Friday, February 4, 2022

MENCARI KETENANGAN DAN KEBAHAGIAAN

 



Gambarajah di atas ini juga menunjukkan perbezaan antara orang berminda dunia dan orang berminda akhirat ini. Orang berminda dunia akan mempunyai pelbagai masalah dan hidupnya berserabut penuh dengan naik dan turun sepanjang kehidupan. Bila ditimpa musibah selalunya mereka akan mengambil jalan menentang, marah, kecewa, geram, menyalahkan orang lain dan sebagainya sedangkan dugaan seakan tak akan berhenti dalam kehidupan mereka. Turun naik emosinya begitu jelas dan kerap.

Mereka yang beriman kepada Allah iaitu mereka yang berminda akhirat itu pula akan selalu berada dalam keadaan tenang dalam gembira mahupun duka walau berat mana sekalipun dugaan yang sedang mereka hadapi. Dalam hal ini bila berjaya mereka tidak terlalu suka dan bila kecewa mereka tidak terlalu berduka. Mereka ini “flatliner”. Bila orang berminda akhirat ini dijodohkan dengan orang berminda dunia maka dia akan dapat melihat keresahan dan naik turun emosi orang berminda dunia dan selalunya mereka ini akan cuba membantu. Kalau dilihat dari sudut pandangan orang berminda dunia pula hati mereka kabur mahupun tertutup hinggakan mereka tak dapat melihat perbezaan ini. Mereka menyangkakan yang semua orang sama. Mereka menyangka orang yang bahagia dengan keimanan itu hipokrit seperti mereka. Hanya berlakon bahagia di khalayak ramai sepertimana yang mereka lakukan seakan buah mangga cantik tetapi busuk isinya namun sebenarnya mereka salah kerana orang berminda akhirat memang berada dalam keadaan yang bahagia di luar mahupun di dalam. Mangga yang cantik kulit juga isinya. Inilah hakikatnya.

Hakikatnya mereka yang tinggi imannya akan sentiasa berusaha untuk melakukan perbuatan-perbuatan yang bersifat wajib dan sunat yang disukai Allah dan bukan sebaliknya melakukan perbuatan yang sia-sia tidak berfaedah dalam rangkuman makruh dan haram. Mereka juga selalu dalam usaha untuk membaiki keimanan mereka ke tahap yang lebih baik dengan menjalankan usaha meningkatkan ilmu dan amal yang bertujuan untuk mendekatkan diri dengan Allah Taala dengan harapan Allah akan meningkatkan keimanan mereka.

Cuba fikirkan apakah peningkatan yang cuba kita lakukan dalam kehidupan dewasa ini? Cuba mencari jalan untuk menjadi kaya? Berusaha untuk menjadi ternama? Cuba mendapatkan ilmu akademik di peringkat yang tertinggi? Atau sedang dalam usaha meningkatkan keimanan kepada Allah Taala dengan mempelajari ilmu ugama dan meningkatkan amalan kepada Yang Esa. 

Fikir-fikirkanlah. 

Seperkara lagi sekiranya anda beremosi bila membaca pengisian ini maka ia jelas menunjukkan dimana kedudukan anda, ini kerana orang berminda akhirat akan sentiasa tenang dan reda dengan susunan Allah dalam kehidupannya. Lagipun pengisian, peringatan, taufik dan hidayah hanya ditujukan kepada orang yang beriman dan orang yang terbuka pintu hatinya. Ini jelas dalam sejarah dimana teguran Allah terhadap syaitan tidak dipedulikannya, teguran Nabi Muhammad S.A.W. terhadap Abu Jahal dan Abu Lahab juga tak dipedulikan mereka apatah lagi pengisian-pengisian ini.

Atas sebab inilah sekali lagi saya tekankan orang berminda akhirat akan faham apa yang orang berminda dunia lakukan tetapi orang berminda dunia takkan faham apa yang dilakukan orang berminda akhirat.

Perbezaan di antara orang berminda dunia dan orang berminda akhirat ini sebenarnya boleh menerangkan pelbagai persoalan dalam kehidupan. Contohnya dari segi objektif kehidupan seseorang itu. Orang yang memenuhkan diri mereka dengan pengisian dunia akan menjadikan apa juga elemen keduniaan ini sebagai objektif dirinya. Mereka berusaha sedaya upaya untuk menjadi kaya raya, untuk berjaya dalam bidang akademik demi untuk mendapat pengiktirafan, untuk menjadi terkenal, untuk mendapat pangkat dan sebagainya. Semua ini sebenarnya berada dalam rangkuman elemen keduniaan yang bakal dilupakan oleh generasi yang mendatang bila mereka mati kelak.

Ada orang yang begitu mementingkan pencapaian akademik yang tertinggi lantas meletakkannya sebagai objektif kehidupannya. Mereka sanggup berkorban apa sahaja demi untuk mendapatkan pencapaian yang tertinggi. Kemudian bila dikupas tujuan sebenar mereka adalah agar mereka mendapat pulangan kewangan, pengiktirafan, pangkat, untuk merasakan diri lebih berilmu dari orang lain dan sebagainya. Tak lebih dari itu.

Berbeza dengan orang berminda akhirat pula, semua ini bukanlah objektif utama diri mereka. Objektif utama mereka ialah untuk melakukan ibadah dan meningkatkan keimanan kepada Allah Taala setiap masa dan ketika dengan harapan kehidupan mereka diberkati di dunia dan di akhirat, dengan harapan mereka dapat ke syurga kelak. Bagi mereka walau dimana kedudukan mereka sama ada dalam keadaan miskin mahupun kaya, berpangkat atau tidak tidak menjadi masalah bagi mereka kerana apa yang penting ialah mereka beriman kepada Allah. Mereka mengambil iktibar dari para Nabi yang terdahulu contohnya Nabi Sulaiman A.S. manusia yang paling kaya di muka bumi, Nabi Isa A.S. yang dipenjarakan, Nabi Ayub A.S. yang disakitkan buat masa yang panjang, Nabi Muhammad S.A.W. yang bersifat hamba, kesemua mereka beriman kepada Allah walau apapun juga kedudukannya.

Kesimpulan dalam topik ini ialah kalau anda ada sifat tenang di dalam hati maka anda tak ada sifat resah gelisah, tension, stress, bosan, tertekan dan yang sewaktu dengannya.

Faizal Yusup Al Haj
0166667430
Minda Akhirat
Hidup Kena Cool, Hati kena Mulia...

PS - Sekiranya anda membaca semua 70 bab dalam blog Minda Akhirat ini mengikut tertib dan susunannya saya percaya sesuatu akan berlaku di dalam hati anda dengan izin Allah Taala. Ia akan membawa kebaikan yang banyak dalam hidup anda. Percayalah. Kalau anda tak percaya, bacalah!

PSS - Anda juga boleh menonton semua pengisian ini dalam bentuk video di Instagram Minda_Akhirat. Layari ;


No comments:

Post a Comment