Sunday, October 20, 2013

Mengembangkan Syiar Islam

Hidup ini sebenarnya mudah sahaja. Ikut, patuh, taat, redha, ikut arahan, ikut hukum hakam, jangan mempersoalkan Allah Taala maka percayalah hidup akan menjadi mudah. Ingat Allah, bersolat, ikut sunnah Nabi dan apa juga yang diperintahkan Allah Taala maka hidup ini akan menjadi tenang dan bahagia.

Inilah peripentingnya mencari maklumat, ilmu dan pengetahuan, menimba sebanyak mana ilmu kerana ilmu-ilmu ini bakal memberi kefahaman dan membetuk sahsiah diri insan yang baik serta berakhlak mulia.

Pun begitu Allah Taala tidak punya blog, tidak punya FB account dan sebagainya. Allah Taala menurunkan Kitab Al Quran sebagai panduan kepada manusia. Rasulullah SAW pula telah lama wafat. Namun demikian arahan dan saranan untuk berdakwah, untuk menyampaikan telah lama dikeluarkan kepada orang Islam, kepada muslimin dan muslimat demi untuk memperkembangkan syiar Islam. Maka kitalah umat Islam yang dipertanggungjawabkan untuk menyampaikan ilmu-ilmu Allah ini.

Kita jugalah yang diamanahkan untuk meniru dan mengikut cara kehidupan yang telah diajarkan oleh Rasulullah SAW. Baginda dikurniakan dengan akhlak yang termulia maka dengan berbuat demikian kita juga bakal punya akhlak yang baik.

Sebenarnya Allah menjadikan akhlak dan budi pekerti yang mulia ini sebagai kayu ukuran yang utama dalam menentukan kedudukan seseorang di sisiNya mahupun di sisi manusia. Orang kaya, lawa, berpangkat juga hakikatnya tiada nilai sekiranya punya sikap yang buruk. Orang hodoh, miskin dan papa lebih bernilai anda dia punya akhlak yang baik. Inilah kelebihan mempunyai akhlak dan pekerti yang mulia.

Kepada penyampai, Allah Taala janjikan ganjaran yang banyak. Jadi, sampaikanlah walau satu ayat. Sampaikanlah di alam maya mahupun alam nyata. Sampaikanlah di FB, di blog, di media sosial di media massa mahupun dimana sahaja agar yang tak faham menjadi faham dan yang faham akan menjadi lebih faham. Maka dengan kefahaman ini bakal menjadikan kita insan yang baik dan berakhlak mulia. Insan yang membawa manfaat kepada orang lain. Insan yang menjadi khalifah untuk memakmurkan dunia fana ini. Ketahuilah dunia bakal jadi aman, tenang dan makmur andai semua manusia faham dan punya ilmu kehidupan ini.

Ingatlah dunia ini hanya main-main, akhirat jugalah yang kekal abadi.
Sampaikanlah ilmu Allah walau satu ayat.

Sekian dulu.


FY

No comments:

Post a Comment