Thursday, April 12, 2012

Menurut Perintah Allah Taala



Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam ugama Islam (dengan mematuhi) seluruh hukum-hukumnya.

Al – Baqarah ayat 208


Dalam perspektif selain Islam termasuklah ideologi Barat, semua perkara dibahagikan kepada dua kategori iaitu yang baik dan yang buruk tetapi dalam perspektif ugama Islam ia dibahagikan kepada lima kategori hukum utama selain dari hukum-hukum yang lainnya.

WAJIB, SUNAT, HARUS, MAKRUH dan HARAM

Wajib              – Buat dapat pahala, tak buat berdosa.
Sunat             – Buat dapat pahala, tak buat tak mengapa.
Harus             – Buat / tak buat tak mengapa.
Makruh          – Buat kemungkinan dapat dosa, tak buat tak mengapa.
Haram            – Buat berdosa, tak buat dapat pahala.

Contohnya pengisian yang kita dengar seharian juga tertakluk kepada hukum. Ada pengisian yang haram iaitu pengisian yang bersifat fitnah, mengadu domba, penipuan dan sebagainya, ada juga pengisian yang makruh iaitu pengisian yang sia-sia, ada pula pengisian yang harus yang menceritakan tentang isu semasa, kemudian ada pula pengisian sunat yang bertujuan merapatkan silaturrahim dan ada juga pengisian fardhu iaitu pengisian dakwah yang membawa kebenaran.

Bagi saya terdapat banyak maklumat yang berkisar di dunia ini hinggakan kemajuan internet telah membolehkan kita memperolehi pelbagai maklumat dengan hanya satu petikan jari pada tetikus. Pada pendapat saya dalam maklumat yang begitu banyak itu akan terselit ilmu. Ilmu itu sebenarnya datang Allah dan benar sifatnya. Pengisian inilah pengisian dakwah yang berada dalam rangkuman Fardhu Kifayah yang tinggi nilainya kalau dibandingkan dengan pengisian-pengisian maklumat yang lainnya.

Sebagai contoh lain semua kerja yang kita lakukan juga tertakluk pada hukum. Menyanyi, berhibur, membuang masa sia-sia dan tak berfaedah boleh jadi makruh hukumnya. Ada puasa wajib di bulan Ramdhan, ada puasa sunat pada hari Isnin dan Khamis ada puasa harus, ada puasa makruh pada hari Ahad dan ada puasa yang haram kalau dijalankan pada Hari Raya contohnya. Ada wajib makan kalau kita sudah terlalu lapar hingga boleh memudaratkan, ada sunat makan, ada harus makan ada makruh makan kalau sudah berlebihan ada haram makan kalau apa yang dimakan itu diharamkan.

Kalau difikirkan apakah kerja yang kita lakukan sekarang dan apakah kategorinya? Membaca buku bersifat ilmu boleh jadi fardhu kifayah tetapi membaca majalan hiburan lain pula hukumnya.

Apakah pula kerja yang kita lakukan sekarang? Adakah kita bekerja di Bank, di Hotel, di Genting Highland, di Kelab-kelab malam, di kilang rokok dan Arak atau melibatkan penipuan, rasuah dan riba yang boleh menyebabkan rezeki yang kita terima berada dalam lingkungan makruh mahupun haram?

Rezeki yang diterima dengan cara yang sebegini pasti ada implikasinya yang tersendiri dan dari kajian yang saya buat ia bakal mengundang kesusahan kepada penerimanya.

Kemudian timbul pula persoalan rezeki yang diterima itu kemana pula ia dibelanjakan. Pengisian dunia tidak mengatakan kemana ia dibelanjakan oleh itu orang Barat lebih suka membelanjakannya ke arah perkara-perkara yang makruh. Melalui televisyen mereka memaparkan kemewahan dalam bentuk rumah yang besar siap dengan semua perhiasannya, kereta yang canggih dan sebagainya lantas inilah yang ditiru orang kita tanpa mengettahui yang semua ini berada dalam rangkuman makruh.

Dalam Islam orang yang bermampuan hendaklah menyempurnakan kewajipan rezeki dengan melangsaikan hutang, menunaikan zakat dan menunaikan haji, kemudian sedekah dari yang dekat kepada yang jauh, membantu anak yatim dan orang yang dalam kesusahan dan sebagainya. Seterusnya menyediakan keperluan makan, minum dan tempat perlindungan yang termasuk dalam rangkuman harus. Perhiasan rumah, shopping,  membesarkan rumah hingga berlebihan boleh termasuk dalam hukum makruh dan akhir sekali penyalahgunaan rezeki dengan aktiviti haram hendaklah dielakkan sama sekali.

