Friday, September 28, 2012

PERIHAL AKU


PERIHAL AKU

Dewasa ini FY sering mendengar orang berkata. Aku yang punya itu dan ini, Aku hensem, cantik dan anggun. Aku yang mengajar itu dan ini. Aku yang menjadi penyebab orang lain kaya. Ilmu ini aku yang cari jadi aku takkan berikan sesuka hati, Aku yang berusaha dan berjaya membeli kereta mewah ini dan sebagainya.

AKU? Adoiyai apalah yang ada pada AKU? AKU ini pun dipinjamkan. AKU inipun kalau tak diberikan udara untuk bernafas dah lama mati, AKU ini kalau tak dikurniakan tenaga maka terkulai layulah AKU. Kalau tak dikurniakan Ilmu maka bodohlah AKU.

Tidakkah KAMU pernah dengar ayat “La hawlawalaquataillabillah...” yang membawa maksud “Sesungguhnya aku tiada daya upaya tanpa izin Allah Taala.”

Faham tak ayat tu?

Maknanya kalau tidak dikurniakan semua yang diperkatakan tadi maka terkulai layulah AKU.

Tidakkah pernah kamu mendengar ilmu Allah yang ada di seantero alam ini hanyalah setitik dari lautan-lautan ilmu Allah Taala? Lantas kamu mengatakan kamu yang mencarinya? Lantas KAMU berkata ia hakmilik KAMU? Tahukah KAMU yang ia adalah hakmilik Allah Taala yang diamanahkan pada kamu? Kamu diberi amanah tetapi kamu menyalahkan gunakan amanah ilmu itu dengan membawa kepada kerosakan dan penipuan.

Mereka yang faham pastinya sudah lama meninggalkan AKU dari dalam dirinya. Tiada AKU, yang ada hanyalah ALLAH TAALA Tuhan yang Maha Esa. Tuhan yang mengurniakan tenaga untuk aku bergerak, Tuhan yang memberi udara untuk aku hirup dan meneruskan kehidupan, Tuhan yang mengamanahkan aku ilmu untuk aku sampaikan dengan penuh hemah dan kemudiannya dipertanggungjawabkan bila kita mati kelak.

Sudah-sudahlah dengan AKU. AKU juga akan mati dan meninggalkan dunia yang fana ini satu hari nanti.

FY

Cover Line


MANGGA YANG CANTIK KULITNYA

“Facade” ini adalah perkataan bahasa Perancis yang bermaksud Luaran ataupun Permukaan dalam Bahasa Melayu. Saya menggunakan perkataan ini kerana saya tidak bertemu dengan makna yang sesuai untuknya dalam Bahasa Melayu di dalam kamus. Apapun saya yakin penerangan yang bakal saya titipkan akan menjelaskan maksud saya berkenaan dengan isu ini.

Ia diibaratkan seperti sebuah rumah yang kelihatan begitu cantik dari luarnya. Struktur binaannya begitu halus siap dengan pagar batu, rumput karpet dan sebagainya. Sebuah kereta berjenama diletakkan di anjung hadapan rumah tersebut. Dari mata kasarnya kita mengatakan yang segala yang baik tentang pemilik rumah tersebut.

Masalahnya bila kita masuk ke dalam rumah tersebut keadaannya bersepah, penuh dengan sampah sarap langsung tidak berkemas. Keluarga mereka sebenarnya hidup dalam porak peranda dan dibelenggu hutang.

Inilah contoh yang terbaik yang dapat saya huraikan bagi menerangkan topik ini. Dalam hal kemanusiaan orang yang “facade” ini hanya mahu menunjukkan apa yang gah di luar tetapi menyorokkan segala kelemahan mahupun kekotoran yang ada di dalamnya. Seumpama buah mangga yang cantik dan wangi di luar tetapi busuk dan berulat di dalamnya.

