Sunday, October 2, 2011

Peranan Tukul




Dalam bab ini saya ingin memperkenalkan anda kepada makhluk yang seterusnya yang diberi nama Tukul. Tukul diperbuat daripada dua elemen lain iaitu kepalanya yang diperbuat dari besi yang dikorek dari dalam tanah dan pemegangnya merupakan kayu yang datang dari pokok. Ia merupakan satu makhluk yang bergabung dari dua elemen alam semuajadi. Konsep tukul ini adalah konsep makhluk dan tamsilan dari konsep ini tak terhad kepada makhluk tukul semata-mata kerana analoginya sebenarnya boleh digunakan dengan mengambil contoh mana-mana makhluk sekalipun.

Kita menggunakan tukul untuk mengetuk paku ke dalam dinding bagi tujuan menggantung gambar contohnya.  Bukankah selepas kita menggunakannya maka kita tidak sedikitpun mengucapkan terima kasih atau mengelap tukul berkenaan malah silap-silap kita meletakkannya ke dalam stor mahupun membalingnya jauh sehingga ke saat kita ingin menggunakannya kembali.

Keadaan ini sebenarnya tiada bezanya dengan peribahasa melayu yang berbunyi “bagai melepaskan anjing tersepit” atau “umpama membela biawak hidup”. Ia memberi maksud orang yang tak menghargai pertolongan orang lain. Orang yang kita beri bantuan yang akhirnya melukakan hati kita. Cuba anda bayangkan tukul tadi, bukankah kalau dia boleh berkata-kata pasti dia akan memarahi kita kerana tidak berterima kasih atas bantuan yang telah dia berikan pada kita demi untuk menggantung gambar tadi, tanpa bantuan tukul dapatkan kita memaku dengan menggunakan tangan? Pastinya tidak.

Mungkin anda berkata “Ah! Tukul tu makhluk tak bernyawa atau memaku memang kerja tukul dan sebagainya.” Oh! Maknanya kita hanya perlu menghargai manusia yang membantu kita kerana mereka mempunyai hati dan perasaan yang perlu dijagalah? Macam tak ikhlas je.. Tapi banyak manusia yang kita jumpa di luar sana yang tak reti menghargai bantuan orang lain apa cerita?

Semua ini memang betul tetapi kalau kita tak boleh menghargai bantuan tukul ini bermakna kita tak cukup prihatin untuk menghargai bantuan orang lain dan seterusnya dalam aspek yang lebih besar kita tak akan tahu menghargai dan mensyukuri akan berjuta nikmat yang Allah kurniakan kepada kita saban hari. Nikmat nyawa, Islam, mata dan penglihatan, udara, kehidupan, rezeki dan sebagainya. 

Dari sudut yang lain pula sebenarnya kita juga makhluk yang sama seperti tukul tadi. Hanya dijadikan Allah untuk berkhidmat kepada manusia yang lain. Tukul tak pernah meminta kita berterima kasih menghargainya. Oleh itu sebenarnya pertolongan kita pada manusia lain tak perlulah mengharapkan penghargaan dan balasan dari orang itu. Bantulah dengan seikhlas hati. Makhluk memang sifatnya mengecewakan oleh itu bila kita membantu sesiapapun juga janganlah kita berharap yang dia akan berterima kasih dan menghargai usaha kita itu. Dalam banyak keadaan mereka akan mengecewakan kita, menjadi biawak yang mengigit orang yang membantu melepaskan mereka dan sebagainya.

Ramai juga yang saya temui mempunyai prinsip ada udang di sebalik batu lebih-lebih lagi dalam menjalankan perniagaan. Memelihara perhubungan dengan Pengarah Jabatan, memberikan pelbagai bentuk bantuan dan hadiah hanya kerana mereka inginkan kontrak dan sebagainya.

Bagaimanapun tak semua orang yang dijadikan Allah mempunyai sifat yang sedemikian rupa. Ada diantara kita yang begitu menghargai sehinggakan bantuan yang kita berikan terlalu sedikit tetapi balasan yang mereka pulangkan pula banyak. Sebagai contoh; pada satu masa jiran sebelah rumah yang sedang sesak tak cukup duit untuk membawa anaknya yang demam ke klinik kemudian meminjam RM50.00. Maka dengan duit itu dapatlah dia menyelesaikan masalah yang dihadapi itu. Kemudiannya jiran itu membayar balik duit tersebut dan terus-terusan menghargai dan membantu kita setiap kali kita meminta pertolongan sebagai tanda berterima kasih. Apapun banyak manakah ganjaran yang dapat manusia berikan kalau dibandingkan dengan balasan dari Allah Taala? Kalau begitu bukankah lebih baik kita mengharapkan balasan dari Allah sahaja.

Orang yang tahu menghargai dan berterima kasih atas apa juga pemberian adalah sebenarnya adalah orang yang tahu menghargai dan berterima kasih kepada Allah Taala. Saya yakin Allah Taala juga menyediakan pelbagai ganjaran kepada mereka yang faham dan tahu mensyukuri akan nikmat serta kurniaanNya.

No comments:

Post a Comment