Thursday, October 13, 2011

Video - Kelebihan Makhluk Allah - Sotong Ajaib

Amanah Dari Allah Taala


Kita tahu akan amanah harta yang dipinjamkan Tuhan kepada kita. Kita akan berkata ini amanah Tuhan yang perlu dijaga dengan baik dan tidak boleh disalahgunakan. Kalau kita menjadi pemimpin juga kita tahu yang kita perlu menjalankan tanggungjawab ini dengan sebaiknya. Kita membuat keputusan yang terbaik untuk yang ramai. Namun tanpa kita sedari pada masa yang sama kita diamanahkan dengan kurniaan nyawa, masa, tenaga, akal, anggota, pancaindera dan lain-lain. Persoalannya, kenapa kita tidak menjaga amanah ini dan bertanggungjawab ke atasnya? Kebanyakan kita mengambil sikap sambil lewa ke atas kurniaan-kurniaan ini.

Sebagai contoh, setiap hari kita diamanahkan dengan kurniaan mata sejak kita bangun dari tidur hinggalah kita tidur semula tetapi adakah kita peka akan penggunaannya? Berapa banyak ilmukah yang dapat kita cakupi, berapa banyakkah masa penggunaannya yang kita sia-siakan, berapa banyakkah yang kita menungkan dan berapa banyakkah yang kita mengutip dosa dengan penggunaannya dalam sehari?

Setiap seorang daripada kita adalah pemimpin dalam secara sendirinya. Kita perlu memimpin kerajaan kita sendiri. Kerajaan yang saya maksudkan itu ialah jasmani, rohani dan akal. Kalau kita dapat mentadbir kerajaan ini, barulah seterusnya kita dapat mentadbir keluarga, masyarakat, agama, bangsa dan negara. Kita sebenarnya menghadapi masalah mentadbir kerajaan diri kita sendiri.

Kita juga selalu menghargai sesuatu yang kelihatan. Sebagai contoh kita menghargai jasa ibubapa kita yang membesarkan kita, kita menghargai guru-guru kita kerana sumbangan ilmu mereka kepada kita. Kita menghargai hadiah yang diberikan kawan-kawan kepada kita. Lagi besar hadiah yang diberikan lagilah kita menghargainya. Berterima kasih beratus kali. Mana tidaknya katalah saya memberikan hadiah sebuah kereta Ferrarri kepada anda bukankah anda akan berterima kasih bertalu-talu. Tetapi konsep ini tidak pula kita gunakan secara keseluruhannya.

Semasa kita lahir ke dunia, kita lengkap dengan nyawa, akal fikiran, segala pancaindera dan anggota, ditambah pula dengan pelbagai kurniaan lain seperti rezeki, tenaga, masa dan sebagainya. Kenapa tidak pula kita berterima kasih dan bertanggung jawab dalam menggunakannya?

Katalah kita dilahirkan hanya dengan badan, kepala, otak dan anggota pernafasan tanpa yang lainnya. Kemudian ia diberikan satu persatu. Mula-mula kita diberikan mata. Bukan main kita berterima kasih dan memandang semua yang ada hinggakan semut merayap pun kita perhati dengan penuh minat. Dunia yang dahulunya gelap gelita telah menjadi terang dan penuh dengan warna warni. Kemudian, diberikan pula telinga. Wah! bukan main kita berterima kasih atas pemberian kedua ini. Dunia yang senyap sunyi telah kedengaran. Habis semua benda kita nak lihat dan dengar. Begitulah seterusnya hingga sempurna sifat kita. Mungkin sekiranya manusia dijadikan melalui tertib yang sedemikian rupa barulah kita mahu menggunakan kurniaan-kurniaan ini dengan penuh tanggungjawab?

Yelah, kita pasti akan berkata begini :
“ Kau tahu dulu sebelum aku dapat mata punyalah susah, dunia gelap gelita apapun tak nampak, Syukurlah sekarang aku dah ada mata. Boleh tengok semua benda. “

Tetapi bagi yang tidak bertanggung-jawab, keadaan akan jadi sama seperti sekarang, menggunakan mata untuk melihat yang lucah, menggunakan telinga untuk mendengar yang sia-sia, menggunakan mulut untuk menabur fitnah, mencarut dan lain-lain lagi.