Ada yang sanggup berhabis-habisan untuk menunjukkan status mereka kepada yang ramai. Dari pakaian dan perhiasan diri, telefon bimbit, kereta dan rumah semuanya yang canggih dan berjenama walhal belum sampai cukup bulan kantung mereka dah kosong. “Biar papa asal bergaya”. Kata mereka. Mereka juga sanggup meminjam hak orang lain semata-mata untuk menayang dan menunjuk-nunjuk kepada orang lain.

Contohnya di zaman bujang ada yang sanggup membeli minyak wangi dan pakaian yang mahal, malah sanggup untuk meminjam duit dan pakaian rakan hanya untuk keluar ber”dating” dengan kekasih hati dan makan di restoran yang mahal.

Bagi yang senang pula mereka berbuat demikian untuk menayangkan kemewahan yang mereka. Semua penerapan ini sebenarnya bermula dari Barat yang di war-warkan melalui media massa mereka. Dalam lain perkataan mereka menunjukkan dalam filem-filem mereka betapa kekayaan itu sesuatu yang dipandang tinggi. Mereka menunjukkan kereta, rumah dan  barang-barang mewah yang lainnya dan kemudiannya diikuti oleh semua bangsa di seluruh dunia. Orang Vietnam, Cina, Malaysia malah Iraq sekalipun yang hidup dalam serba kekurangan dan kesederhanaan pada awalnya bila keadaan ekonominya meningkat akan mengikut cara kebaratan ini. Mereka sanggup berhutang dan bergolok gadai untuk menujukkan status mereka walhal sebenarnya mereka dalam hutang yang menimbun.

Lebih ekstrim lagi kita dapat lihat orang tua kaya yang berkahwin dengan seorang perempuan muda yang cantik. Perempuan cantik dan muda ini dinamakan “isteri piala” seperti yang dilakukan oleh Donald Trump hartawan hartanah Amerika Syarikat. Kemudian ada yang menampakkan kebahagiaan dalam perhubungan kekeluargaan namun pada hakikatnya penuh dengan masalah. Mereka menampakkan kasih sayang dengan berpelukan di hadapan mata yang yang melihat namun di belakang mereka bagai anjung dan kucing yang tak boleh berhenti bergaduh.   

Mereka ini sebenarnya adalah orang yang hipokrit, terdiri dari orang-orang yang mementingkan aspek keduniaan yang bersifat luaran semata- mata. Penerapan diri ialah untuk sentiasa kelihatan anggun dan canggih, kelihatan kaya dan mewah, merasakan yang semua orang memandang, merasakan diri lebih baik dari orang lain dan berbangga berbuat demikian dengan mengharapkan penghargaan dan pujian. Semua kelemahan akan ditutup dan menipu sekiranya perlu. Menipu dan terus menipu. Ini adalah salah satu penerapan nilai yang dianjurkan Barat melalui rancangan televisyen yang lama-kelamaan menjadi prinsip diri orang kita. Memang ia kelihatan gah dari segi luarannya tetapi hakikat sebenarnya jiwa mereka kosong. Lambat laun ia akan memakan diri sendiri.

Sikap ini bukan hanya berlaku pada peringkat individu malah menular dalam pengurusan syarikat dan digelar “window dressing” juga dalam pemerintahan sesebuah negara dan dinamakan propaganda. Ini semua adalah dakyah yang bertujuan mengabui mata orang luar yang tidak memahami lantas diperdaya / dimanipulasi.

Sebagai manusia yang merupakan kejadian yang tidak sempurna, maka adalah lebih baik kita menjadi insan yang benar, berterus terang dan ikhlas. Ini kerana kita tak perlu bersusah payah untuk menunjukkan barang yang bukan milik kita, kita tak perlu menipu untuk menunjuk-nunjuk, kita tak perlu berpura-pura untuk mendapatkan pujian mahupun penghargaan. Apa yang ada di luar itulah yang ada di dalam. Lagipun, kelemahan dan ketidaksempurnaan memang fitrah kita sebagai manusia.

