Saturday, February 5, 2022

KATEGORI DUGAAN DAN CABARAN



MENGHADAPI DUGAAN

Setiap manusia pasti akan diuji dengan pelbagai dugaan sepanjang kehidupannya. Sejak zaman Nabi Adam AS dimana baginda diuji dengan sebatang pokok iaitu pokok Khuldi hinggalah ke zaman Nabi Sulaiman AS yang diuji dengan kekayaan dan kemewahan, hingga ke zaman Nabi Musa AS yang diuji Firaun, Nabi Ibrahim AS diuji dengan anaknya Ismail, hingga ke zaman Rasulullah SAW dengan dugaan yang pelbagai. Sehingga kini dugaan itu pasti akan mendatangi kita makhluk bernama manusia. Sedikit atau banyak, kecil atau besar, sekejap atau lama.

Di sini dalam bab ini saya ingin mengasingkan dugaan-dugaan ini kepada 3 peringkat atau kategori.

KATEGORI 1,
KATEGORI DUGAAN PERINGKAT RENDAH.

Ia terdiri daripada dugaan-dugaan yang jelas kelihatan antaranya kita diduga dengan ;

Duit, Perempuan, Lelaki, Pondan, Arak, Judi, Makanan, Kereta, Motor, Hiburan, Shopping, Rokok, Hujan, Banjir, Kemarau, Rumah, Kesihatan dan bermacam lagi yang jelas kelihatan di mata kasar.

Boss yang garang, kekasih atau pasangan yang ganas, jiran yang sombong, mertua yang bermasalah, anak yang sakit, kepala yang pening, kereta yang rosak, hujan yang lebat, banjir, puting beliung, rumah yang terbakar, hutang yang banyak, komputer games dan lain-lain lagi termasuk dalam kategori ini.

Bayangkanlah sekiranya kita satu kelab malam. Kita sediakan hiburan, judi, arak, perempuan seksi yang menari di atas bar, dadah, makanan yang sedap dan sebagainya, saya yakin ramai yang akan datang kerana mereka sebenarnya kalah dengan nafsu diri dan gagal dalam menghadapi dugaan peringkat rendah ini.

Bayangkan pula senario ini. Kita berdua buka satu kelab yang menyediakan tempat mengaji Quran, belajar ugama, beribadat, tempat pertukaran ilmu dengan lelaki dan perempuannya menutup aurat dan diasingkan. Siapa nak datang? Tak payah bukalah kelab tu sebab contoh masjid tu siapa ada? Kosong selalu.

Jadi perasan tak berapa ramai yang gagal menghadapi dan menangani dugaan atau masalah sebegini? Dengan rokok pun kalah? Hujan lebat pun tertekan? Trafik jem pun nak marah? Bersabarlah.

KATEGORI 2,
KATEGORI DUGAAN PERINGKAT SEDERHANA.

Kategori ini pula adalah dugaan yang ada tapi tak kelihatan. Anda tahu dan saya pun tahu.

Contohnya ;

Ilmu, Kelayakan, Amal, Kuasa, Rupaparas, Pangkat, Nama, Gelaran dan sebagainya.

Ini dugaan peringkat tinggi sikit dari kategori yang rendah tadi. Ianya mudah dikenali.
  • Ada yang bernama Syed yang tak mahu anaknya dikahwinkan dengan yang bukan berketurunan Syed.
  • Ada Datuk dan Datin yang marah kalau gelarannya tak dipanggil.
  • Ada yang berkuasa tetapi menyalahgunakan kuasanya.
  • Ada yang berilmu tetapi menekan orang lain mahupun begitu kedekut dengan ilmunya.
  • Ada yang beramal habis diceritakan pada semua orang dengan bangganya. Saya dah pergi haji 3 kali umrah 18 kali katanya.
  • Ada yang dikurniakan dengan rupa yang elok, tapi bermegah dengan rupanya itu.
  • Dan bermacam lagi.
 
Seterusnya,

KATEGORI 3,
KATEGORI DUGAAN PERINGKAT TINGGI.

Kategori ini pula adalah dugaan yang halus lagi tak kelihatan. Anda tahu, saya tak tahu. Ia dalam hati anda. Hanya Allah yang mengetahuinya.

