Saturday, February 5, 2022

ALLAH MAHA PENCIPTA



ALLAH MAHA ESA

Dalam hal ini sebagai seorang Islam, FY yakin anda percaya kepada Tuhan yang satu, FY percaya anda yakin kepada Allah Taala. Kita percaya yang tiada Tuhan lain yang disembah melainkan Allah. Kita percaya yang Allah Maha Berkuasa, Maha Pengasih, Maha Penyayang, Maha Mengetahui akan segalanya yang berlaku di langit dan bumi pada hari ini, hari-hari sebelumnya dan hari-hari yang akan datang.
 
Percaya kepada Allah, Tuhan yang satu ini merupakan cabang Rukun Iman yang pertama dan paling utama bagi seorang Islam. Cumanya mungkin tahap keyakinan dan keimanan kita sebagai manusia kepada Allah yang berbeza kedudukannya. Ada yang di peringkat tinggi namun ada juga yang di tahap rendah dan bagi bukan Islam ada juga yang langsung tidak mempercayai akan kewujudan Allah Taala.
 
Saya tak mahu menghuraikan mengenai perkara ini dengan lebih lanjut lagi  mengenai kewujudan Allah, Tuhan yang berkuasa atas segalanya ini kerana sebagai seorang Islam, kita wajib meyakini dan mempercayainya.
 
Sebagai seorang Islam kita juga percaya yang Allah Maha mencipta, Allah yang mencipta segala-galanya yang ada di tujuh petala langit dan bumi. Cukup dengan berfirman “Jadi, maka jadilah”. Maka terbentuklah apa juga yang ingin diciptaNya. Sesuatu yang dicipta Allah Taala ini namanya makhluk.
 
Huraian makhluk ini akan FY huraikan dalam bab yang akan datang.
 
Faizal Yusup Al Haj
0166667430
Minda Akhirat
Hidup Kena Cool, Hati kena Mulia...

PS - Sekiranya anda membaca semua 70 bab dalam blog Minda Akhirat ini mengikut tertib dan susunannya saya percaya sesuatu akan berlaku di dalam hati anda dengan izin Allah Taala. Ia akan membawa kebaikan yang banyak dalam hidup anda. Percayalah. Kalau anda tak percaya, bacalah!

PSS - Anda juga boleh menonton semua pengisian ini dalam bentuk video di Instagram Minda_Akhirat. Layari ;

https://instagram.com/minda_akhirat?utm_medium=copy_link 

MAKHLUK-MAKHLUK CIPTAAN ALLAH

 


 

MAKHLUK CIPTAAN ALLAH
Dalam bab ini kita mulakan dengan membahagikannya kepada tiga kelompok. Kelompok pertama terdiri pada manusia, jin, malaikat dan iblis. Kitapun tahu akan kisah bagaimana manusia dicipta. Yang pastinya dalam Islam manusia bukannya datang dari keturunan beruk! Manusia pertama yang dicipta adalah Nabi Adam A.S. yang dicipta Allah dari segumpal tanah. Kemudian dari rusuk Adam terciptanya manusia kedua iaitu Hawa seorang perempuan. Allah muliakan makhluk mulia dan dikurniakannya dengan ilmu pengetahuan. Ilmu pengetahuan yang tiada pada malaikat dan makhkuk lain. Inilah antara sebab kenapa iblis memberontak lantas dilaknat Allah hingga ke akhir zaman kerana dia merasakan dirinya lebih mulia. Kerana katanya dia dicipta dari api yang lebih mulia kedudukannya.

Kemudian makhuk lain dalam kelompok pertama ini ialah Malaikat, Iblis, Syaitan dan Jin. Semua makhluk ini ghaib di kacamata manusia namun kita wajib mempercayai akan kewujudannya. Dalam hal ini ia bukan hantu, polong, jembalang, pontianak dan sebagainya sebab dalam Al Quran tidak ada langsung disebutpun pasal semua hantu-hantu ini. Jadi tak perlulah kita sebagai seorang Islam mempercayai hantu-hantu ini. Cukuplah kita percaya kepada kewujudan malaikat, jin dan iblis sepertimana yang dikisahkan dalam Al Quran. Untuk pengetahuan anda, sebelum kehadiran manusia, Iblis atau nama lainnya adalah Azazil adalah ketua malaikat tapi beliau bukan malaikat, beliau adalah dari keturunan jin. Sebab itulah dia boleh memilih untuk taat ataupun tidak. Malaikat pula adalah makhluk Allah yang dicipta cari cahaya dan merupakan golongan makhluk yang hanya taat dan patuh kepada perintah Allah.

Kelompok kedua adalah makhluk-makhluk yang lain iaitu segala yang ada di langit dan di bumi, gunung, bukit, tanah, binatang, haiwan, serangga, burung, logam, air, angin, api dan sebagainya. Kita semua tahu yang semua ini adalah ciptaan Allah. Kita juga tahu yang mereka semua bertasbih kepada Allah. Mereka semua tertakluk kepada perintah Allah Taala dengan tugas dan tanggungjawab yang telah diberikan.

Kemudian dari kelompok yang kedua inilah manusia mencipta darinya.  Manusia mengambil dari sumber-sumber yang ada di muka bumi ini, sumber-sumber yang dicipta Allah Taala lantas dijadikan benda-benda dan ciptaan yang digunakan untuk memudahkan kehidupan manusia itu sendiri.  Dari sumber di bumi inilah manusia mencipta kereta, motor, basikal, kapal terbang, lori dan sebagainya. Manusia juga mencipta pelbagai gajet, pakaian kasut, handbag, ubat, radio, TV, makanan, minuman dan sebagainya.  Semakin lama semakin banyak benda-benda yang dicipta. Semuanya untuk kemudahan manusia itu sendiri,  semakin lama ia semakin canggih.

Seterusnya kelompok yang ketiga iaitu makhluk yang Allah cipta tapi jarang-jarang kita ambil berat, jarang-jarang kita perhatikan, jarang-jarang kita terbuka minda untuk memikirkannya. Sedangkan semua makhluk ini adalah makhluk makhluk ciptaan Allah Taala juga. Cumanya makhluk ini tidak kelihatan secara fizikal tetapi ia tetap wujud.  Perasaan bosan, gembira, kecewa, sedih, putus asa, stress, nafsu dan sebagainya juga adalah sebahagian daripada makhluk-makhluk yang Allah cipta. Malah makhluk mati, ilmu, penyakit dan sebagainya juga adalah makhluk yang tertakluk kepada perintah Allah. 