Kesimpulannya : Hargailah segala apa yang ada di sekeliling kita. Kerana besok ia mungkin tiada lagi.

Fikir-fikirkanlah..

Sesungguhnya segala kebaikan adalah dari Allah dan segala kelemahan adalah atas kelemahan diri saya sendiri. Kemaafan jualah yang saya pinta.

Bukalah pintu hati, anda pasti akan memahami. Terima kasih meluangkan masa membaca. Harap ia membawa manfaat buat anda.

Saturday, October 8, 2011

MEMBAWA MANFAAT KEPADA MASYARAKAT


Assalamu’alaikum..

Untuk pengetahuan semua FY merupakan anak kedua dari tiga adik beradik. Kami datang dari keluarga yang susah memandangkan awrah bapa FY Mohamed Yusup bin Haji Abdul Jamal merupakan seorang pengawal keselamatan di Universiti Malaya. Kami sekeluarga tinggal di quarters kerajaan atau lebih dikenali sebagai Kampung Awal dalam Universiti Malaya semenjak tahun 1978.

Dibesarkan dikelilingi golongan susah ini banyak mengajar FY akan erti kehidupan. Kesusahan ini juga menjadikan kami adik beradik insan-insan yang berusaha untuk keluar dari kepompong ini dan Alhamdulillah FY berjaya melanjutkan pelajaran ke peringkat diploma di UITM dengan kelulusan Diploma In Investment Analysis dan seterusnya menyambung pelajaran ke Amerika Syarikat dalam bidang yang sama. Abang FY Mohamad Ezaad bin Mohamed Yusup pula sekarang bekerja sebagai seorang Eksekutif di Arab Malaysian dan adik perempuan FY Azreen binti Mohamed Yusup pula merupakan seorang senior manager di Keretapi Tanah Melayu dan memiliki MBA.  Satu pencapaian yang baik bagi anak-anak jaga.

Semua ini disebabkan pendidikan yang baik oleh kedua ibubapa kami, yang mementingkan pendidikan ugama juga pendidikan akademik dalam kehidupan. Antara prinsip utama yang diterapkan mereka ialah prinsip membantu orang lain yang kesusahan.

Sejak dahulu lagi saya telah dididik oleh kedua ibubapa saya untuk membantu dan selagi daya membantu mereka-mereka yang memerlukan. Mungkin susurgalur keluarga yang berasal dari Johor ini memang mempunyai prinsip membantu pembangunan ummah yang begitu. Ini kerana Pak Long FY Tan Sri Dato’ Seri Abu Bakar bin Haji Abdul Jamal satu ketika dahulu merupakan General 4 bintang dalam Angkatan Tentera Laut Diraja Malaysia dan Pak Usu FY Dato’ Dr Prof. Abdul Rahman bin Haji Abdul Jamal adalah seorang Pengarah di HUKM juga merupakan Chief Scientist semasa Dato’ Dr Sheikh Muzafar astronat pertama Malaysia ke angkasa lepas.

Bila FY ucapkan tahniah kepada Pak Usu FY itu mengenai pencapaiannya, katanya – “ It’s my little contribution to the nation”. Satu ungkapan yang FY masih ingat sehingga kini.
Mungkin arwah bapa FY dulu malas belajar agaknya kalau dibandingkan dengan pencapaian adik beradiknya yang lain.  

 
(Gambar FY sekeluarga bersama Dato’ Dr Prof. Abdul Rahman bin Haji Abdul Jamal.)

Adik FY juga dewasa ini sedang menguruskan perihal membawa set-set komuter baru ke Malaysia demi untuk menyelesaikan masalah-masalah penumpang komuter yang sering kita dengar itu.