Malangnya manusia lebih suka melakukan perkara yang makruh dan haram. Suka membazir, bercakap perkara yang tiada faedah, melakukan kerja-kerja yang haram dan sebagainya. Saya pernah ditanya soalan akan apa salah sekiranya seorang melayu mewarnakan rambut perang dan memakai kanta lekap berwarna biru tetapi iman dalam hati siapa yang tahu? Lalu saya katakan yang Allah sukakan kepada perkara yang wajib dan sunat dikerjakan manusia maka berambut kuning dan bermata biru berada dalam kedudukan makruh malah mungkin haram maka sebenarnya ia jelas menunjukkan kedudukan keimanan seseorang itu. Mereka yang beriman pasti akan mengelakkan dari melakukan perkara-perkara yang makruh dan haram sebegini.

Dalam berpakaian juga kita boleh melihat kepercayaan dan penerapan diri seseorang insan itu. Pada masa yang sama ia juga berada dalam rangkuman hukum Islam yang sedang diperkatakan ini. Ada yang berpakaian menjolok mata yang haram sifatnya, ada yang berpakaian bersilau dan berkelip-kelip yang menjadi tumpuan ramai, ada yang memakai baju Manchester United mahupun Liverpool demi menunjukkan sokongan kepada pasukan kegemaran mereka tanpa melihat sokongan kepada Red Devil atau setan merah mahupun jenama arak yang terpampang di dada. Bukankah semua ini berada dalam rangkuman makruh dan berkemungkinan menjadi haram sedangkan kita boleh memakai baju putih dan menutup aurat mengikut sunnah Nabi Muhammad S.A.W. yang menjanjikan pahala dari Allah Taala.
                                                     
Ini semua sebenarnya adalah dakyah Barat yang pada masa yang sama didorongi syaitan dibelakangnya. Kalau kita perhatikan sedalam-dalamnya mereka menonjolkan rangkuman makruh dan haram dengan budaya hedonism iaitu budaya hiburan, maksiat, seks, dadah dan arak, penonjolan kepada kemewahan, kekayaan dan sebagainya. Ramai pula diantara kita yang lebih suka mengagung-agungkan budaya Barat ini kerana mereka percaya yang budaya ini merupakan budaya universal yang sepatutnya diterima umum walhal budaya ini pada hakikatnya serba lemah dan banyak kekurangannya.

Mungkin juga kedudukan keimanan seseorang itu bergantung kepada apa yang dilakukan sepertimana di bawah ini.


WAJIB, SUNAT, HARUS
Solat
Puasa
Menunaikan zakat
Menunaikan Haji
Berdakwah
Bercakap Benar
Berzikir
Mengaji Al Quran
Sedekah
Derma
Saling Berkhidmat
Bersilaturrahim
Bekerja
Belajar
Berniaga
Bercucuk tanam
dan lain-lain ibadah.

MAKRUH DAN HARAM
Mewarna rambut
Membuka aurat
Merokok
Bercakap sia-sia
Membazir masa, tenaga dan sumber
Fitnah
Mengadu Domba
Menipu
Syak wasangka buruk
Berjudi
Minum arak
Bercampur gaul
Bergaduh
Melakukan zina
dan lain-lain maksiat.

Dari rangkuman di atas anda berada dalam golongan yang mana?

Masa juga sebenarnya tertakluk kepada hukum. Kita diwajibkan solat setiap kali masa waktu 5 kali sehari iaitu menjelang fajar, menjelang tengahari, menjelang petang, menjelang senja dan menjelang malam. Setiap kali waktu itu menjelang maka perkara pertama yang perlu kita lakukan ialah bersolat fardhu yang diwajibkan ke atas kita kemudian barulah kita buat urusan dalam rangkuman hukum yang lainnya. Seorang sahabat pernah bertanya kepada Rasullullah S.A.W., apakah amalan yang paling baik untuk dilakukan? Baginda menjawab, mendirikan solat di awal waktu, berbuat baik kepada ibubapa dan berjihad ke jalan Allah. Ia membawa maksud yang kita menjadikan Allah keutamaan iaitu mendahulukan Allah sebelum perkara yang lain. Inilah disiplin yang diterapkan Islam yang begitu sempurna tiada dalam ugama lain.

Saya juga pernah mendengar satu khutbah yang mengatakan menurut statistik kebanyakan penceraian yang berlaku di negara ini adalah disebabkan penghuni di dalam rumah tangga itu tidak menunaikan solat atau mempelecehkan soal solat. Cuba perhatikan sampel-sampel yang berada di sekeliling anda. Adakah mereka yang menghadapi cerai berai ini terdiri dari mereka yang mendirikan solat atau sebaliknya? Saya tak tahu apa hubungkait penceraian dengan rumahtangga tetapi saya yakin yang fakta ini adalah benar. 



Apapun Allah Taala suka kepada makhlukNya yang melakukan kerja-kerja dalam rangkuman Wajib dan Sunat. Wajib mesti ditegakkan dan sunat pula sebagai tambahan kepada Wajib sekiranya Wajib tidak dapat disempurnakan dengan sebaiknya atau Sunat merupakan bonus kepada Wajib yang telah dilengkapkan.

Kesimpulannya pula sebagai seorang Islam semua perkara dalam kehidupan kita sebenarnya tertakluk kepada hukum.

Sekian dulu buat kali ini.

FY

No comments:

Post a Comment