Contohnya,

Reda, Yakin, Ikhlas, Sabar, Tawakkal dan lain-lain yang hanya terletak di hati pemiliknya.

  • Reda 100 peratus pada perkara yang telah terjadi kerana itu susunan Allah walaupun rantai emas berharga RM5000 anda masuk dalam lubang tandas dan tak dapat diselamatkan.
  • Ikhlas hingga lupa pada pertolongan yang kita hulurkan.
  • Tawakkal pada Allah dan yakin yang Dia akan mencukupkan.

 
Bayangkanlah pada satu malam yang gelap gelita dan sunyi sepi anda seorang sahaja di dalam rumah sedang solat tahajud jam 3 pagi. Kemudian dalam hati anda berkata,

    “ Agaknya saya seorang je yang solat tahajud kat kampung ni malam ni.. ”

Bagi saya inilah dugaan peringkat tertinggi yang dihadapi oleh orang-orang dekat dengan Allah Taala.

Mungkin ada kategori yang lebih tinggi tapi itu di luar pengetahuan saya.

Kita kalah dengan dugaan peringkat mana?

Semua sekali ?

Susah jugak tu.

Apapun semoga kita semua berjaya mengatasi semua dugaan-dugaan yang datang silih berganti sepanjang kehidupan ini.

Begitupun Allah takkan duga makhlukNya dengan dugaan yang tak dapat dibebaninya. Dugaan ini hakikatnya tak lain ialah untuk menguji keimanan kita manusia kepada Allah Taala. Objektifnya ialah untuk kita bersabar. Untuk terus mengukuhkan keimanan dan untuk kita tidak kufur tatkala menghadapi dugaan tersebut.


BICARA TENTANG DUGAAN

Dewasa ini dunia semakin mencabar, setiap insan diduga dari pelbagai segi. Ekonomi atau kewangan, perhubungan, bencana alam, kesihatan dsbnya.

Lantas ia membelenggu akal fikiran, menganggu pertimbangan, menjejaskan kesihatan dll. Ada yang jadi pendiam, umpama membawa diri ke dalam gua yang gelap. Ada pula yang menjadi seorang yang ganas lantas menyalahkan sesiapa sahaja pasangan, keluarga, rakan taulan, majikan, pemimpin, kerajaan atau siapa sahaja. Ada juga yang memudaratkan diri sendiri dengan mencederakan diri sendiri, pengambilan dadah, arak dan sebagainya.

Keadaan ini pula membawa kepada terjejasnya perhubungan kemanusiaan baik dalam semua aspek. Lebih teruk lagi ia membawa kepada bunuh diri. 

Sekiranya masih meneruskan hidup yang paling teruk ialah bila aqidah kita tergelincir yakni bila seseorang itu hilang keyakinan kepada Allah Taala. Mempersoalkan itu ini. Menyalahkan Tuhan.

Sebenarnya masa kita lemah beginilah masa dimana rongga-rongga hati kita terbuka untuk syaitan masuk ke dalamnya lantas membisikkan perkara-perkara negatif ke dalam hati dan akal fikiran kita. Dahlah jasmani tubuh badan kita sedang sakit dan lemah ditambah pula dengan masalah yang pelbagai. Satu-satunya pertahanan yang tinggal hanyalah elemen ROHANI yakni hubungan kita dengan Allah yang Maha Kaya, Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.

Andai rohani kita juga rapuh maka hidup jadi tak keruan dan akan membawa kepada tekanan, depresi hingga ke gangguan kesihatan mental.

Jom kita analisis tentang makhluk DUGAAN yang pelbagai bentuk ini.
Bila ia lahir dan mula menduga manusia. 

Yang pasti ia telah wujud sejak bermulanya kehidupan manusia pertama iaitu Nabi Adam AS. Makhluk DUGAAN ini telah menguji Nabi Adam AS hinggalah ia turun menurun kepada semua para Nabi dan Rasul dan semua umat manusia sehingga kini dalam pelbagai bentuk dan keadaan. 

Dalam hal ini tak ada mana-mana manusia yang akan terus hidup sekiranya diduga dengan putusnya kepala dari badannya. Ye tak? Kalau masih boleh hidup selepas dipenggal kepala maka ramai pulak yang bawak kepala yang putus tu ke sana sini. 