FY pula sebenarnya telah lama melakukan kerja-kerja amal ini. Ia telah bermula semenjak di zaman persekolahan lagi. Tak perlulah FY ceritakan dengan panjang lebar mengenainya di sini. Apapun FY merupakan exco dan sidang penulis dalam buletin NUMSA semasa belajar di USA dulu, merupakan AJK Surau di Kenanga demi untuk mendapatkan surau yang lebih sempurna buat kakitangan syarikat, merupakan Setiausaha Persatuan Penduduk di Pandan Indah dan sekarang di Desa Kasia pula. Malah FY telah menulis 4 buah buku motivasi dan 5 buah buku yang lainnya.

Sepanjang perjuangan ini ramailah yang menyangkakan yang FY mahukan nama, duit, pangkat dan gelaran namun lambat laun mereka akan tahu yang FY lakukan kerana Allah taala demi untuk mendapatkan keredhaanNya juga untuk pembangunan Ummah. Tak kurang juga ramai yang cuba menghalang usaha-usaha FY selama ini namun FY sehingga kini FY tak pernah mengalah kerana FY tahu Allah Taala sentiasa menyokong dan membantu mereka-mereka yang berada dalam jalan yang lurus dan benar. Semua ini berlaku kerana mereka tidak mengenali FY secara peribadi dan mungkin juga Allah Taala menutup hijab mereka hingga mereka tidak nampak apa yang sedang FY usahakan demi kebaikan ummah.

Sekarang nampaknya dengan izin Allah dan dengan ilmu dan pengelaman yang dikurniakan Allah ini telah menjadikan FY seorang remisier yang dicari sekiranya mereka ini merujuk mengenai apa-apa masalah dan merupakan seorang yang dirujuk dalam aspek pelaburan saham. Semua ini berlaku atas ketentuan Allah Taala dan FY menerima amanah ini dan akan melaksanakan tanggungjawab ini dengan sebaik mungkin bermotifkan Lillahitaala, bermotifkan ibadah. Mereka yang pernah bertemu dan bersemuka dengan FY pasti akan tahu.

Demi untuk menjalankan khidmat dengan lebih baik dalam membantu meningkatkan ekonomi ummah dalam aspek pelaburan saham ini maka FY telah mendaftar di Kasturi College untuk mengambil Chartered Financial Analyst (CFA) dengan harapan besar FY lulus demi untuk menjadikan diri FY sebagai ahli rujuk pelaburan yang lebih baik dan mantap.

Bangsa kita telah lama ketinggalan dalam bidang pelaburan saham ini dan ramai yang tidak tahu langsung mengenai pelaburan dan ini menyebabkan ramai yang rugi. Ramai yang tak tahu bagaimana mahu menilai sesuatu saham, bila untuk membeli dan menjual dan sebagainya. Semua ini memerlukan pengalaman dan pengetahuan.

Ramai yang membeli saham IPO di MITI contohnya dengan sangkaan ia akan membawa keuntungan tetapi mereka sendiri tak tahu apakah nilai saham yang mereka beli itu. Kenapa ia naik dan kenapa ia jatuh, kalau ia naik berapa banyak kenaikannya, bila untuk menjualnya, malah ada yang tak tahu bagaimana untuk membuka akaun CDS (Ini kisah benar) dan sebagainya.

Analogi dalam hal ini ialah memberi mesin jahit dan ilmu menjahit adalah lebih baik daripada memberi duit begitu sahaja. Duit itu akan habis tetapi bila diberikan ilmu duit itu akan berkembang.

Maknanya disini Pihak MITI boleh memberikan saham-saham kepada pelabur tetapi pihak MITI tak boleh malah mereka sendiri bukan ahli dalam bidang saham. Dalam hal ini remisier yang punya ilmu dan pengalaman dalam bidang pelaburan sahamlah merupakan elemen yang paling penting demi mendidik dan berkongsi ilmu pelaburan saham kepada mereka agar mereka dapat mengembangkan ekonomi keluarga mereka.