Fikir-fikirkanlah..

Sesungguhnya segala kebaikan adalah dari Allah dan segala kelemahan adalah atas kekurangan diri saya sendiri. Kemaafan jualah yang saya pinta.

Bukalah pintu hati, anda pasti akan memahami. Terima kasih meluangkan masa membaca. Harap ia membawa manfaat buat anda.

Ikhlas dari,

Faizal Yusup
Pengkaji Isu Sosial

Facebook : Faizal Yusup
Revolusi Baru Kecemerlangan Diri!

PS - Anda suka blog ini? Tolong saya hebahkan pada semua rakan-rakan anda okay? Ada banyak manfaat untuk semua InsyaAllah.

Terima kasih…

Thursday, September 6, 2012

Sintom Krisis Kehidupan Pertengahan


Sintom Krisis Kehidupan Pertengahan

FY menyambung lagi artikel sebelum ini mengenai gejala kehidupan Pertengahan ini.
       
Berikut adalah senarai gejala yang menggambarkan krisis kehidupan pertengahan menurut pandangan Barat dari artikel yang FY terjemahkan dengan sedikit tambahan ;
       
1.           Melihat ke dalam cermin dan anda tidak lagi mengenali diri sendiri.
2.           Keinginan untuk berhenti kerja atau berpindah rumah.
3.           Hilang semangat melakukan aktiviti yang biasanya membuat anda bahagia.
4.           Menukar atau menyiasat agama baru, ideologi atau falsafah zaman baru.
5.           Perubahan tabiat. Aktiviti yang selalunya membawa keseronokan sekarang menjadi begitu membosankan. Tidak melengkapkan atau menumpukan perhatian kepada tugas-tugas yang biasanya begitu mudah untuk dilakukan.
6.           Rasa seronok bila tertekan dan memberi tekanan.
7.           Mahu lari dari segala-galanya.
8.           Satu keinginan untuk menjalankan aktiviti berbentuk fizikal dan mengeluarkan peluh.
9.           Rasa bengang atau marah yang tidak dapat dijangka.
10.        Perubahan dalam alahan.
11.        Keinginan untuk pergerakan bebas fizikal  (Berlari, Berbasikal, Menari, Memandu motor atau kereta dengan laju, menyelam, terjun bungee dll).
12.        Meneroka citarasa muzik yang baru.
13.        Secara tiba-tiba ada keinginan untuk belajar bagaimana untuk bermain alat muzik.
14.        Minat secara tiba-tiba dalam lukisan, penulisan buku atau puisi.
15.        Peralihan corak tidur (Biasanya kurang).
16.        Berfikir tentang kematian, tertanya-tanya tentang persoalan kematian.
17.        Perubahan imbangan vitamin yang anda ambil. Atau mengambil makanan tambahan untuk tujuan melanjutkan kehidupan.
18.        Perubahan yang melampau akan apa yang anda makan.
19.        Berlebihan membeli pakaian baru dan mengambil masa yang lebih untuk kelihatan anggun.
20.        Perubahan kepada stail rambut  (Perubahan semulajadi dalam ketebalan, kilau, warna atau perubahan dibantu kerana rambut mati secara tiba-tiba atau bercukur kepala botak)
21.        Keinginan untuk berada dalam persekitaran yang berbeza.
22.        Melepak dengan generasi yang berbeza kerana tenaga dan idea mereka memberangsang anda.
23.        Memulakan semula perkara-perkara yang anda tinggalkan 20 tahun dahulu.
24.        Kecewa dengan keadaan masyarakat. Punya keinginan untuk mengubah dunia menjadi lebih baik.
25.        Rasa terperangkap atau terikat dengan tanggungjawab yang ada.
26.        Punya perasaan untuk meninggalkan keluarga atau rasa terperangkap dalam hubungan kekeluargaan semasa.
27.        Menilai semula perhubungan dengan rakan taulan, saudara mara malah keluarga.
28.        Keinginan untuk mengajar orang lain atau menjadi “healer” kepada masalah orang lain.
29.        Mahukan kehidupan yang lebih mudah / simple.
30.        Selalu terkenang kembali sejarah silam.
31.        Bermain semula hanya untuk bermain!
32.        Asyik bertanya diri anda sendiri: "Kemanakah arah tuju kehidupan saya?"
33.        Menjadi taksub dengan penyelesaian baru kepada masalah.
34.        Baru-baru ini mengalami dugaan yang sangat menekan. Tekanan ini boleh mencetuskan transformasi Midlife Crisis ini. Beberapa contoh termasuk: Menukar Pekerjaan, Perceraian, Kematian seseorang yang tersayang, pendedahan toksik kepada badan atau mengalami penyakit yang teruk.
35.        Melakukan perkara-perkara yang diluar kebiasaan diri lantas membuatkan orang lain terkejut.
36.        Seseorang yang tidak disangka-sangka berkata kepada anda: "Anda sedang melalui krisis pertengahan kehidupan!"