Tahukah anda yang makhluk mati mahupun makhluk penyakit tak wujud di akhirat. Kenapa? Sebab mana ada orang yang akan sakit mahupun mati lagi bila di akhirat kelak sebab mereka akan hidup selama-lamanya di sana nanti. Begitu juga dengan makhluk bosan, stress, tertekan dan putus asa dan sebagainya dia tidak wujud di dalam syurga. Ini sebab di syurga semua orang di dalamnya hidup dalam keadaan harmoni dan sejahtera penuh dengan kasih dan sayang.

Tidak mengapa, saya akan menghuraikan tentang perihal makhluk-makhluk ini dengan lebih lanjut dan mendalam lagi dalam bab-bab yang akan datang. 

Faizal Yusup Al Haj
0166667430
Minda Akhirat
Hidup Kena Cool, Hati kena Mulia...
https://mindaakhirat.blogspot.com/
PS - Sekiranya anda membaca semua 70 bab dalam blog Minda Akhirat ini mengikut tertib dan susunannya saya percaya sesuatu akan berlaku di dalam hati anda dengan izin Allah Taala. Ia akan membawa kebaikan yang banyak dalam hidup anda. Percayalah. Kalau anda tak percaya, bacalah!

PSS - Anda juga boleh menonton semua pengisian ini dalam bentuk video di Instagram Minda_Akhirat. Layari ;





CIPTAAN MANUSIA


MANUSIA MENCIPTA
Dalam bab ini saya ingin menerangkan tentang  ciptaan manusia yang dicipta dari sumber yang ada di muka bumi ini yang mana semuanya dicipta oleh Allah Taala.  Dalam hal ini kita boleh lihat banyak dokumentari tentang bagaimana sesuatu produk itu dicipta.  Dokumentari seperti “How Do You Do That” menunjukkan bagaimana proses pembuatan dijalankan bermula dari bahan mentah ia menjalani pelbagai proses sehinggalah ia menjadi sesuatu produk. Produk itu kemudiannya dijual dan digunakan oleh kita semua. 

AIR TEMBIKAI

Baiklah dalam hati ini cuba lihat carta di atas, kita mulakan dengan penciptaan air tembikai, air tembikai dicipta dengan adanya sumber air, buah tembikai dan tebu yang diproses menjadi gula sebagai penambah kemanisan. 

Andai Allah Taala tidak mencipta buah tembikai di muka bumi ini maka Pastilah kita tidak akan dapat menikmati air tembikai. Tiada sesiapa yang dapat mencipta air tembikai kerana buah tembikai tidak wujud. Begitu juga sekiranya Allah tidak menciptakan air di muka bumi ini. Hakikatnya tanpa air tiada makhluk yang akan dapat hidup di planet bumi ini. Dengan adanya tiga makhluk inilah maka kita dapat menikmati kemanisan air tembikai.

Begitupun kalau kita buat perbandingan antara air dan air tembikai yang mana satukah yang lebih baik buat manusia? Jawapannya bukan air tembikai kerana sekiranya anda meminum banyak air tembikai silap-silap anda kena penyakit kencing manis. Dalam hal ini air adalah elemen yang lebih baik buat bukan hanya manusia tetapi juga binatang dan juga segala makhluk yang ada di alam ini.  Yalah mana taknya, mana ada pokok yang hidupnya dihujani dengan air tembikai. Kalau hari-hari anda siram air pokok dengan air tembikai silap-silap pokok itupun mati.

Apapun dari segi ranking air zamzam berada di ranking yang paling atas! Bukan air tembikai. Ini jelas menunjukkan yang ciptaan manusia tidak sempurna sifatnya dibandingkan dengan ciptaan Allah Taala.

PERKATAAN

Seterusnya bagaimana pula perkataan dicipta? Kita perlukan manusia, akal dan suara untuk mencipta perkataan. Yelah kombinasi binatang, naluri dan suara tidak cukup untuk mencipta perkataan. Mereka hanya boleh berbunyi tapi tak boleh mencipta perkataan yang disusun untuk bercakap dan menyanyi. Kalaupun burung kakak tu boleh bercakap namun perkataan dan ayat itu hanya ajukan yang diajar tuannya dan bukannya diciptanya sendiri.

Itu satu perkara, satu perkara lagi kenapa pula lain daerah, lain negeri, lain negara bercakap atau mencipta mencipta perkataan yang berbeza disusun menjadi ayat yang berbeza, lagu dan puisi yang berbeza dan sebagainya.  Sedangkan semua manusia punya akal, punya mulut, punya suara tetapi bila dia mencipta sesuatu perkataan dia tetap akan mencipta perkataan yang berbeza dari satu tempat ke satu tempat yang lain?  Dalam Malaysia sendiri contohnya terdapat berpuluh slanga dan dialek yang membezakan bahasa dari satu tempat ke satu tempat yang lain. Cukuplah Negeri Sembilan dan Melaka mereka bercakap dengan slanga bahasa yang berbeza walaupun mereka merupakan negeri yang berjiran.  Melaka dan Johor juga bercakap dalam slanga yang berbeza juga. Kelantan dan Terengganu juga sama punya slanga dan dialek yang berbeza. Kenapa begitu? 

Saya pernah berjumpa orang yang sakit hati dan begitu tertekan dengan apa yang orang lain katakan padanya. Hinaan, tohmahan, carutan boleh menyebabkan kita menjadi begitu tertekan.
 
Katalah di zaman dahulu kalau datuk nenek moyang kita menamakan monyet itu dengan nama harimau. Maka pada waktu ini kita pasti akan berkata “Eh! Tengoklah tu, harimau tengah bergayut di atas pokok”. Kalau dahulu bodoh didefinasikan sebagai pandai, saya pasti anda akan berterima kasih kepada orang yang membodohkan anda pada hari ini. Begitu jugalah dengan istilah-istilah lainnya. Ianya hanyalah satu istilah yang dicipta manusia satu ketika dahulu yang turun menurun kepada kita bagi tujuan menerangkan sesuatu maksud. 
 
Persoalan saya di sini siapakah yang mula-mula mencipta perkataan “bodoh” itu? Kenapa dia tak cipta perkataan “pandai” bagi tujuan membodohkan orang lain? Kalau kita tahu siapa penciptanya pasti dia akan jadi kaya kerana dapat royalti kerana kita menggunakan perkataan bodoh yang diciptanya itu sejak sekian lama. Apa yang pelik ialah di England ia tak jadi “bodoh” tapi ia jadi “stupid”, di Itali ia menjadi “stupido” di Afrika ia jadi “onnosel” di Samoa ia menjadi “valea” dan ia berbeza dari satu negara ke negara yang lain. Pelik bukan? Walhal semua manusia sama punya akal dan suara tapi lain pulak yang keluar. Kalau kita onnoselkan seseorang tu di Malaysia ni maka diapun tercengang sebab tak faham apa maksudnya.
 