Pesan FY kepada mereka-mereka di luar sana yang sedang cuba sedaya upaya untuk menghalang FY dalam niat FY untuk membantu meningkatkan ekonomi ummah kerana Allah Taala ini sedarilah yang apa yang anda lakukan ini adalah mengikut dorongan nafsu dan mengikut hasutan syaitan. Cubalah buka pintu hati dan memahami. Kepada anda FY doakan agar Allah kurniakan taufiq dan hidayahNya. InsyaAllah.

Sekian dulu.

Fikir-fikirkanlah..

Sesungguhnya segala kebaikan adalah dari Allah dan segala kelemahan adalah atas kekurangan diri saya sendiri. Kemaafan jualah yang saya pinta.

Bukalah pintu hati, anda pasti akan memahami. Terima kasih meluangkan masa membaca. Harap ia membawa manfaat buat anda.

Tuesday, October 4, 2011

Menyampaikan Pengisian



Apapun topik ini mengingatkan saya pada kakak-kakak angkat saya di Universiti Malaya dahulu semasa kecil. Kami tinggal di kuarters yang disediakan untuk pengawal keselamatan dan kakak-kakak ini menyewa bilik di kuarters-kuarters ini. Setiap petang mereka akan duduk di hadapan tangga rumah saya dan menceritakan tentang geografi, politik geologi, sains sosial, perubatan dan sebagainya berdasarkan kursus yang mereka ambil. Saya mula mendengarnya pada lingkungan umur 8 tahun hinggalah ke 16 tahun semasa saya masuk sekolah berasrama.

Mereka inilah yang secara tak langsung bertanggung-jawab membentuk diri saya menjadi seorang yang gemar berfikir tentang kehidupan. Saya tak sedar itu dahulu tetapi pembentukan inilah yang menjadikan saya seorang yang suka mencari ilmu dan pada masa yang sama suka menyampaikan ilmu. Mungkin atas sebab inilah saya menjadi seorang penulis buku genre motivasi.

Kepada mereka saya ucapkan terima kasih walau dimana mereka berada terutama sekali buat kak Sarimah binti Lasim yang berasal dari Pasir Gudang, Johor yang belajar di Universiti Malaya antara tahun 1978 hungga 1986.

Sekarang ialah masanya untuk saya berbuat demikian kepada sesiapa juga yang saya temui dan saya harap ia akan membawa perubahan ke dalam diri mereka kelak. InsyaAllah.

Saya mahu berusaha melakukan perubahan tersebut sepertimana yang mereka lakukan pada saya dahulu. Saya ingin cuba melakukan perubahan tersebut sebagai tanda terima kasih saya kepada mereka. Saya tahu bagaimana saya terbentuk dengan pengisian yang mereka lakukan pada dulu dan saya juga telah tahu bagaimana caranya untuk melakukan perubahan tersebut pada orang lain berdasarkan pengalaman-pengalaman lalu.

Saya tahu pengisian yang disampaikan ke dalam diri seseorang itu boleh mengubah mereka ke satu jalan yang baru dan baik. Mungkin inilah sebabnya saya berterus-terusan menulis dan menyampaikan pada yang ramai dengan harapan pengisian ini bakal membawa perubahan di hati mereka.

Percayalah dengan menyampaikan pengisian, ia akan menambahkan ilmu, ilmu ini seterusnya boleh bawa perubahan ke dalam diri lantas menukar haluan kepada arah tuju yang lebih baik. Jadi sampaikanlah.

Sekian.

Fikir-fikirkanlah..

Sesungguhnya segala kebaikan adalah dari Allah dan segala kelemahan adalah atas kelemahan diri saya sendiri. Kemaafan jualah yang saya pinta.

Bukalah pintu hati, anda pasti akan memahami. Terima kasih meluangkan masa membaca. Harap ia membawa manfaat buat anda.

Tahap Ibadah Manusia



Petikan ini saya ambil dari blog seorang sahabat - keretamayat

( Tidak Allah cipta Jin dan Manusia hanyalah untuk ibadah.)