Kenapa Allah cipta makhluk DUGAAN ini? Kalau Allah TIDAK cipta makhluk DUGAAN ini maka semua manusia akan hidup aman sejahtera dan riang ria. Anda nak hidup aman sejahtera riang ria di dunia? Dunia bukan tempatnya. Dunia adalah tempat dimana kita sebagai manusia diduga untuk menentukan siapa yang lebih beriman. Tempat untuk hidup aman sejahtera riang ria TANPA DUGAAN ialah di SYURGA! Kalau nak kehidupan begini kenalah kita berusaha untuk ke sana. Ye tak?

Kalau difikirkan dugaan sakit dan mati mungkin kena kepada banyak jenis makhluk temasuk binatang dan tumbuhan tapi tak kena kepada para malaikat. Dugaan perhubungan tak kena kepada makhluk seperti matahari, bulan dll juga malaikat sebab tiada perhubungan yang terlibat. Dugaan kewangan pula HANYA kena pada manusia, tak kena kepada makhluk yang lain sebab mana ada makhluk lain yang ada masalah kewangan. Lembu tak pernah fikir hari ni duit tinggal banyak mana dalam bank. Agaknya lebih baik lahir jadi Lembu dari jadi Manusia kan? Sebab tak payah fikir pasal masalah kewangan dan perniagaan. Cuma fikir hari ni nak makan rumput kat mana.

Jadi, apa tugas makhluk DUGAAN ini? Ia tak lain ialah untuk menguji KEIMANAN. Nak tengok bila diduga dengan KESUSAHAN adakah ia akan meningkatkan keimanan kita kepada Allah atau adakah ia membawa kita kepada kekufuran. Nak uji tengok bila kita diduga dengan KESENANGAN adakah kita lebih dekat dengan Allah dan bawa manfaat kepada ugama atau adakah kita jadi kufur, sombong, berlagak dan bawa mudarat.

Seperkara lagi mana lebih banyak? NIKMAT ATAU DUGAAN? Pastinya nikmat lebih banyak. Kalau kita bandingkan dah banyak tahun kita senang kalau dibandingkan kita susah. Takkanlah nikmat yang tak terhitung Allah bagi kita NAK tapi dugaan sikit yang Allah bagi kita TOLAK pulak?

Bagaimana pula dengan fasa atau jangkamasa DUGAAN? Ada dugaan yang ambil masa yang panjang dan ada yang pendek. Jadi setiap dugaan yang bermula pasti akan berakhir. Ia takkan berada di situ selama-lamanya.

Kita juga kena ingat Sabda Nabi SAW - Membandingkan diri dengan orang yang lebih susah adalah lebih wajar dalam menghadapi dugaan ini. Dugaan juga membersihkan dosa-dosa lalu. Dugaan juga petanda ingatan Allah kepada kita makhlukNya. Dugaan juga petanda kita insan terpilih. Dugaan juga menguatkan jati diri. Tak beriman seseorang itu sekiranya dia tak diuji dan diduga. Itu Firman Allah.

Jadi jom kita perkukuhkan elemen kerohanian dalam diri kita. Jom kita kenal diri siapa kita. Siapa Allah pencipta kita tu. Jom kita sentiasa ingat dan dekatkan diri dengan Allah. Jom kita rapatkan persaudaraan, cari persamaan dan raikan perbezaan.

Jom kita berminda akhirat! InshaAllah kita akan selamat.

Faizal Yusup Al Haj
0166667430
Minda Akhirat
Hidup Kena Cool, Hati kena Mulia...
https://mindaakhirat.blogspot.com/

PS - Sekiranya anda membaca semua 70 bab dalam blog Minda Akhirat ini mengikut tertib dan susunannya saya percaya sesuatu akan berlaku di dalam hati anda dengan izin Allah Taala. Ia akan membawa kebaikan yang banyak dalam hidup anda. Percayalah. Kalau anda tak percaya, bacalah!

PSS - Anda juga boleh menonton semua pengisian ini dalam bentuk video di Instagram Minda_Akhirat. Layari ;

https://instagram.com/minda_akhirat?utm_medium=copy_link 

No comments:

Post a Comment