Entahlah FY pun tak tahu akan kebenarannya. FY cuma ambil artikel ini untuk dikongsi bersama kerana ia mungkin terjadi kepada anda.

Mengenali dan memahami masalah yang kita hadapi adalah jauh lebih baik kerana ia akan dapat mengelakkan permasalahan yang lebih besar.

Sekian dulu

FY

Wednesday, September 5, 2012

Krisis Pertengahan Umur


Umur 40 Tahun

Assalamualaikum…

Kebelakangan ini alignment FY agak tak betul. Nak menulis pun malas, emosi dan spiritual pun terganggu, hilang focus, rasa resah gelisah dan sebagainya. Rutin seharian terasa begitu hambar.

Puas juga mencari apa sebab musababnya kemudian seorang kawan mengatakan FY ada sintom MLC atau Mid Life Crisis.

Ha! Itu macam ka? Maka FY pun buatlah sedikit research. Maka dalam salah sebuah blog inilah artikel yang FY temui.

Artikel ini diambil dari sini, dan dikupas oleh Ustaz Zahazan Mohammed.

Sesiapa yang berusia 40 tahun, amalan kebajikannya belum mengatasi amalan kejahatannya, maka bersedialah ia ke neraka Allah. (Riwayat Tabrani)

Soalan: Orang Barat mengatakan kehidupan bermula pada usia 40 tahun. Sementara dalam Islam, penentu kepada kebaikan atau sebaliknya ialah pada usia 40 tahun. Manakala dari sudut psikologi pula, usia 40 tahun merupakan fasa kedua remaja. Bagaimana pandangan Ustaz tentang usia 40 tahun sebagai titik permulaan untuk berubah?

Jawapan:

Imam Tirmizi membahaskan hadis ini dari sudut perspektif usia 40 tahun. Ujarnya, hadis ini adalah hadis yang daif atau lemah. Pun begitu, ia boleh dijadikan amalan tetapi tidak boleh dijadikan hujahan.

Apabila kita membandingkan atau membuat satu kajian berdasarkan kepada pengalaman, hadis ini ada logiknya. Mungkin ulama hadis mengatakan hadis ini daif, tetapi maknanya sahih atau dari sudut praktikal, amalannya tidak bercanggah de-ngan akidah dan dalam banyak hal, membuktikan ia betul.

Kenapa betul? Pertama, Nabi Muhammad sebelum menerima wahyu, hidup dalam keadaan tidak beragama tetapi menerima hidayahnya pada usia 40 tahun. Di sini, menjadi satu contoh yang baik untuk direnung bersama dan perkara ini tidak berlaku secara kebetulan kerana Allah s.w.t. tidak melakukan sesuatu perkara melainkan ada hikmah dan falsafah tertentu di sebaliknya.