Dalam proses kawan-kawan kita nak belajar jadi baik, nak belajar ‘gaya pulang ke pangkal jalan’, dah tentu satu elemen yang menjadi ramai kawan-kawan lain (Semoga Allah ampunkan dosa mereka) akan meluat bila mana member kita sorang ni akan sentiasa mengajak kita dan kawan-kawan yang lain pergi menunaikan solat secara berjemaah, lalu kita yang tak faham ugama akan jawab… “Alahai, kerja pun ibadah juga!” Dan buat muka ‘sardin’ sambil meneruskan kerja dunia kita.., atau lebih teruk kita caci maki kawan kita dengan menuduh beliau ahli riak, perasan bagus dan sibuk jaga tepi kain orang. Sabar, jangan tuduh kawan kita melulu sebagai tak faham ugama atau ahli riak, padahal kita yang tak tahu bezakan antara Hak dan Batil, untuk makluman, benarlah kerja dunia yang kita buat hari hari inipun adalah ibadah, akan tetapi dalam setiap ibadah ada tahap-tahapnya.

Bagi saya amalan adalah segala perbuatan yang dilakukan dan Ibadah pula ialah amalan yang membolehkan kita mendapat pahala kebaikan dari Allah Taala. Kerja merupakan amalan manusia tetapi kerja dengan niat kerana Allah adalah ibadah. Jadi ada amalan yang boleh jadi ibadah namun ada amalan yang hanya amalan tanpa mendapat apa-apa manfaat. Menyanyi, menari, berhibur, tengok TV, dan kerja-kerja yang tak berfaedah yang lainnya seharusnya dielakkan.

Izinkan saya yang juga sedang belajar ‘gaya pulang ke pangkal jalan’ huraikan serba sedikit, mudah-mudahan Allah bagi kita semua kefahaman yang benar :

Secara ringkasnya, ibadah itu bolehlah kita anggap terbahagi kepada empat tahap :

Ibadah tahap BINATANG
Contoh : Makan, minum, seks, cari tempat teduh dan lain-lain.
Dalil : Burung-burung keluar perut kosong balik perut penuh
sambil berzikir kepada Allah ( hadith )

Ibadah tahap MALAIKAT
Maksud : Buat hubungan dengan Allah,
Contoh : Haji, puasa, solat, zikir, tasbih, tahmid, membaca Al-Quran dan lain-lain.
Dalil : Manusia boleh mencapai lebih tahap malaikat atau bawah tahap syaitan ( hadith )

Ibadah tahap KHALIFAH
Maksud : Buat akhlak baik dengan orang ( makhluk ) kerana Allah.
Contoh : Adil, iqram, sedekah, senyum, kasih sayang, hormat dan lain-lain
Dalil : Sesungguhnya manusia itu dicipta sebagai khalifah ( Al- Quran )

Ibadah tahap NABI
Maksud : Ajak orang kepada Allah.
Contoh : Dakwah, Tabligh, Azan, Nasihat, Ceramah, Tazkirah dan lain-lain
Dalil : Sesungguhnya Kamu sebaik-baik Umat mengajak pada yang makruf… ( Al – Quran)

Jadi di sini kita dapat lihat yang makhluk binatang yang tidak dikurniakan dengan akal fikiran maka ia bergerak dengan mengikut naluri. Naluri untuk meneruskan hidup. “Survival of the Fittest”. Mereka mencari makanan, minuman, habitat tempat berlindung, melakukan hubungan seks untuk memperkembangkan zuriat mahupun demi untuk melepaskan syahwat, bergurau dan bermain dan sebagainya. Apapun binatang jelas tunduk patuh kepada perintah Allah dengan menjalankan peranan masing-masing tanpa soal. Lembu dan Kambing patuh makan rumput dan tak makan binatang lain, Harimau dan Ular makan binatang lain dan tak makan rumput dan sebagainya. Babi patuh tinggal dan makan benda-benda yang kotor dan andai Babi boleh bersuara pasti dia tak mahu makan makanan tersebut. Apapun kepatuhan binatang inilah merupakan ibadah dan khidmat mereka kepada Allah Taala.

