Saturday, October 1, 2011

Mengatasi Kemarahan Memupuk Kesabaran



Saya selalu membayangkan setan duduk di bahu saya bila saya dalam keadaan marah. Dia menghasut saya supaya memaki hamun, memukul dan mengambil tindakan yang paling kejam bagi memuaskan hati. Betul atau tidaknya, tidaklah saya tahu tetapi bagi saya ia adalah satu kaedah yang berkesan bagi diri saya untuk menahan kemarahan.

Kes contoh :

Pada satu hari berlaku perselisihan faham antara Imran dengan Azlan. Mereka bertumbuk dan Azlan menang. Imran tak puas hati nak repeat. Dia bawa 5 orang kawan-kawannya cari Azlan. Bila jumpa teruklah Azlan kena pukul, Azlan pula yang tak puas hati kali ini. Beberapa hari kemudian dia bawa pula 10 orang kawannya untuk membalas dendam. Maka berpanjanganlah kisah ini. Bilakah masalah ini akan selesai? Bila salah seorang atau dua-dua mati?

Dalam hal ini setan yang duduk di bahu Azlan yang menghasut dan terus-terusan menyuruh Azlan memukul Imran hingga puas hatinya. Kemudian setan di bahu Imran pula mengatakan perkara yang sama. Ia akan terus berpanjangan dan sukar untuk diselesaikan. Kedua-dua setan di bahu Imran mahupun Azlan yang menang dan mentertawakan sikap kedua-dua mereka kerana dapat memecahbelahkan dan menimbulkan kebencian di hati mereka berdua. Inilah kerja setan setiap masa.

Pernah satu ketika saya meletakkan kereta dan menghalang kereta orang lain kerana saya berhenti seketika hanya untuk mengeluarkan duit dari mesin ATM di sebuah bank. Apa yang terjadi ialah, sejurus kemudian, tuan punya kereta tersebut membunyikan hon dan memaki hamun saya dengan kata-kata yang kesat. Bagi saya tindakannya itu di luar batasan pembalasan yang sepatutnya.

Nak tahu apakah tindakan yang saya ambil? Saya katakan padanya,
“ Bang.. ada setan kat bahu abang tu tengah ketawa besar.. Setan tu suruh abang maki saya lagi..”

Saya tak tahulah apa yang tersirat dalam hati abang separuh umur itu tetapi pada masa itu dia terus senyap tidak lagi mengeluarkan sepatah suarapun sambil beredar dari situ.

Kadangkala kita tak perlu mencarut dan mengikut nafsu bagi tujuan menyerang mahupun pertahanan tetapi kata-kata hikmah lebih bernilai dan selalunya merupakan jalan yang terbaik. Bila bertemu dengan setan di bahu orang lain, gunakanlah malaikat di bahu anda untuk menanganinya kerana sekiranya anda juga menggunakan sistem setan maka pemasalahan itu akan berterusan dan bakal memporak-perandakan lagi keadaan.

Kebencian memang sifat setan dan ia menghitamkan hati. Jadi tak perlulah kita benci sipolan itu atau kita benci pada itu dan ini. Kasih sayang itu jauh lebih baik.

No comments:

Post a Comment