadian yang tidak sempurna, maka adalah lebih baik kita menjadi insan yang benar, berterus terang dan ikhlas. Ini kerana kita tak perlu bersusah payah untuk menunjukkan barang yang bukan milik kita, kita tak perlu menipu untuk menunjuk-nunjuk, kita tak perlu berpura-pura untuk mendapatkan pujian mahupun penghargaan. Apa yang ada di luar itulah yang ada di dalam. Lagipun, kelemahan dan ketidaksempurnaan memang fitrah kita sebagai manusia.
Fikir-fikirkanlah..
Sesungguhnya segala kebaikan adalah dari Allah dan segala kelemahan adalah atas kekurangan diri saya sendiri. Kemaafan jualah yang saya pinta.
Bukalah pintu hati, anda pasti akan memahami. Terima kasih meluangkan masa membaca. Harap ia membawa manfaat buat anda.
Ikhlas dari,
Faizal Yusup
Pengkaji Isu Sosial
Email : greng70@yahoo.com
Facebook : Faizal Yusup
Revolusi Baru Kecemerlangan Diri!
PS - Anda suka blog ini? Tolong saya hebahkan pada semua rakan-rakan anda okay? Ada banyak manfaat untuk semua InsyaAllah.
Terima kasih…
No comments:
Post a Comment