Bayangkanlah sekiranya kita makhluk manusia tidak dikurniakan akal oleh Allah Taala maka bukankah kita juga akan jadi sama seperti binatang? Pun begitu walaupun dengan kurniaan akal kita masih lagi dapat lihat manusia yang hidupnya seperti binatang langsung tidak menjalankan ibadah-ibadah yang disebutkan di atas. Mereka hidup tanpa hukum, makan minum tak kira halal atau haram, seks bebas, sumbang muhrim, buang anak dan sebagainya hingga kadangkala lebih rendah martabatnya dari makhluk binatang itu sendiri. Mereka ini hanya mencari jalan untuk meneruskan kehidupan mengikut naluri kata hati.

Bagi makhluk malaikat pula, ia dijadikan Allah tidak sama dengan binatang yang perlukan makan, minum dan tidur sebaliknya ia dijadikan Allah untuk menghambakan diri dengan menjalankan ritual beribadat kepada Allah dengan secara terus-terusan tanpa henti dengan berzikir, bertahmid, bersolat dan sebagainya. Inilah tugas malaikat selain dari tugas 10 malaikat-malaikat yang telah kita ketahui secara umumnya. Ketua Malaikat Jibril A.S. penyampai wahyu, Malaikat Mikail menyampaikan rezeki, Malaikat Malek menjaga pintu neraka dan sebagainya. Apapun malaikat juga berkhidmat untuk Allah dan berkhidmat untuk manusia maka inilah ibadah mereka.

Di sini jelas sebagai makhluk manusia jika kita terlalu sibuk hanya melakukan ritual maka saya pasti Allah tidak menjadikan kita sebagai manusia tetapi akan menjadikan kita sebagai malaikat yang saban hari menjalankan ritual kepatuhan kepada Allah sepertimana yang disebutkan tadi. Ini bermakna yang tugas makhluk manusia sebagai khalifah di mukabumi ini lebih dari binatang malah lebih dari malaikat. Mungkin atas sebab inilah Allah Taala memuliakan makhluk bernama manusia ini.

Dalam hal ini tak semua makhluk bernama manusia dijadikan Allah sebagai seorang ulamak, ahli sufi, kiai, atau mufti dan sebagainya. Namun pemahaman dalam konsep ibadah ini amat penting kerana dengannya barulah kita nampak akan kedudukan kita yang sebenarnya. Kita boleh berada dalam golongan yang beribadah dengan tahap malaikat sedangkan pada masa itu kita sebenarnya berada pada tahap ibadah yang rendah.

Kita juga pernah mendengar cerita orang Alim yang tinggal di hujung kampung dan bila bala melanda kampung itu, dia juga tak terlepas dari azab sengsara yang menimpa.

Kenapa?

Kerana dia tidak tidak berdakwah ( Ibadah tahap Nabi ) kepada orang-orang kampungnya, sibuk beribadat ( tahap Malaikat ) dan mungkin tidak bergaul dengan masyarakat, menyendiri ( tidak menunaikah hak sebagai manusia -Khalifah ).

Nah! sekarang kita dah tahu maksud dalam setiap ibadah, memanglah kerja tu ibadah tapi ibadah tahap binatang, memang wajib kena buat tapi pandai-pandailah kita bagi masa sebab tu turun surah ‘demi masa.’ Jadi sebaiknyalah masa itu kita gunakan bagi mendapatkan tahap ibadah yang paling tinggi iaitu dengan berdakwah. Setiap seorang dari umat Muhammad S.A.W telah diberikan amanah ini jadi janganlah kita memalingkan diri darinya kerana takut / malu kepada mana-mana makhluk.

Sekarang kita pergi kepada beberapa contoh cerita dalam menambah kefahaman kita bersama :

Kisah Satu

Ada seorang sahabat Nabi sedang membina rumah ( ibadah tahap binatang ) tiba-tiba beliau terdengar azan lalu berhenti ( ibadah tahap malaikat ) walaupun hanya tinggal seketul batu sahaja lagi nak letak bagi menyiapkan rumah tersebut.

