Wednesday, August 22, 2012

Kesimpulan Hari Raya






Hari Raya Dari Kacamata FY

Salam Ceria Salam Hari Raya!

Raya datang lagi. Hari Raya punya banyak definasi dan matlamat bagi setiap individu. FY suka melihat telatah ramai tatkala tiba hari raya. Di sini FY highlightkan beberapa sudut pandang yang FY nampak di hari Raya kali ini. Mungkin ia boleh membawa kepada sesuatu pemikiran yang lebih terbuka dan lebih jelas.

Raya Masa Untuk Menunjuk-Nunjuk.

Raya. Inilah masanya untuk menunjukkan kekayaan masing-masing. Bukan sekadar menunjukkan rumah baru, TV besar yang baru, perabut baru, langsir baru, kereta baru malah basikal baru, kamera baru, handphone dan pelbagai gajet yang baru hinggalah ke barang kemas yang baru, pakaian baru hinggalah ke spender yang baru. Setiap tahun tukar perabut dan langsir, maknanya makin lama maka makin besarlah stor rumah tersebut.

Namun bila saudara mara datang berkunjung di waktu Marghrib, tak cukup pula sejadah, kain pelikat dan telekong di rumah yang serba baru itu. Adoiyai!

Kisah keeping up with the Jone’s ini memang perkara yang telah menjadi ikutan masyarakat melayu sejak dahulu lagi. Kalau jiran ada yang baru, maka kita juga mahukan yang lebih baru, lebih besar dan lebih canggih adakalanya sampai sanggup bergolok bergadai untuk tujuan itu. Tujuannya hanya satu agar kita tak ketinggalan. Agar kita selalu menang dan berada di depan. Teringat FY ke pada kisah Kulup Besar dan Kulup Kecil tak lama dahulu.

Apapun semua produk dan barangan ini bak kata Imam Shafiee datang dari tanah dan kepada tanahlah ia kembali termasuklah kita sekali. Masa belum dapat bagai nak rak tapai bila dah dapat hargai pun tidak. Lama kelamaan ia menjadi lama dan usang tidak berguna lagi. Pada FY ala kadar sudahlah. Nabi SAW kata dalam hidup ambillah sekadar yang keperluan. Lagipun sikap menujuk-nunjuk, riak dan takbur itu bukanlah sifat yang baik untuk hati. Ia sifat yang mengotorkan hati.

Sebagai seorang Islam belanja kepada ugama dengan meminjamkan harta kepada Allah Taala adalah jauh lebih baik dari belanja untuk kepentingan diri sendiri.

Raya Masa Untuk Menziarah

Ada pula orang yang rajin keluar menziarah semua saudara mara tapi bila kita datang ke rumah mereka, ia ditutup rapat walaupun kipas di dalam rumah tersebut berpusing dan bayang-bayang penghuni di dalamnya begitu jelas kelihatan.

Lepas bagi salam tiga kali tanpa jawapan, apa lagi tunggu, angkat kakilah. Lain kali susahlah sikit nak datang lagi.

Ada juga yang mengambil peluang datang untuk makan di rumah orang lain dengan lahapnya dengan layanan kelas satu tapi bila kita datang ke rumah mereka, mereka bersikap acuh tak acuh tidak mempedulikan kita yang datang malah tidak duduk bersama tetamu yang datang.

Ish! Sekali lagi sebagai seorang Islam yang menyambut Aidilfitri, kita kenalah alu-alukan tetamu, ia sunnah Nabi SAW, lagipun tetamu yang datang itu membawa rezeki sebenarnya bagi mereka yang faham.

Raya Menunjukkan Perbezaan Puak

Pada hari raya inilah kita akan dapat tengok manusia berpuak-puak. Kumpulan A dan kumpulan B, Parti C dan Parti D, Ideologi E dan ideologi F. Kumpulan A memulaukan kumpulan B, Parti D meminggirkan parti C dan begitulah seterusnya.

Ada juga perbezaan ini disebabkan oleh perbezaan pandangan dalam beragama. Mungkin pada mereka, mereka jauh lebih beriman kalau dibandingkan dengan saudara mara, jiran, rakan taulan dan lain-lain. Mereka golongan ini memilih hanya orang dari golongan mereka sendiri untuk dihormati tatkala bertemu dan bertamu.

Namun demikian tidakkah mereka tahu yang tak masuk syurga orang yang tak menghormati jirannya? Tidakkah mereka tahu melakukan dosa dengan manusia adalah lebih payah untuk diampuni daripada melakukan dosa dengan Allah Taala. Lagipun Islam mengajak kepada keSATUan dan bukannya perpecahan walau apapun juga alasannya. Parti, kumpulan, geng, puak dan sebagainya tak boleh dijadikan alasan perpecahan dan keretakan.

Perpecahan dan keretakan ini tiada dalam Islam kerana sesungguhnya orang-orang beriman itu bersaudara. Janganlah rasa diri beriman kalau kita masih belum bersaudara.

Lagipun perpecahan hanya berlaku dalam dunia binatang. Dalam ertikata lain janganlah jadi BINATANG. Faham tak ni?

Hubungan Dengan Allah Taala Juga Hubungan Dengan Manusia.

Dari pemerhatian FY bersambung dari dari kisah tadi, ada manusia yang begitu baik hubungannya dengan Allah Taala menjaga solat lima waktunya di awal waktu dan sebagainya namun hubungan dengan manusianya fail! Sebaliknya ada pula orang yang hubungan dengan manusianya begitu baik, erat dan akrab tapi hubungan dengan Penciptanya Allah Taala Fail!

Hakikatnya kedua-dua golongan ini sebenarnya bermasalah. Yang tidak menjaga hubungan silaturrahim kemanusiaan bermasalah, yang tak menjaga hubungan dengan Allah Taala lagilah bermasalah.

Kalau tak jaga hubungan kemanusiaan maka mereka akan dipinggirkan, yang tak jaga hubungan dengan Allah pula akan menghadapi dugaan yang pelbagai.

Matlamat Raya

Pada FY hari Raya selain merupakan hari kemenangan selepas sebulan berpuasa di dalamnya disediakan peluang dan ruang untuk mengeratkan silaturrahim. Yang jauh didekatkan, yang dekat dirapatkan. Yang tua dihormati yang muda disayangi disamping ruang dan peluang untuk memohon kemaafan kalau ada salah dan silap sepanjang tahun. Jadi ambillah peluang ini. Bila bertemu bersalaman pohonlah kemaafan dengan penuh keikhlasan atas segala kesilapan. Peluang ini terbuka begitu luas di hari raya tidak seperti hari-hari biasa yang lain.

Sebagai penutup nukilan Raya kali ini, kepada mereka yang mengenali FY, harap maafkan segala salam dan silap yang FY lakukan kepada anda dan ketahuilah FY sudah lama memaafkan anda semua tak kira siapa juga anda dan apa juga salah dan silap yang anda lakukan pada FY. Bukan apa FY tak mahu mati dalam keadaan tidak memaafkan orang dan kalau boleh tak mahu mati dalam keadaan ada orang yang tak memaafkan FY.

Sekian dahulu catatan Raya buat kali ini.

FY
Always a friend!

No comments:

Post a Comment