Pada pendapat saya pendidikan akademik asas sehingga tahap Sijil Pendidikan Malaysia atau SPM di negara ini belum cukup untuk menjadikan seseorang itu memiliki pemikiran yang dinamik, kreatif, analitik dan sebagainya. Kalau adapun mungkin hanya sebilangan kecil darinya. Keadaan ini menyebabkan ramai yang bila diterapkan sesuatu isu mereka hanya mengikut tanpa banyak soal. Mereka tidak mempersoalkan akan kebaikan mahupun keburukannya, hak atau batil, salah atau benar baik dari sudut kemanusiaan mahupun dari sudut hukum hakam ugama.
Kelemahan ilmu akan menyebabkan kita menjadi lalang atau pengikut. Kita akan mengikut arah tiupan angin. Kita akan mudah terpedaya dan mengikut orang lain tanpa memikirkan samaada tindakan yang kita lakukan itu betul atau salah.
Pelbagai perkara negatif boleh berlaku disebabkan oleh kelemahan ilmu ini. Seorang yang lemah ilmunya akan dengan mudah dipengaruhi minda akal fikirannya. Contohnya, mereka membaca sebuah buku tulisan para pengkaji Barat langsung mempercayainya. Tak cukup dengan kepercayaan mereka kemudiannya menyebarkan idea pengkaji Barat itu kepada sesiapa sahaja yang ditemui. Semua idea ini masuk ke dalam diri tanpa tapisan mahupun tangkisan dan dipercayai seratus peratus.
Orang yang berilmu pula berbeza. Mereka pastinya akan mempersoalkan setiap idea yang disarankan oleh pengkaji Barat tersebut. Menapis yang tidak tepat dan menangkis yang salah sama sekali. Persoalan yang timbul ini adalah disebabkan ilmu dan pengetahuan yang terdahulu yang telah sedia ada di dalam diri mereka. Ilmu baru yang mahu masuk itu mungkin disanggah, disangkal atau sebagai penambahan kepada ilmu yang terdahulu di dalam diri.
Mari kita ambil contoh mudah ; bila saintis Barat mengatakan yang kita perlu tidur 8 jam sehari, perlu minum air putih 8 gelas sehari, makan pagi adalah masa yang makan yang paling penting dalam kehidupan seharian maka kita terus bulat-bulat mempercayainya. Kemudian datang pula input motivasi yang mengatakan orang yang banyak tidur melihat dunia jangkamasa yang singkat serta kajian yang mengatakan terlalu banyak minum boleh menyebabkan water intoxication. Makanlah bila terasa lapar kerana organ badan mempunyai mekanisme untuk memberitahu badan apa yang ia perlukan dan sebagainya yang mana menyanggah pernyataan awal tadi.
Bagi mereka berpegang kepada input ugama Islam pula tidur yang terbaik ialah tidur Nabi Daud AS iaitu 4 jam, minum bila perlu, membaca Bismillah, tidak bernafas dalam minuman, minum dengan 3 teguk dan ia bersesuaian dengan kajian yang mengatakan yang badan punya mekanisme untuk memberitahu secara automatik akan keperluannya samaada ia perlukan sayur, daging, air, gula dan sebagainya. Seorang Islam yang mengambil tamsilan dari seekor kucing yang memakan rumput bila ia sakit mahupun kajian saintifik mengenai perubahan positif partikel sel air bila doa dibacakan mengukuhkan hujah ini.
Dalam hal ini hanya orang yang berilmu pengetahuanlah yang bakal menyangkal dan mempersoalkan pernyataan awal tadi kerana dia telah ada pengetahuan yang terdahulu. Bagi yang tiada mereka akan terus menerima dan mempercayainya.
Kelemahan ilmu ini juga menyebabkan kadangkala terjadi rusuhan dan demonstrasi dalam sesebuah negara. Mungkin adakalanya ia mempunyai motif yang baik namun dikala yang lain pula sebabnya ialah ada pemimpin yang mempunyai agenda politiknya yang tersendiri yang tersembunyi. Lantas pemimpin ini meracuni fikiran ramai untuk menyokong dan menjalankan demonstrasi berkenaan.