Lalu ditegur seseorang..
“Kenapa tak siapkan? Satu batu sahaja lagi yang tinggal…”

Sahabat tadi tak marah ( ibadah tahap khalifah ) dan beritahu pada orang tu,
“Aku takut nanti Allah tanya di akhirat mana yang kau lebih diutamakan , Allah atau batu?” Lantas mengajak sahabat tu pergi masjid. ( ibadah tahap nabi )

Kisah Dua

Kalau kita tengah kerja tu, kira ibadah tahap binatanglah, wajib kita cari rezeki untuk anak-anak serta keluarga tetapi bila dah dengar azan wajiblah kita pergi masjid, tu ibadah tahap malaikat. Dalam perjalanan ada orang lemas minta tolong, tak tolong jadi mayatlah pula, maka kita wajib tolong dia , itu ibadah tahap khalifah dan kau dapati dia orang Islam dan sah tak sembahyang lagi, (sebab lemas masa azan) lalu kita ajak dia sembahyang berjemaah sekali. Itulah ibadah tahap Nabi.

Bukan capai tahap Nabi tetapi ibadah tahap Nabi.

Maka kesimpulannya kepada mereka yang masih meneruskan kerja selepas dengar Azan dan diri tiada uzur : Sesungguhnya, kerja itu adalah ibadah tahap binatang.

Sesungguhnya, manusia itu apabila ia Benar, akan menjadi lebih mulia dari Malaikat, dan diberi kedudukan di sisi para Nabi alahisalam, akan tetapi apabila ia Salah, bukan sahaja dihina seperti binatang, malahan akan diazab bersama Syaitan...

Kereta Mayat

Mengatasi Sifat Mazmumah Dalam Diri





Dalam apa juga keadaannya sejak manusia berada di muka bumi ini sifat dan perasaan ini adalah tetap. Orang dahulu marah, orang sekarang juga marah, orang dulu sedih lantas menangis, orang sekarang juga sedih dan menangis. Perasaan dan sifat ini sifatnya tetap. Tidak terdapat evolusi di dalamnya. Mungkin yang berubah adalah perkara yang dimarahnya. Kalau dahulu manusia memarahi Sultan, Bendahara dan Temenggung, sekarang manusia memarahi kerajaan contohnya. Marah tetap marah.

Apapun terdapat pelbagai perbezaan nilai sikap dan sifat yang ada dalam diri manusia ini. Mari kita kaji beberapa sifat ini ;

Pemarah ; 


- Memarahi hingga membunuh.  
- Memarahi hingga mencederakan.  
- Memarahi dengan kata-kata mencarut dan menghina.  
- Memarahi dengan nada suara yang tinggi.  
- Memarahi dengan tenang.

    Dan sebagainya. Apapun lawan sifat iini adalah sifat sabar.

    Penipu ;


    - Menipu untuk mendapatkan keuntungan diri 
      Menjadi con man untuk mendapatkan duit  
    - Menipu kerana kebiasaan
      Pantang ditanya pasti menipu. 
    - Menipu bertempat – terpaksa menipu bagi mengelakkan kesusahan diri. 
      Terpaksa menipu bos kerana lambat tiba ke pejabat. 
    - Menipu sunat 
      Menipu untuk menjaga hati orang lain. 
    - Menipu darurat 
      Terpaksa menipu kerana nyawa menjadi taruhan.

              Dan sebagainya. Lawan sifat ini pula ialah bercakap benar.

              Walau apapun keadaannya dari segi sifat dan sikap manusia akhirnya akan tetap menuju ke arah satu base atau asas yang sama. Base atau asas inilah yang disarankan dalam Al Quran. Dalam contoh di atas Islam menyarankan manusia menjadi seorang yang penyabar dan kalau nak marah sekalipun ia punya cara dan kaedah yang tertentu. Contohnya kita hanya boleh membalas setimpal dengan apa yang dilakukan terhadap diri kita. Dalam aspek menipu pula Islam menyarankan kita bercakap benar. Inilah asasnya. Lagipun Islam itu datang salah satunya dengan tujuan untuk membaiki akhlak manusia sejagat.