Kesimpulannya tiada apalah yang hendak kita sakitkan bila kita mendengar sesuatu istilah itu. Ini kerana ia sebenarnya tidak membawa apa-apa makna. Lagipun kata-kata bukan boleh menyebabkan kita tercedera, luka parah hingga perlu dimasukkan ke hospital. Perkataan, ayat yang membawa istilah hakikatnya adalah makhluk hina dan tak boleh bawa mudarat mahupun manfaat kepada kita melainkan dengan keizinan Allah Taala.
 
Seterusnya perkataan yang disusun menjadi ayat boleh menjadi karangan, cerpen, puisi, gurindam, pantun, syair, lagu dan sebagainya. Lagu contohnya telah banyak dicipta dari dahulu hingga sekarang. Lagu hanyalah susunan ayat yang dimelodikan. Itu sahaja. Kalau nyanyi banyak kalipun akhirnya ia menjadi muak dan jemu. Namun begitu ramai manusia yang taksub dengan lagu-lagu ini dan ada yang bila mendengar lagu tersebut boleh menangis disebabkan olehnya. Itu belum lagi puja pujian yang diberikan kepada si penyanyinya. Lagu je pun. Apalah yang nak ditaksubkan sangat. Ia hanya rangkap-rangkap susunan perkataan yang dicipta makhluk bernama manusia. Lainlah kalimah-kalimah ayat Al Quran ciptaan Allah Taala tu. Lagi banyak dibaca lagi seronok, lagi nikmat, lagi tenang, lagi menusuk qalbu. Mana ada mana-mana manusia yang merasa jemu membaca Al-Quran walaupun dia telah membaca dan mengulanginya beribu kali. Kenapa? Kerana ia adalah makanan rohani buat makhluk manusia. Ia menenangkan kegelisahan hati manusia.
 
PERBUATAN
 
Adakalanya pula perbuatan menggantikan kata-kata. Perbuatan perlukan makhluk manusia, akal dan anggota. Sebagai contoh jari hantu atau “middle finger” diangkat bagi tujuan yang sama iaitu untuk mencarut. Siapa pulaklah penciptanya di zaman bila ia tercipta? Kenapa mereka tidak gunakan jari kelingking atau jari yang lain? Apa beza kalau kita tunjukkan jari kelingking atau jari manis untuk membawa maksud yang sama dan bukannya jari hantu. Saya pasti kalau anda ditunjukkan dengan jari kelingking di zaman ini anda akan tergelak atau dalam kehairanan. Kenapa pula orang tu tunjukkan jari kelingking dia kat aku? Tanya anda.
 
Kita marah bila orang menunjukkan jari hantu kepada kita tetapi kita tersenyum pula bila orang mengangkat ibu jarinya pada kita. Persoalannya kenapa ibu jari yang diangkat dan bukannya jari kelingking ke, jari manis ke atau sebagainya? Ini juga samalah huraiannya dengan bahasa tadi. Ianya hanyalah satu istilah semata-mata.
 
Dalam hal ini perbuatan yang terbaik ialah Solat. Menggunakan anggota yag digerakkan untuk berdiri, rukuk, duduk dan sujud untuk menyembah Al Khaliq pencipta kita yakni Allah Taala sambil berzikir, memuji dan memujaNya. Selebihnya ialah menggunakan semua anggota ini untuk membawa manfaat dan bukan mudarat mahupun melkukan kerosakan. 
 
Kesimpulannya saya menggalakan kita semua untuk berkata baik dan melakukan kebaikan dan sebaliknya bukan menggalakkan anda menggunakan istilah yang tak elok didengar atau dilihat itu. Ianya hanya bertujuan iuntuk mempertahankan diri anda daripada tertekan bila mendengar sesuatu istilah buruk yang dilontarkan kepada anda. Bagi mereka yang faham akan apa yang telah saya huraikan ini maka dia mungkin akan hanya tersenyum bila orang lain menggunakan kata-kata yang tak baik, menohmah, menghina, mencarut kepadanya tanpa perlu dia membalasnya. Hatinya tenang sahaja kerana tahu semua itu tidak boleh membawa apa-apa mudarat kepadanya.  

KENDERAAN

Badan dan enjinnya dicipta dari logam besi dan aluminium, bahagian panel plastik dicipta dari by product minyak petroleum, tayarnya dari pokok getah dan sebagainya. Semuanya dari sumber yang terdapat di muka bumi ini. Bila ia telah terbentuk menjadi kereta Ferarri, berlagak pulak tuan punya kereta itu. Menjaga kereta itu bagai menatang minyak yang penuh. Kedekut tak bagi sesiapa pinjam pun. Kalau calar atau eksiden dia punya kecewa macam mak dia meninggal pulak. Walhal ia hanyalah sebuah kereta yang datangnya dari bumi ciptaan Allah. Hakikatnya kereta Ferarri itu juga adalah hakmilik Allah taala. Kita cuma diamanahkan atau dipinjamkan kereta tersebut di muka bumi ini. Itu sahaja.

Begitu jugalah dengan makanan, pakaian, hand bag, jam tangan malah rumah yang mahal dan sebagainya. Semuanya terbentuk dari sumber yang Allah pinjamkan di muka bumi ini. Tiada apa yang hendak dibanggakan. Hakikat sebenarnya itu semuanya milik Allah termasuklah diri kita sendiri. Makhluk ciptaanNya. Bila dipanggil nanti kembalilah kita kepadaNya.

Faizal Yusup Al Haj
0166667430
Minda Akhirat
Hidup Kena Cool, Hati kena Mulia...
https://mindaakhirat.blogspot.com/
PS - Sekiranya anda membaca semua 70 bab dalam blog Minda Akhirat ini mengikut tertib dan susunannya saya percaya sesuatu akan berlaku di dalam hati anda dengan izin Allah Taala. Ia akan membawa kebaikan yang banyak dalam hidup anda. Percayalah. Kalau anda tak percaya, bacalah!

PSS - Anda juga boleh menonton semua pengisian ini dalam bentuk video di Instagram Minda_Akhirat. Layari ;

 

 

FUNGSI DAN TUGAS MAKHLUK


 

FUNGSI MAKHLUK

Dalam carta di atas kita dapat lihat yang Allah Taala telah menciptakan semua makhluk lain tak lain dan tak bukan ialah untuk menurut perintah Allah dan  berkhidmat kepada manusia. Bumi dan segala isinya secara dasarnya menyediakan keperluan fizikal kepada kita manusia dari segi makanan, pakaian, tempat tinggal, kenderaan dan apapun juga yang boleh diubah manusia dari keadaan asalnya.