Selain itu, sekiranya dilihat dari segi putaran hidup manusia, boleh dikatakan pada usia 40 tahun menjadi detik penentu tentang hala tuju masa hadapan. Kalau sebelum ini kehidupannya sentiasa happy go lucky tetapi pada saat usia mencecah 40 tahun, pastinya sudah terdetik di dalam fikiran dan hatinya untuk membina keteguhan dalam banyak hal kehidupan. Contohnya, pendidikan anak-anak, pengumpulan harta dan sebagainya.

Yang menariknya lagi, sebuah kajian yang sempat saya temui berdasarkan analisis penagih dadah, menunjukkan 70 peratus penagih yang berusia di bawah 35 tahun, mampu diubah menjadi warga yang produktif. Tetapi, apabila usia meningkat 36-45 tahun, hanya 30 peratus yang boleh berubah. Manakala bakinya akan kekal atau bertambah teruk. Fakta ini berdasarkan satu kajian saintifik semasa, analisis, statistik menunjukkan ada kebenarannya.

Jadi berbalik kepada hadis tadi yang dianggap hadis yang lemah, tetapi maknanya sahih dan berdasarkan kepada pengalaman manusia hebat iaitu Nabi Muhammad s.a.w. juga menunjukkan kebenarannya.

Bahkan, jika kita lihat kepada tokoh-tokoh Islam selepas Baginda seperti Fakhrul Razi, merupakan seorang yang lara, hidup dalam kelalaian tetapi pada usia 40 tahun, beliau tersedar dan kesedarannya berlaku apabila beliau melihat bagaimana berhadapan dengan kematian, dan yang memeranjatkan pada usia tersebut beliau berubah dan bertukar menjadi seorang yang alim dalam ilmu tafsir.

Kedua, titik tolak perubahan yang berlaku kepada hidup seseorang itu boleh berlaku walaupun pada usia 40 tahun tetapi tidak mustahil selepas itu tidak mahu berubah, maka ia akan terus lalai dan menghabiskan usia kehidupan dengan perkara yang tidak bermanfaat kepada diri juga kepada orang sekeliling.

Malah di Barat juga, mereka mengkaji seperti di dalam buku The Magic of Thinking Big yang ditulis oleh Dr. David Schaward, ahli psikologi dan profesor di sebuah universiti. Buku beliau ini terjual lebih 10 juta cetakan. Ia membahaskan tentang pro-ses kejayaan manusia sewal usia 20 tahun. Tetapi dari sudut kajian, menerusi beberapa orang tokoh korporat, didapati mereka berjaya dan kukuh kedudukannya adalah pada usia 40 tahun.

Kajian-kajian kemanusiaan ini secara tidak langsung menyumbang kepada pembuktian terhadap kebenaran apa yang disebut di dalam hadis tadi. Bertepatan juga dengan satu teori dalam masyarakat Barat iaitu Life begins at 40 atau permulaan hidup berlaku pada usia 40 tahun.

Antara cadangan mereka untuk mengatasi masalah ini ialah ;

1. Meneguhkan tujuan hidup
2. Meningkatkan daya spiritualisme
3. Menjadikan uban sebagai peringatan
4. Memperbanyak bersyukur
5. Menjaga makan dan tidur
6. Menjaga konsistensi dan continuity

Selain itu, orang Barat juga menganggap kecantikan seorang perempuan juga bukan pada usia 20an tetapi kecantikannya sampai pada usia 40 tahun. Kenapa? Ini kerana kecantikan tersebut dilihat dari segi holistik atau menyeluruh, iaitu bukan sahaja dari segi penampilan fizikal tetapi ia merangkumi sikap, misi dalam hidup, kejayaan mendidik anak-anak dan banyak lagi.

Oleh itu mengikut Barat pada usia 40 tahun inilah tahap atau klimaks kecantikan seseorang wanita kerana ia datang secara pakej atau sempurna.