              Apapun sama ada anda percaya atau tidak, bagi kebanyakan orang, semua masalah sifat dan sikap yang buruk dan terpupuk dalam diri dalam sedar mahupun tidak ini akhirnya akan keluar dan digantikan dengan sifat dan sikap yang baik.

              Ini kerana pelbagai keburukan yang akan berlaku kepada orang yang mengamalkan sikap yang buruk ini. Tak ada manusia yang suka kepada orang yang penipu, pemarah, kedekut, berlagak dan sebagainya. Lambat laun mereka ini akan dipinggirkan masyarakat.

              Begitu juga kita sering melihat ramai orang yang dahulunya pemarah telah bertukar menjadi seorang yang tenang, penipu menjadi seorang yang bercakap benar, orang sombong menjadi orang yang rendah diri dan sebagainya. Ianya dalam perjalanan menuju ke base.

              Dalam salah satu kes yang saya kendalikan seorang yang bermula dengan menghisap ganja meningkat menjadi seorang penagih dadah yang lebih berat dan kemudiannya menjadi seorang pengedar. Bila dalam perjalanan kembali ke pangkal jalan perubahan yang berlaku juga melalui jalan yang serupa. Pada mulanya dia meninggalkan fasa penjualan, kemudian dadah yang berat dan akhir sekali dadah yang ringan. Sekarang dia langsung telah berhenti menagih dadah sama sekali. Ini sebuah kisah benar.

              Analogi ini samalah seperti pembentukan sikap dalam diri. Kemarahan yang bermula dengan kata-kata, menjadi kata-kata kesat tanpa kawalan, seterusnya akan meningkat sehingga boleh mencederakan dan akhir sekali mungkin sehingga membunuh. Apapun keinsafan mungkin berlaku dengan perlahan berperingkat atau secara terus ia terpulang kepada diri sendiri. Apapun ia pastikan sekali lagi kembali kepada base yang saya katakan tadi.

              Pembentukan sikap buruk ini selalunya berlaku tanpa disedari. Terbentuk dengan Konsep 4P iaitu pengisian, pengulangan, pengukuhan dan penerapan yang ada diterangkan dalam buku ini. Mari kita buat perbandingan mudah ;

              PEMBENTUKAN SIFAT / SIKAP BAIK ATAU BURUK

              Sikap Buruk
              Sikap Baik (Base)

              Pendendam
              Pemaaf
              Pemarah
              Penyabar
              Ego
              Rendah diri
              Tak puas hati
              Redha
              Menunjuk-nunjuk
              Tiada apa yang hendak dibanggakan
              Mengadu Domba
              Tidak menceritakan keburukan orang
              Iri hati
              Menyokong
              Hipokrit
              Telus
              Penipu
              Bercakap benar
              Pemalas
              Rajin
              Melihat keburukan
              Melihat kebaikan

               Ia kemudian dizahirkan dan kelihatan dalam bentuk amalan yang dijalankan.

              Amalan buruk
              Amalan Baik

              Melepak di kelab-kelab
              Menasihati
              Mengambil dadah
              Bertanam
              Minum arak
              Menulis buku
              Berjudi
              Beribadat
              Kaki perempuan
              Membantu orang lain

              Buruk
              Amalan
              Baik
              Makan berlebihan
              Makan
              Ala kadar
              Gelojoh

              Tenang
              Membazir

              Secukupnya

              Huraian ini adalah dalam bentuk pembentukan kecemerlangan jati diri bagi menjadikan diri seorang yang berbudi pekerti mulia. 


              Jadi, untuk berjaya kita mesti menyiapkan diri dengan memupuk semua sikap positif ke dalam diri dan kemudiannya mempraktikkannya dalam kehidupan seharian walau dalam apa juga yang kita usahakan. Maka saya yakin kecemerlangan bakal menjadi milik anda!

              Fikir-fikirkanlah..

              Sesungguhnya segala kebaikan adalah dari Allah dan segala kelemahan adalah atas kelemahan diri saya sendiri. Kemaafan jualah yang saya pinta.

              Bukalah pintu hati, anda pasti akan memahami. Terima kasih membaca!


              www.faizalyusup.com