Makhluk ini mungkin terdiri dari beberapa kategori antaranya yang hidup dan kelihatan, seperti manusia, binatang, tumbuh-tumbuhan dan sebagainya namun ada juga makhluk yang hidup tetapi tidak kelihatan pada kaca mata manusia umpamanya jin, syaitan dan iblis. Ada juga makhluk yang tidak hidup seperti batu, logam dan sebagainya.

Apapun kalau kita perhatikan kebanyakan makhluk ini mempunyai tugas atau fungsinya yang tersendiri. Matahari dengan kerjanya memancarkan cahaya dan memberikan haba, Lembu dengan kerja makan rumput, ikan dengan tugasnya di dalam laut, pokok dengan tugasnya menjalankan fotosintesis. Malaikat pula dijadikan Allah dengan pelbagai fungsi selain dari beramal pada Allah, Jibrail A.S. menyampaikan wahyu, Izrail mencabut nyawa, Mikail menyampaikan rezeki, Raqib dan Atid menulis amalan dan sebagainya. Malah Iblis juga dijadikan Allah untuk berkhidmat dengan menggoda manusia dan sebagainya. Namun begitu makhluk manusia punya tugas yang kelihatan agak bebas, boleh buat pelbagai perkara di muka bumi ini.

Menurut sejarah Islam semua makhluk ini pernah ditanya Allah Taala samaada mereka ingin menjadi khalifah dan semua mereka mengatakan yang mereka tak sanggup untuk berbuat demikian kecuali manusia. Oleh yang demikian itu akhirnya manusia dipertanggungjawabkan Allah untuk menjadi khalifah atau ketua di muka bumi ini bagi tujuan membawa kemakmuran kepadanya. Malangnya manusia dengan sifat yang ada dalam dirinya lebih banyak membawa keburukan kalau dibandingkan dengan kebaikan.  

Apapun kalau kita kaji dalam Al Quran makhluk dan kejadian ini semua sebenarnya beristighfar kepada Allah dan menurut perintah yang Maha Esa. Contohnya batu dengan sifatnya yang keras digunakan untuk membuat bangunan. Apa akan terjadi kalau tiba-tiba ia melanggar perintah Allah lantas menjadi lembut? Maka saya percaya rumah anda akan runtuh.

Makhluk dengan sifatnya yang tersendiri. Air dengan sifat berdalirnya dan membersihkan, Api dengan sifatnya yang panas, Matahari dengan sifatnya yang memberikan cahaya dan haba, malaikat Mikail dengan tugasnya menyampaikan rezeki, syaitan dengan tugasnya menggoda manusia. Apapun kalau kita lihat dari sudut yang lain pula kita akan dapat lihat yang pertamanya semua makhluk ini menurut perintah Allah dan keduanya mereka semua berkhidmat untuk manusia. Setakat hari ini saya belum bertemu dengan kisah malaikat yang berkhidmat untuk lembu contohnya.

Makhluk Api diketahui dengan sifatnya yang panas namun tak selalu begitu kerana andai diizinkan Allah ia boleh menjadi sejuk sepertimana yang berlaku adalam kisah Nabi Ibrahim A.S. dahulu yang mana bila kaumnya membakar beliau baginda keluar dari api yang begitu marak dalam keadaan menggigil kesejukan. Allah berkuasa atas tiap sesuatu dan dengan yang demikian itu boleh menukar sifat makhluk menurut kemahuanNya. Keadaan yang sama pernah berlaku pada batu yang terbang terapung kerana ingin mengikut Rasullullah semasa Israq Mikraj mahupun kisah Nabi Daud yang boleh melentur besi.

Inilah antara kekuasaan Allah Taala yang perlu kita kaji dan ambil iktibar mengenai perihal makhluk ini.

Mengetahui yang semua makhluk bertindak berdasarkan perintah Allah dan bertugas berkhidmat buat manusia maka semua makhluk ini sebenarnya boleh diperhatikan, dibuat kajian dan dijadikan iktibar untuk kebaikan kita semua. Katalah kajian yang dijalankan dengan hanya melihat pokok membolehkan kita mengkajinya dari pelbagai sudut antaranya dari sudut matematik, sains dan teknologi, pelaburan, seni dan sebagainya. DNA pokok contohnya membolehkan kita meneraju ke arah bidang bioteknologi dan sebagainya. Sistem organ manusia dan binatang pula membolehkan kita mencipta enjin dengan menggunakan sistem yang sama.

Kalau kita lihat dalam huraian tadi semua makhluk dijadikan Allah untuk berkhidmat kepada Allah dan juga kepada manusia dan ini termasuklah makhluk iblis sekali. Tugas atau fungsi iblis tak sama dengan tugas dan fungsi malaikat. Fungsi iblis ialah untuk menggoda dan mengajak manusia untuk melakukan maksiat untuk sama-sama ke neraka. Kalau iblis tak menggoda manusia nescaya semua manusia akan menjadi makhluk yang baik dan patuh kepada perintah Allah. Maka semua manusia akan masuk syurga kelak. Ingatlah yang iblis dan syaitan adalah musuh yang nyata bagi kita manusia.

Perkhidmatan makhluk api pula tak cukup di muka bumi ini tetapi ia terpaksa berkhidmat juga di dalam neraka kelak. Makhluk api yang berkhidmat di muka bumi ini juga kena duduk dalam neraka? Menurut guru saya walaupun dia duduk bekerja dalam neraka tetapi sebenarnya dia dapat merasakan nikmat yang tak terhingga bila membakar ahli-ahli neraka sekelian.

Apapun di alam Barzakh atau di alam kubur nanti hanya kejadian Al Quran nul Karim yang bakal akan dapat membantu kita dalam menjawab persoalan kubur dan padang Mashyar selepas hari kiamat nanti Nabi Muhammad S.A.W. pula yang bakal memberikan syafaat. Oleh itu lebih baik kita berkawan dengan Al-Quran dengan selalu membaca, menghayati dan mengikut apa yang diperintah Allah dan menolak apa yang dilarang Allah dan pada masa yang sama selalu berselawat kepada Rasullullah S.A.W. dan mengikuti sunnahnya kerana makhluk lain contohnya ibubapa, pasangan, kekasih hati, kawan, harta, duit dan sebagainya tak akan dapat membantu kita di alam kubur mahupun di alam akhirat nanti.