Bahkan, budaya kerja di Perancis dan Eropah, di mana mereka sedang mencari satu penyelesaian kepada masalah kerja yang semakin menekan dan membebankan. Di antaranya, mencadangkan empat hari bekerja dan tiga hari rehat. Alasannya, hari pertama cuti untuk tujuan servis kenderaan, hari kedua untuk menguruskan rumah dan ketiga untuk keluarga.

Perubahan

Cetusan idea ini sebenarnya menjadi modal kepada satu pertubuhan hak asasi manusia yang dianggotai oleh mereka yang berusia lebih 40 tahun.

Hakikatnya tidak ada sesiapa yang menolak idea ini, malah ia telah dibentangkan di Parlimen Perancis. Ini membuktikan usia 40 tahun adalah usia yang matang fikiran, tindakan dan perubahan yang membawa natijah yang baik.

Maka dalam hal ini dapat digarapkan kebenaran dan ketelusan isu yang dibincangkan. Pertama, sejarah pelantikan Baginda Rasulullah s.a.w., kejayaan tokoh Islam, kajian-kajian moden berasaskan analisis, statistik dan negara maju juga mengakuinya.

Bagaimanakah pula sekiranya peningkatan usia ini tidak membawa perubahan yang baik, malah kecenderu- ngan seseorang itu kepada perkara maksiat atau berunsur negatif semakin menjadi-jadi. Adakah ini petanda atau penentu sikap ini berkekalan atau ada `cahaya’ yang tidak diketahui manusia?

Jika pada usia tersebut tidak menjadi satu titik tolak ke arah perubahan yang baik, maka dibimbangi selepas itu memang sukar hendak berubah.

Walau bagaimanapun, kita sewajarnya melihat hal ini dari sudut optimistik. Sebenarnya jika perkara ini dilihat dari sudut Islam, ia lebih kepada hidayah Allah s.w.t. Hidayah ini tidak terbatas dan diterima oleh orang tertentu sahaja, ia adalah milik Allah.

Apabila menyentuh perubahan manusia sama ada ia perlu berlaku atau tidak perlu berlaku, bila ia berlaku, hakikatnya ia di luar pengetahuan akal manusia.

Pun begitu, kaedah yang dipakai tadi iaitu berasaskan pengalaman semasa, kajian menunjukkan kepentingan berlaku pada usia tersebut tetapi ini juga tidak menafikan kebarangkalian seseorang untuk berubah menjadi baik selepas usia 40 tahun atau hampir dengan kematian.

Ini dijelaskan oleh Rasulullah s.a.w. bermaksud: Manusia dihimpunkan di dalam rahim ibunya selama 40 hari sebagai setitis mani, 40 hari segumpal darah, 40 hari sebagai seketul daging, 40 hari berikutnya ditentukan jantina, amalan, rezeki, syurga atau neraka.

Dan di hujung hadis tersebut, Baginda bersabda: Kamu kena ingat, ada di antara kamu yang beramal di dalam hidupnya sebagai seorang ahli syurga sehingga orang melabelnya ahli syurga. Tiba-tiba pada penghujung hidupnya, dia telah melakukan satu perkara yang Allah murka kepada-Nya menyebabkan ia mati dalam kemurkaan Allah. Dan ada juga di kala-ngan kamu yang berlaku sebaliknya. (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Ini adalah hadis yang sangat menakutkan. Jadi pengajaran yang dapat diambil daripada hadis ini, ialah bahawa kehidupan kita ditentukan oleh husnul khatimah. Di antara doa yang tidak pernah ditinggalkan oleh Nabi dan perlu kita amalkan iaitu, Wahai Tuhan yang membolak balikkan hati manusia, tetapkanlah hatiku dalam ketaatan kepada-Mu.

