Saturday, February 5, 2022

ANTARA CIRI-CIRI HATI YANG BERSIH DAN HATI YANG KOTOR




Ciri hati yang bersih menurut Prof Dr Shaleh punya 5 sifat-sifat yang berikut ini;

1.   Hati yang tunduk patuh kepada Allah Taala.

Pemilik hati ini akan mengikut perintah Allah Taala dan meninggalkan segala laranganNya tanpa soal. Hukum hakam Allah paling utama bagi dirinya. Hati yang merasai nikmat tatkala menjalankan amal ibadah kerana Allah.
 
2.   Hati yang mencontohi Rasulullah SAW

Pemilik hati ini juga akan mencontohi Nabi Muhammad SAW dari semua segi baik Sunnah, Sirah dan Sarirah kerana kecintaan mereka kepada Rasulullah SAW. Cara pakai, setiap perbuatan mahupun pemikiran Rasulullah SAW akan diikutinya.
 
3.   Hati yang pasrah kepada takdir Allah Taala.

Mereka ini merupakan seorang yang reda kerana percaya yang semuanya adalah tertakluk kepada Qada dan Qadar ketentuan Allah kerana Allah Taala Maha Megentahui setiap sesuatu. Perkara yang baik terjadi mungkin hakikatnya buruk buat kita dan begitu jugalah sebaliknya. Hanya Allah yang Maha Mengetahui.
 
4.   Hati yang selamat dari perkara yang memutuskan dia dari mengingati Allah Taala.

Pemilik hati ini dipelihara Allah dari lalai dan cuai daripada mengingati Allah Taala. Mereka merasa kerugian yang amat besar sekiranya mereka terlupa untuk mengingati Allah.
 
5.   Hati yang berdamai dan mencintai wali-wali Allah dan memusuhi musuh-musuh Allah Taala.

Pemilik hati ini sayang kepada para ulama dan wali-wali Allah dan pada masa yang sama memusuhi musuh-musuh Allah. Mereka sanggup berperang demi untuk mempertahankan hak Allah, mempertahankan Nabi SAW dan mempertahankan Islam.
 
Semoga kita juga tergolong di kalangan mereka-mereka yang berhati bersih ini.



Dalam keseluruhan blog ini, inilah topik yang paling penting. Topik HATI. Kenapa? Hatilah yang mengawal seluruh anggota dan pancaindera kita sebagai makhluk manusia.

Hati yang bersih ini umpama kaca yang jernih yang mana kita boleh melihat melaluinya dengan jelas apa yang tersurat dan juga yang tersirat. Kita akan punya kefahaman dalam setiap keadaan dan peristiwa yang berlaku dalam kehidupan seterusnya mengambil tindakan dan keputusan yang terbaik. Kita jadi orang yang bersifat ehsan lagi prihatin dalam semua hal. Sementara itu hati yang kabur umpama kaca yang kotor. Jadi ia menjadi sukar untuk kita melihat menerusinya. Hati boleh menjadi kabur dan akhirnya mati contohnya bila kita makan dari sumber yang haram, banyak melakukan maksiat serta melanggar perintah Allah, bersangka buruk dan sebagainya. Jadi pastikan kita memelihara hati kita dengan mengelakkan semua ini demi menjaga kebersihan hati kita ini.

Dalam yang bersih dan membawa kepada luar yang bersih. Sifat yang bersih akan membawa kepada sikap, kelakuan dan perbuatan yang bersih. Hati yang bersih akan membawa kepada akal yang bersih, pemikiran yang bersih, perkataan yang bersih, budi pekerti yang terpuji. Semuanya bersih! Ketahuilah ahli-ahli syurga terdiri dari insan-insan yang berhati bersih, berhati mulia dan sejahtera.

Jadi usahakanlah untuk membersihkan hati, jangan biarkan ia kotor dan akhirnya mati hingga tak boleh membezakan mana yang hak dan mana yang batil. Banyakkan Zikrullah, banyakkan mengingati Allah melalui solat, mengaji, berada dalam majlis ilmu, tahlil, tahmid, takbir dan tasbih serta jalani kehidupan ini dalam rangkuman ibadah ikhlas kerana Allah Taala dalam apa juga yang kita lakukan. InshaAllah.

 ANTARA CIRI-CIRI HATI YANG KOTOR


·       Solat yang tidak khusyuk
·       Selalu mengeluh serta tidak reda dengan takdir Allah
·       Gelisah walaupun tiada masalah
·       Nafsu dan kehendak syahwat yang tidak terbendung
·       Derhaka kepada kedua Ibubapa
·       Suka mengumpat dan membuka aib orang lain
·       Gembira melihat orang lain susah
·       Lidah yang tajam atau tidak menjaga hati orang lain
·       Berlagak alim untuk dipuji manusia
·       Menyampaikan ilmu dengan riak
·       Selalu berbangga, kagum dengan diri sendiri
·       Menganggap diri lebih hebat dari orang lain
·       Angkuh serta sombong dan pandang hina terhadap orang lain
·       Pentingkan diri dalam semua hal
·       Tidak amanah, menipu dan mungkir janji
·       Selalu mengintai keaiban orang dan menyebarkannya
·       Berpakaian elok untuk dipuji dan menunjuk-nunjuk
·       Talam dua muka (hiprokrit)
·       Suka menindas bila berkuasa, berilmu, berharta, berkedudukan dll
·       Berlebihan cinta kepada dunia dan materialistik
·       Iri hati dan dengki dengan kejayaan orang lain
·       Kedekut dan berkira
·       Bersangka buruk terhadap orang lain
·       Membesarkan hal yang remeh
·       Gemar bergosip dan menabur fitnah
·       Menunggang ugama demi kepentingan diri
·       Suka berdendam
·       Berpura-pura dan suka membodek
·       Dan banyak lagi.
 
Faizal Yusup Al Haj
0166667430
Minda Akhirat
Hidup Kena Cool, Hati kena Mulia...
https://mindaakhirat.blogspot.com/

PS - Sekiranya anda membaca semua 70 bab dalam blog Minda Akhirat ini mengikut tertib dan susunannya saya percaya sesuatu akan berlaku di dalam hati anda dengan izin Allah Taala. Ia akan membawa kebaikan yang banyak dalam hidup anda. Percayalah. Kalau anda tak percaya, bacalah!

PSS - Anda juga boleh menonton semua pengisian ini dalam bentuk video di Instagram Minda_Akhirat. Layari ;

No comments:

Post a Comment