BILA BOSAN BERBICARA

Nama melayu saya Bosan. Nama English saya Boredom.
Saya bersifat emosi yang tak kelihatan tapi saya boleh dirasa dalam hati manusia.
Hakikatnya saya makhluk ciptaan Allah. Tahukan Allah yang mencipta segala di langit dan di bumi termasuklah anda dan saya.
Kalau Allah tak cipta saya maka tak ada manusia yang akan bosan di dunia ini.
Owh! Saya juga tak wujud dalam syurga. Sebab kalau saya wujud di sana pasti semua manusia akan bosan duduk dalam syurga selama-lamanya.

FUNGSI DAN TUGAS SAYA

Tugas saya ialah untuk membosankan manusia.
Saya tak bosankan matahari, angin, gunung, malaikat mahupun binatang dll. Itu bukan tugas saya.
Kalau matahari bosan maka mahu dia taknak bersinar pagi ni.
Kalau lembu bosan makan rumput maka apalah yang akan dimakannya pula.
Kalau malaikat maut bosan mau tak ada sesiapa yang dicabut nyawa hari ini.

Tak! Tak! Mereka semua tak pernah rasa bosan kerana mereka semua sama seperti saya patuh kepada perintah Allah dan buat apa sahaja yang disuruh tanpa soal.

Apapun memang tugas saya membosankan manusia.
Bila manusia diduga dengan saya makhluk bosan maka mereka buat memacam perkara antaranya ;

- Mereka buat itu ini, mereka pergi melancong, mereka berhubungan, mereka bersenam, berbasikal, ride, mereka bunjee jumping, mereka bersukan, main games, mereka karaoke, mereka pergi shopping dll.
- Lebih teruk lagi mereka pergi clubbing, mereka merokok, minum arak, hisap dadah, aktiviti seksual dan macam-macam lagi perkara yang dicipta untuk menghilangkan saya dari dalam hati mereka.

Sebenarnya anda manusia tak payah buat semua perkara tu. Ia akan hanya menghilangkan saya sementara sahaja. Hakikatnya hanya ada satu cara sahaja untuk menghilangkan saya dari hati 
para manusia sekelian.

Firman Allah SWT;

“Sesungguhnya HANYA dengan mengingati Allah hati akan tenteram.”

Surah Ar- Ra’d ayat 28

Ingatlah Allah, berzikir, bertasbih, bertahmid, mengaji Al Quran, solat, sentiasa ingat kepada Allah maka makhluk bernama tenteram atau tenang akan datang ke dalam hati anda mengambil alih tempat saya si bosan. Sebenarnya bukan saya sahaja tapi kawan-kawan saya juga antaranya makhluk tekanan atau stress, putus asa, resah gelisah, kecewa, geram, marah, sedih dan seangkatan dengannya semuanya akan keluar dan berpindah dan menetap dalam hati manusia yang lain pula.

Hati mereka yang melazimi ingatan kepada Allah dengan zikrullah akan menetap di dalamnya sifat tenang lagi tenteram, bahagia, lapang, tabah dan sifat-sifat mahmudah yang lain. Tiada tempat untuk saya dan kawan-kawan saya dalam hati mereka.

Hurm… Terpaksalah saya keluar dari hati anda dan pergi cari mangsa yang lain pula iaitu mereka-mereka yang tak ingat kepada Allah dan mereka-mereka yang percaya dengan kaedah dunia untuk menghilangkan saya si bosan… Biarlah mereka mengembara dan melancong ke seluruh dunia tapi saya akan tetap berada di hati mereka… Hawhawhaw…

Jom kita jadikan zikrullah satu kelaziman sepanjang kehidupan supaya kita punya hati yang sejahtera. Pemilik hati yang sejahtera bakal berada di dalam syurga… InshaAllah.

Faizal Yusup Al Haj
0166667430
Minda Akhirat
Hidup Kena Cool, Hati kena Mulia...
https://mindaakhirat.blogspot.com/

PS - Sekiranya anda membaca semua 70 bab dalam blog Minda Akhirat ini mengikut tertib dan susunannya saya percaya sesuatu akan berlaku di dalam hati anda dengan izin Allah Taala. Ia akan membawa kebaikan yang banyak dalam hidup anda. Percayalah. Kalau anda tak percaya, bacalah!

PSS - Anda juga boleh menonton semua pengisian ini dalam bentuk video di Instagram Minda_Akhirat. Layari ;

https://instagram.com/minda_akhirat?utm_medium=copy_link 

PATUH KER TAK PATUH


KEPATUHAN MAKHLUK

Seterusnya dalam bab ini mari kita lihat dari sudut kepatuhan makhluk Allah, sepertimana gambarajah di atas ini.

Makhluk bosan tugasnya ialah untuk membosankan dan bukan untuk menggembirakan kerana yang menggembirakan kita itu adalah makhluk yang bernama gembira. Kalau kita lihat makhluk bosan tugasnya ialah untuk membosankan manusia. Kalau difikirkan pernahkah ia membosankan pokok, lembu, harimau, malaikat dan sebagainya? Saya yakin tidak. Kerana itu tidak termasuk dalam “job description” nya. Ini bermakna makhluk bosan ciptaan Allah ini ditugaskan Allah untuk membosankan manusia. Kalau anda jadi makhluk  bosan,  saya rasa lama-kelamaan anda juga akan rasa bosan dan anda mahu bertukar tugas dengan makhluk gembira agaknya. Namun dalam hal ini makhluk bosan tidak diberi pilihan dan ia hanya patuh kepada Allah Taala dan terus-terusan menjalankan tugasnya sehinggalah hari kiamat. Ketahuilah yang makhluk bosan ini tidak wujud di dalam syurga nanti sebab kalau ia wujud pasti anda akan rasa bosan kerana tinggal di syurga itu adalah buat selama-lamanya.

Kesimpulannya makhluk Allah bernama BOSAN ini patuh kepada perintah Allah Taala.  

Kemudian kita ambil makhluk API sebagai contoh seterusnya. Seperti yang kita tahu sifat api ialah panas dan membakar. Tidak seperti makhluk bosan yang tidak kelihatan pada kacamata manusia, api kelihatan dengan warnanya yang kekuning-kuningan, kemerah-merahan dan kebiru-biruan kita boleh merasai haba kepanasan yang dikeluarkannya.  Ia juga berfungsi untuk membawa manfaat kepada manusia, kita menggunakannya untuk memasak, merebus dan pemanggang makanan malah api yang digunakan untuk membakar sampah sarap dan sebagainya. Pada masa yang sama api juga boleh memudaratkan apabila ia tidak dapat dikawal dan membakar rumah dan bangunan. Apapun semuanya berlaku dengan keizinan Allah Taala.  

Soalannya ialah pernahkah makhluk API yang kita ketahui panas ini menjadi sejuk?