Mereka berkata Mahatma Gandhi, Nelson Mandela, Martin Luther King semuanya menjalankan demonstrasi jalanan. Ramai hanya akur dan menurut. Persoalannya Mahatma Gandhi menjalankan demonstrasi kerana mahukan kemerdekaan India, Nelson Mandela berdemonstrasi kerana mahukan pembebasan dari dasar Aparthied yang menekan bangsanya, Martin Luther King berdemonstrasi kerana mahukan hak sama rata kepada bangsanya yang berkulit hitam. Mereka punya sebab dan alasan yang kukuh bertindak untuk kepentingan ramai.
Namun demikian dari segi saikologi kepentingan ramai lebih penting dari kepentingan yang sedikit. Demonstrasi hakikatnya membawa kepada efek yang negatif kepada ramai orang khususnya dan negara amnya baik secara langsung mahupun tidak langsung. Secara langsung ia menyebabkan kerugian harta benda dan nyawa. Mengganggu kelangsungan kehidupan seharian, produktiviti yang terganggu dan lainnya. Secara tak langsung ia menghindarkan pelancong dan pelabur asing masuk ke dalam negara lantas menjejaskan pendapatannya dan sebagainya.
Dalam hal ini pasti ada jalan yang lebih baik contohnya dengan duduk berbincang di meja perundingan, menghantar memorandum dan sebagainya. Kaedah ini pula bersifat positif tanpa menyebabkan kerugian dan kesusahan kepada yang ramai.
Dari sudut pandangan Islam pula kita disarankan menurut Al Quran dan Sunnah Nabi Muhammad SAW. Persoalannya mudah, kita berkata kita percaya dan sentiasa merujuk pada Al Quran dan Sunnah. Namun sedarkah kita yang Nabi Muhammad SAW tidak pernah berdemonstrasi? Demonstrasi pula bukanlah salah satu ibadah yang disarankan dalam Al Quran. Bukankah lebih baik kita melakukan ibadah yang wajib dan sunat terang-terang disukai Allah Taala daripada kita menggunakan masa dan tenaga untuk berdemonstrasi yang boleh membawa kemudaratan.
Agaknya kita mengikut Sunnah Gandhi lebih dari kita mengikut sunnah Nabi.
Inilah yang saya maksudkan kelemahan ilmu menyebabkan mudah bagi kita mengikut tanpa mempersoalkan benar atau tidak, baik atau buruk sesuatu tindakan yang kita lakukan itu.
Dalam hal ini, pencarian ilmu adalah satu usaha jangkamasa panjang yang berterusan sepanjang kehidupan. Carilah ilmu kerana lagi banyak ilmu yang ada dalam diri kita maka dengan izinNya Allah akan memberikan kefahaman. Ilmu yang banyak belum tentu datang dengan kefahaman, dengan taufik dan hidayah. Semuanya ini baik ilmu, kefahaman, taufik dan hidayah adalah hak mutlak milik Allah yang dikurniakan kepada sesiapa juga yang dikehendakiNya.
Kekuatan ilmu akan menjadikan seseorang itu mempunyai keyakinan yang tinggi dalam mengharungi kehidupan. Mereka bersifat terbuka, berani bertemu dan bersemuka dengan sesiapapun juga, berani berdebat, berani mempertahankan apa yang diyakini dengan hujah-hujah serta pandangan yang utuh. Mereka tak mudah terpedaya dan selalunya akan dapat mengawal serta menguasai keadaan. Budi bicara dan tindakan mereka jitu, kalau menjadi pemimpin mereka boleh memimpin dengan adil, berkarisma dan berhemah.
Banyak lagi sebenarnya kelebihan orang yang berilmu ini kalau hendak dihuraikan namun cukuplah setakat ini buat artikel kali ini. Apa yang penting ialah huraian ini memberi inspirasi untuk anda membuka minda mencari ilmu dan menjadikan prinsip pencarian ilmu sepanjang hayat ini sebagai salah satu prinsip dalam diri.
Fikir-fikirkanlah..
Sesungguhnya segala kebaikan adalah dari Allah dan segala kelemahan adalah atas kelemahan diri saya sendiri. Kemaafan jualah yang saya pinta.
Bukalah pintu hati, anda pasti akan memahami.
Ikhlas dari,
No comments:
Post a Comment