Jelaslah di sini bahawa perubahan pada usia 40 tahun itu penting dan kita kena sentiasa mengawasi usia kita dan waktu yang diamanahkan kepada Allah kepada kita.

Bagi saya, perubahan boleh berlaku dengan syarat:

Pertama, perubahan berlaku sebagai hidayah daripada Allah.

Kedua, perubahan boleh berlaku dengan sebab kita membudayakan ilmu di dalam hidup kita dan ia boleh berlaku dengan pelbagai cara sejajar dengan kecanggihan.

Ketiga, perubahan ini penting dengan sebab pergaulan kita.

Keempat, kita kena sentiasa mengamalkan apa yang kita tahu, walaupun ia kecil.

Maka dalam soal melakukan perubahan ini, janganlah kita suka bertangguh-tangguh kerana banyak kerugiannya. Ini dibuktikan dan diperkukuhkan lagi dengan surah Ali Imran ayat 133 bermaksud: Dan bersegeralah kamu kepada keampunan Tuhanmu dan kepada syurga yang bidangnya seluas langit dan bumi yang disediakan untuk orang-orang yang bertakwa.

Mengapa Islam amat menitikberatkan soal usia dan apakah kepentingan usia dalam Islam?

Rasulullah s.a.w. bersabda: Dua nikmat yang manusia sering lalai dan alpa ialah kesihatan dan waktu atau usia yang Allah berikan. (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Imam al-Qurtubi bercerita di dalam bukunya, Tazkirah Tentang Kematian dan Perkara Berkaitan Akhirat, sebuah kisah yang berlaku di Mesir mengenai seorang Muazin yang sanggup murtad kerana ingin berkahwin dengan seorang perempuan beragama Kristian yang dilihatnya sewaktu hendak melaungkan azan. Tetapi hidupnya berakhir dengan kematian sebelum sempat bersama wanita tersebut.

Kesan daripadanya, jelas Imam al- Qurtubi, bagaimana usianya di sisi Allah yang sudah pastinya menjadi ahli Neraka kerana sanggup murtad hanya kerana hendak berkahwin dengan wanita Kristian tersebut.

Pengajaran daripada kisah ini, ialah manusia tidak mengetahui penghujung usianya dan hanya Allah s.w.t. Maha Mengetahui. Jadi, menjadi satu perkara yang penting, supaya umur yang diberikan dan diamanahkan oleh Allah sentiasa dimanipulasikan untuk mendatangkan pahala kepada kita.

Pada saya, jika sudah kehendak Allah hendak memberi hidayah yang sudah pasti hakNya, tidak kira lah pada umur berapa pun, pasti hidayah itu akan sampai pada siapa sahaja yang Dia kehendaki. Tetapi, hidayah perlu dicari. Jika langsung tiada niat dalam hati mahu berubah dan mencari sebuah hidayah, bagaimana mahu sampai hidayah ke dalam hati?

Mahalnya harga sebuah hidayah itu sehingga ramai yang tidak sanggup untuk berkorban demi sebuah hidayah. Ramai yang tidak sanggup mengorbankan kehidupan dunia yang sungguh tidak bernilai ini demi sebuah hidayah yang berharga.

Seperti yang kita tahu, sesuatu barang yang mahal, pastilah tinggi kualitinya dan bernilai sungguh pada diri kita. Begitu jugalah dengan sebuah hidayah yang mahal. Harganya melebihi apa pun kemewahan di dunia dan ia tidak ternilai dengan wang ringgit. Dan yang paling penting, ia sungguh bermakna dan penting dalam kehidupan ini. Tanpanya, bagaimana kita mahu menggapai syurga? Sama-sama lah kita berfikir dan mencarinya..

Entahlah. Setahu FY umur 40 tahun ialah umur ketetapan hati. Semoga Allah menetapkan hati FY untuk menjadi seorang yang beriman dan mati dalam keimanan yang utuh kepada Allah Taala. InsyaAllah.