Jawapannya pernah, dalam sejarah API pernah menjadi sejuk pada masa Nabi Ibrahim AS dibakar hidup-hidup oleh kaumnya kerana memusnahkan patung-patung berhala sembahan kaumnya itu. Namun Nabi Ibrahim AS  keluar daripada API itu dalam keadaan menggigil kesejukan. Ini kerana Allah telah memerintahkan API untuk menjadi sejuk dan tidak sesekali membakar Nabi Allah Ibrahim itu.  ini jelas menunjukkan yang API itu adalah makhluk Allah yang patuh kepada perintah Allah SWT.

Kesimpulannya makhluk Allah bernama API ini patuh kepada perintah Allah Taala. 
Dalam kategori makhluk binatang kita ambil seekor Lembu sebagai contoh. Allah perintahkan lembu makan rumput, maka lembu tanpa soal akan terus-terusan makan rumput. Kalau anda jadi lembu dan sekiranya anda diberi pilihan, saya yakin anda juga hendak makan makanan di hotel, nak makan pizza dan sebagainya. Sekiranya anda jadi lembu adakah anda  hendak membiarkan harimau makan anda atau sebaliknya anda yang makan harimau itu? Saya pasti dalam hal ini anda hendak memakan harimau. Biar harimau takut kepada anda.

Apa akan jadi kalau Lembu melanggar perintah Allah dan makan ayam, itik, arnab, harimau, manusia dan sebagainya. Bukankah masalah jadinya. Itulah sebabnya juga setiap binatang yang dicipta Allah ada tugasnya masing-masing, cacing menggembur tanah, rama-rama mensenyawa bunga, binatang diguna manusia untuk daging, tenusu, bulu dan kulit dan sebagainya. Sekali lagi mereka semua patuh menurut perintah Allah serta berkhidmat untuk manusia. Setakat blog ini ditulis belum lagi kita nampak harimau makan rumput dan bunga-bungaan.

Kesimpulannya makhluk Allah bernama BINATANG ini juga patuh kepada perintah Allah Taala.  

Seterusnya  kita huraikan kategori malaikat. Jom kita ambil malaikat Mikail sebagai contoh,  malaikat ini tugasnya ialah untuk membawa rezeki kepada semua makhluk di bumi ini setiap hari saban hari hingga ke akhir zaman.  Adakah ia merasa bosan dengan tugas yang diperintahkan Allah terhadapnya?  Kalau anda jadi malaikat Mikail ini dan diberi pilihan saya rasa anda juga ingin bertukar tempat dengan malaikat Israfil yang belum lagi menjalankan tugas untuk meniup Sangkakala manupun bertukar tempat dengan malaikat Jibrail AS yang telah selesai menjalankan tugas menyampaikan wahyu kepada para Nabi dan Rasul. Para malaikat tidak pernah merasa bosan dan tidak pernah melanggar perintah Allah Taala. Mereka adalah makhluk yang dijadikan Allah bertujuan untuk beribadah kepada Allah Taala. 

Kesimpulannya makhluk Allah bernama MALAIKAT ini sama juga dengan makhluk lain juga patuh kepada perintah Allah Taala. 

Dalam hal ini batu boleh terapung kerana nak ikut Nabi SAW dalam kisah Israk dan Mikraj, pokok boleh bergerak dan sujud, awan boleh mengikut dan meneduhi Nabi SAW, pasir boleh dibentuk menjadi unta dan kemudian dihidupkan, seekor burung yang telah mati dipisahkan empat, boleh kembali bercantum dan hidup kembali dalam kisah Nabi Ibrahim AS, bulan boleh terbelah dua, orang yang mati boleh hidup semula dalam kisah Nabi Isa AS, besi yang keras boleh menjadi lembut hanya menggunakan tangan dalam kisah Nabi Daud AS dan banyak lagi kisah-kisah kepatuhan makhluk-makhluk ini dalam sirah para Nabi dan rasul. Makhluk itu keluar dari sifat dan fungsi sebenarnya kerana mereka patuh akan perintah Allah Taala. Hanya Allah yang berkuasa terhadap mereka. 

Begitu juga kalau kita lihat dalam kisah para Nabi dan Rasul kita dapati yang mereka semua merupakan makhluk yang patuh dan taat kepada perintah Allah Taala.  Bayangkanlah dalam kisah Nabi Ibrahim AS yang diwahyukan Allah untuk mengorbankan yang menyembelih anaknya Ismail. Sekiranya anda diminta untuk berbuat demikian adakah anda sanggup untuk melakukannya?

Dalam ertikata lain semua makhluk ini termasuklah para nabi dan rasul PATUH dan TAAT kepada Allah Taala.

Seterusnya kategori Iblis dan konco-konconya.

Dalam bab ini, saya yakin Kita semua tahu yang hanya makhluk iblis yang tidak mahu patuh kepada Allah Taala. Bukan hanya tidak mahu patuh malah mereka juga berjanji untuk menghasut, menggoda dan mengajak manusia untuk melanggar perintah Allah Taala yang seterusnya membawa manusia ke neraka jahanam. Mereka juga telah diizinkan Allah untuk hidup sehingga hari kiamat dengan tugas untuk menyesatkan semua manusia.

Kesimpulannya makhluk iblis dan syaitan TIDAK PATUH kepada Allah Taala.

Bagaimana pula kita manusia?

Kita manusia juga jin diberi pilihan samaada untuk patuh dan taat kepada Allah atau sebaliknya. Iblis mengambil pilihan untuk tidak patuh sedangkan semua makhluk lain mengambil pilihan untuk patuh dan taat perintah Allah. Dalam hal ini kalau semua makhluk di dalam alam fana ini mematuhi hukum hakam Allah Taala apa alasan kita untuk tidak patuh?  Bukankah kita tahu yang iblis dan syaitan itu Allah musuh yang nyata bagi kita sebagai manusia. Kenapa pula kita ingin mengikuti iblis dan syaitan untuk tidak patuh kepada Allah Taala?

Sekali lagi ditegaskan dalam carta di atas jelas menunjukkan yang semua makhluk di dunia ini patuh kepada perintah Allah kecuali Iblis kerana tidak mahu patuh kepada Allah untuk tunduk menghormati Nabi Adam A.S. semasa baginda dicipta Allah kerana merasakan yang dirinya lebih mulia kerana ia dicipta dari api sedangkan manusia dicipta dari tanah.

Hakikatnya, kalau kita patuh kepada Allah Taala maka ganjaran kebaikanlah yang bakal kita terima namun sebaliknya kalau kita mengambil keputusan untuk tidak patuh akan perintah Allah dan meninggalkan laranganNya maka kesusahanlah yang bakal kita hadapi. Mungkin inilah sebabnya ada sahabat-sahabat Nabi yang berkata kalau boleh mereka mahu menjadi burung mahupun rumput yang dimakan lembu serta tidak ingin dilahirkan sebagai manusia kerana semua makhluk tersebut patuh kepada perintah Allah dan mereka tak perlu membuat pilihan sepertimana yang kita perlu lakukan.

