Artikel kali ini adalah berkenaan sifat amanah yang dipinjamkan pada kita oleh Allah Taala.
Kita tahu akan amanah harta yang dipinjamkan Tuhan kepada kita. Kita akan berkata ini amanah Tuhan yang perlu dijaga dengan baik dan tidak boleh disalahgunakan. Kalau kita menjadi pemimpin juga kita tahu yang kita perlu menjalankan tanggungjawab ini dengan sebaiknya. Kita membuat keputusan yang terbaik untuk yang ramai. Namun tanpa kita sedari pada masa yang sama kita diamanahkan dengan kurniaan nyawa, masa, tenaga, akal, anggota, pancaindera dan lain-lain. Persoalannya, kenapa kita tidak menjaga amanah ini dan bertanggungjawab ke atasnya? Kebanyakan kita mengambil sikap sambil lewa ke atas kurniaan-kurniaan ini.
Sebagai contoh, setiap hari kita diamanahkan dengan kurniaan mata sejak kita bangun dari tidur hinggalah kita tidur semula tetapi adakah kita peka akan penggunaannya? Berapa banyak ilmukah yang dapat kita cakupi, berapa banyakkah masa penggunaannya yang kita sia-siakan, berapa banyakkah yang kita menungkan dan berapa banyakkah yang kita mengutip dosa dengan penggunaannya dalam sehari?
Setiap seorang daripada kita adalah pemimpin dalam secara sendirinya. Kita perlu memimpin kerajaan kita sendiri. Kerajaan yang saya maksudkan itu ialah jasmani, rohani dan akal. Kalau kita dapat mentadbir kerajaan ini, barulah seterusnya kita dapat mentadbir keluarga, masyarakat, agama, bangsa dan negara. Kita sebenarnya menghadapi masalah mentadbir kerajaan diri kita sendiri.
Kita juga selalunya menghargai sesuatu yang kelihatan. Sebagai contoh kita menghargai jasa ibubapa kita yang membesarkan kita, kita menghargai guru-guru kita kerana sumbangan ilmu mereka kepada kita. Kita menghargai hadiah yang diberikan kawan-kawan kepada kita. Lagi besar hadiah yang diberikan lagilah kita menghargainya. Berterima kasih beratus kali. Mana tidaknya katalah saya memberikan hadiah sebuah kereta Ferrarri kepada anda bukankah anda akan berterima kasih bertalu-talu. Tetapi konsep ini tidak pula kita gunakan secara keseluruhannya.
Semasa kita lahir ke dunia, kita lengkap dengan nyawa, akal fikiran, segala pancaindera dan anggota, ditambah pula dengan pelbagai kurniaan lain seperti rezeki, tenaga, masa dan sebagainya. Kenapa tidak pula kita berterima kasih bertalu-tahu pada Tuhan dan bertanggung jawab dalam penggunaannya?
Katalah kita dilahirkan hanya dengan badan, kepala, otak dan anggota pernafasan tanpa yang lainnya. Kemudian setiap tahun ia diberikan satu persatu. Mula-mula kita diberikan mata. Bukan main kita berterima kasih dan memandang semua yang ada hinggakan semut merayap pun kita perhati dengan penuh minat. Dunia yang dahulunya gelap gelita telah menjadi terang dan penuh dengan warna warni. Kemudian, diberikan pula telinga. Wah! bukan main kita berterima kasih atas pemberian kedua ini. Dunia yang senyap sunyi telah kedengaran. Habis semua benda kita nak lihat dan dengar. Begitulah seterusnya hingga sempurna sifat kita. Mungkin sekiranya manusia dijadikan melalui tertib yang sedemikian rupa barulah kita mahu menggunakan kurniaan-kurniaan pancaindera dan anggota ini dengan penuh tanggungjawab?
Yelah, kita pasti akan berkata begini :
“ Kau tahu dulu sebelum aku dapat mata punyalah susah, dunia gelap gelita apapun tak nampak, Syukurlah sekarang aku dah ada mata. Boleh tengok semua benda. “
Tetapi bagi yang tidak bertanggungjawab, keadaan akan jadi sama seperti sekarang, menggunakan mata untuk melihat yang lucah, menggunakan telinga untuk mendengar yang sia-sia, menggunakan mulut untuk menabur fitnah, mencarut dan lain-lain lagi.
Kesimpulannya : Hargailah segala apa yang ada di sekeliling kita. Kerana besok ia mungkin tiada lagi.
No comments:
Post a Comment