Dalam aspek yang lain pula, di dunia ini kita  diuji secara mikronya dengan kepatuhan dan ketaatan kepada kedua ibu bapa,  itupun ramai di antara kita yang gagal dalam ujian tersebut. Dewasa ini ramai anak-anak yang menderhaka kepada orang tuanya,  ramai anak-anak yang menjadikan ibu bapanya sebagai hamba sedangkan mereka menjadi tuan. Malah ada juga anak-anak yang tidak mahu memelihara kedua ibu bapanya yang sudah tua tetapi bertindak menghantar orang-orang tua mereka rumah orang tua-tua. Ketahuilah reda Allah datang dengan reda kedua orang tua kita.

Dalam hal ini, sekiranya kita tidak dapat menghormati, mematuhi mahupun mentaati kedua ibu bapa yang membesarkan kita dari kecil bagaimana pula secara makronya kita boleh patuh dan taat kepada pencipta kita Allah Taala?

Mengetahui hakikat ini, mulai saat ini jom kita patuh perintah Allah dan tinggalkan segala larangan Allah! Kita  berbakti kepada kedua-dua  ibu bapa kita dan kita buat ibadah saban hari ikhlas kerana Allah dan jauhkan segala maksiat. InshaAllah. 



Apapun ingatlah yang semua makhluk adalah dibawah kekuasaan Allah Taala. Allah Yang Maha Berkuasa dan Maha Mengetahui akan setiap sesuatu.

Sekian buat kali ini...

Faizal Yusup Al Haj
0166667430
Minda Akhirat
Hidup Kena Cool, Hati kena Mulia...
https://mindaakhirat.blogspot.com/

PS - Sekiranya anda membaca semua 70 bab dalam blog Minda Akhirat ini mengikut tertib dan susunannya saya percaya sesuatu akan berlaku di dalam hati anda dengan izin Allah Taala. Ia akan membawa kebaikan yang banyak dalam hidup anda. Percayalah. Kalau anda tak percaya, bacalah!

PSS - Anda juga boleh menonton semua pengisian ini dalam bentuk video di Instagram Minda_Akhirat. Layari ;

https://instagram.com/minda_akhirat?utm_medium=copy_link 

TAMSILAN DARI SEBATANG POKOK



MINDA AKHIRAT – PANDANGAN 3 MATA

Bagi mereka yang berminda dunia, mereka punya akan punya 2 mata penglihatan sahaja iaitu ;

Mata Kasar 

Mata kasar ini adalah apa yang kelihatan secara fizikal pada kaca mata mereka. Dalam contoh ini mereka akan nampak pokok yang menghijau. Pokok yang rendang dan menghasilkan buah.  

Mata Akal

Mata akal pula memandang dari sudut saintifik seperti bioteknologi, Fotosintesis, sumber makanan dan ubat-ubatan dan sebagainya. Adakah pokok itu boleh mendatangkan keuntungan kewangan? Itu objektif utama pandangan mata ini. Kalau mereka menjalankan perniagaan, usaha mereka itu ialah mengkayakan diri mereka sendiri.

Sedangkan bagi yang berminda akhirat mereka ada satu lagi mata tambahan iaitu mata hati.

Mata Hati

Mata hati akan melihat dari sudut kacamata Allah Taala. Pokok itu juga adalah makhluk yang dicipta Allah demi untuk memberikan khidmat kepada manusia malah makhluk lain. Ia hidup menurut perintah Allah Taala dan bila tiba masanya ia juga akan mati sepertimana makhluk hidup yang lainya. Mata hati bagi seseorang yang berniaga ialah kerana Allah Taala demi untuk membantu orang lain, demi untuk membangunkan ekonomi ummah dan demi untuk memakmurkan bumi. Kepentingan diri bukan perkara utama bagi mereka yang punya mata hati ini.

Ketajaman mata hati ini akan membolehkan seseorang itu melihat dari perpektif yang berbeza iaitu untuk melihat apakah yang dia boleh lakukan dalam kehidupannya saban hari demi untuk membawa manfaat dan mencari reda Allah Taala. Pada masa yang sama menjauhkan apa sahaja perbuatan yang boleh mendatang kemurkaan Allah Taala.

Jadi dalam hal ini usahalah untuk menajamkan mata hati untuk melihat sesuatu itu dan dihubungkaitkan dengan saham akhirat. InshaAllah ia pasti akan membawa kebaikan nanti.



Faizal Yusup Al Haj
0166667430
Minda Akhirat
Hidup Kena Cool, Hati kena Mulia...
https://mindaakhirat.blogspot.com/

PS - Sekiranya anda membaca semua 70 bab dalam blog Minda Akhirat ini mengikut tertib dan susunannya saya percaya sesuatu akan berlaku di dalam hati anda dengan izin Allah Taala. Ia akan membawa kebaikan yang banyak dalam hidup anda. Percayalah. Kalau anda tak percaya, bacalah!

PSS - Anda juga boleh menonton semua pengisian ini dalam bentuk video di Instagram Minda_Akhirat. Layari ;

 

NABI DAN RASUL YANG MULIA

 



KEMULIAAN MAKHLUK 
 
Seterusnya mari kita buat analisis dari segi kemuliaan makhluk pula. Saya tidak berhasrat menceritakan tentang makhluk seperti api, pokok dan lain-lain ini kerana makhluk-makluk ini tidak boleh bergerak, dengan tugas dan fungsinya minimal. Makhluk-makhluk ini hanya menjalankan tugas-tugas yang tertentu sahaja patuh mengikut perintah Allah Taala. Begitu juga dengan makhluk emosi seperti bosan, kecewa, gembira, bangga dan sebagainya kerana mereka juga makhluk yang hanya patuh dan menjalankan khidmat tanpa soal.
 
Kalau kita cerita tentang penciptaan rokoklah katakan, rokok yang dicipta daripada daun tembakau itu. Rokok bukannya boleh bergerak tetapi manusialah yang mengambil rokok tersebut meletakkan rokok sebut ke bibirnya dan kemudian menyalakan api untuk memasang lantas menghisap rokok tersebut. Rokok, makhluk yang hina tetapi dimuliakan oleh manusia, diletakkan di atas kepalanya dan bukannya di tempat yang sepatutnya. Malah ada perokok tegar yang menyatakan yang mereka tidak boleh berfikir kalau mereka tidak menghisap rokok.
 
Dalam gambarajah ini, binatang ada yang jantan dan ada yang betina, ia dicipta Allah dengan naluri. Tidak mempunyai akal, mempunyai ciri seperti makan, minum, tidur dan menjalankan hubungan seks. Binatang juga tidak menjalankan ritual seperti solat mengaji, puasa dan sebagainya, setakat buku ini ditulis kita belum pernah lagi nampak lembu berduyun-duyun pergi ke masjid untuk menjalankan solat Jumaat. Binatang juga tidak nasihat menasihati, bergotong royong, berpersatuan dan sebagainya.
 
Jadi dalam carta ini saya letakkan binatang berada di kelompok yang paling bawah di antara kolompok-kelompok makhluk yang ada.
 
Kelompok di atasnya ialah makhluk Malaikat. Kalau kita lihat malaikat bukan macam binatang. Ia adalah makhluk yang dicipta Allah Taala untuk fungsi yang berbeza. Tidak seperti binatang, malaikat tiada jantina, tiada jantan yang tiada betina, ia juga tidak makan tidak minum yang tidak menjalankan hubungan seks, mereka tidak kahwin dan mereka tidak mempunyai anak cucu dan cicit. Makhluk ciptaan Allah bernama malaikat ini ditugaskan untuk patuh dan taat menjalankan apa juga yang Allah perintahkan.Dalam hal ini malaikat punya tugasnya masing-masing, seperti yang kita tahu, malaikat Mikail contohnya ditugaskan untuk menyampaikan rezeki, malaikat Israfil ditugaskan untuk meniup Sangkakala, ada juga malaikat yang khas untuk solat untuk bertahmid dan bertahlil kehadrat Allah Taala. Apa yang pasti mereka tiada naluri, mereka tiada nafsu dan tiada akal seperti manusia, mereka tidak diberi pilihan, mereka hanya menurut perintah Allah Taala terhadap apa yang ditugaskan.
 
Dalam gambarajah ini saya meletakkan status malaikat lebih tinggi daripada binatang.
 
Seterusnya manusia. Makhluk manusia ini juga berbeza kalau dibandingkan dengan makhluk binatang dan malaikat. Ini kerana manusia sama macam binatang makan minum tidur berhubungan dan sebagainya, manusia juga sama macam malaikat diperintahkan untuk patuh kepada Allah Taala untuk menjalankan ritual seperti puasa, solat, berzikir dan sebagainya.
 
Bezanya ialah manusia dikurniakan akal juga dikurniakan nafsu dan diberi pilihan untuk memilih yang mana jalan yang Haq dan mana satu yang Batil.
 
Kalau kita fikirkan makhluk Jin juga berada dalam kurang lebih rangkuman yang sama, cumanya ia makhluk ghaib yang dicipta dari api, Ia makan minum tidur berhubungan beranak pinak dan sebagainya. Jin juga diberikan Allah pilihan untuk memilih sama ada untuk menjadi makhluk yang memilih Islam atau sebaliknya. Namun demikian perlu diketahui yang makhluk jin hirakinya tetap berada di bawah makhluk manusia dari segi kemuliaan. Ini kerana jin juga belajar dan menganut Islam dengan Nabi Muhammad S.A.W dan bukan sebaliknya.


Pun demikian harus diingat kemuliaan manusia ini hanya dikira apabila dia menerima Ugama islam sebagai ugama pegangannya lantas beriman dan beramal soleh kepada Allah Taala. Dalam hal ini sekiranya seseorang manusia itu, hidupnya cuma makan minum, tidur, sex dan berhibur adalah lebih baiklah dia jadi binatang dan jangan jadi manusia. Kemudian sekiranya seseorang manusia itu menghabiskan masa hanya berzikir kepada Allah Taala setiap saat dan setiap masa tanpa buat apa-apa kerja yang selain dari itu maka eloklah dia menjadi malaikat. Dalam hal ini, seorang manusia mestilah melakukan kerja-kerja yang lain seperti berinteraksi bantu-membantu bergotong-royong nasihat-menasihati dan sebagainya. Semua ini tidak dijalankan atau tidak dilakukan oleh Malaikat mahupun Binatang. Inilah membezakan kita manusia kalau dibandingkan dengan makhluk-makhluk yang lain. Semua yang kita lakukan Itu sekiranya dilakukan dengan ikhlas kerana Allah Taala maka kita akan mendapat ganjaran darinya dan InshaAllah ianya dikira sebagai ibadah yang diredai Allah Taala.


Jadi makhluk apakah yang lebih tinggi daripada manusia dari segi kemuliaannya. Tak lain dan tak bukan ianya adalah para Nabi dan Rasul. Mereka juga manusia sama macam kita berkahwin dan sebagainya namanya membezakannya ialah mereka berdakwah menyebarkan risalah Allah. Itulah tugas yang mereka jalankan dan tugas menyebarkan agama Allah inilah yang membawa ganjaran yang paling besar.


Jadi sebagai manusia sekiranya kita ingin mendapat ganjaran atau kemuliaan yang terbesar ini maka adakah kita menjalankan usaha-usaha dakwah iaitu usaha menyebarkan syiar Islam. Ini kerana sekiranya tiada lagi menyampaikan syiar Islam maka agama Islam takkan lagi berkembang dan mungkin itu tanda-tanda dimana dunia akan kiamat. Ini kerana pada zaman ini tiada lagi para Nabi dan para Rasul yang akan muncul bagi menjalankan usaha-usaha dakwah ini sehinggalah munculnya Imam Mahadi dan turun kembali Nabi Isa A.S. menjelang hari Kiamat nanti.


Kesimpulan dari topik ini ialah fahamilah yang diri kita sebagai manusia sekiranya kita beriman dan beramal soleh kepada Allah Taala maka kita berada dalam kedudukan kemuliaan yang tinggi. Kita manusia hakikatnya lebih mulia dari malaikat, jin, binatang serta makhluk-makhluk yang lainnya. Jadi janganlah meletakkan makhluk-makhluk yang di bawah itu di atas kepala kita sedangkan mereka jauh lebih hina dari kita sendiri. 


Faizal Yusup Al Haj
0166667430

Minda Akhirat
Hidup Kena Cool, Hati kena Mulia...
https://mindaakhirat.blogspot.com/

PS - Sekiranya anda membaca semua 70 bab dalam blog Minda Akhirat ini mengikut tertib dan susunannya saya percaya sesuatu akan berlaku di dalam hati anda dengan izin Allah Taala. Ia akan membawa kebaikan yang banyak dalam hidup anda. Percayalah. Kalau anda tak percaya, bacalah!

PSS - Anda juga boleh menonton semua pengisian ini dalam bentuk video di Instagram Minda_Akhirat. Layari ;