Monday, April 16, 2012

Dekatkan Diri dengan Allah Taala



Salam Sejahtera...


Secara Individu

Diri yang selalu mendekatkan diri dengan Allah Taala dengan mendirikan solat 5 waktu, berzikir, memperdengarkan ayat-ayat suci Al Quran, dengan amalan-amalan ikhlas kepada Allah Taala akan secara tak langsung menjadikan diri itu tenang, harmoni, penuh kasih sayang dan kemesraan.

Keluarga

Keluarga yang selalu mendekatkan diri dengan Allah Taala dengan mendirikan solat 5 waktu, memperdengarkan ayat-ayat suci Al Quran, dengan amalan-amalan ikhlas kepada Allah Taala akan secara tak langsung menjadikan keluarga itu tenang, harmoni, penuh kasih sayang dan kemesraan.

Ibadah mestilah dilakukan dengan hati yang ikhlas. Ikhlas mengingati Allah. Ikhlas dalam bersolat, ikhlas dalam melakukan apa juga, lakukanlah apa juga amalan ikhlas kerana Allah. Janganlah melakukannya kerana perkara yang lainnya. Jangan lakukannya kerana mahukan sebarang ganjaran, jangan lakukannya dengan rasa “terpaksa”, jangan lakukannya kerana mahu menunjuk-nunjuk dan sebagainya kerana ia bakal tidak membawa makna. Ia akan hanya merosakkan hati.

Individu yang hatinya reput, rosak, kotor dan mati akan hanya menyumbang kepada kerosakan dalam dirinya serta organisasi dimana dia berada tak kira dalam masyarakat, di tempat kerja, nusa dan bangsa. Tiada suasana ketenangan, kemesraan dan kasih sayang di situ, yang ada hanyalah hasad dengki, syak wasangka buruk, hipokrit dan berbagai lagi sifat yang buruk yang lainnya.

Di Pejabat

Dalam hal ini baik dalam diri, di rumah, di pejabat mahupun dimana sahaja, pengisian ugama, memperdengarkan laungan azan, ayat-ayat suci Al Quran dan amalan yang lainnya yang dilakukan secara berterusan secara tak langsung akan dapat mententeramkan hati, Hati yang tenteram di kalangan kakitangannya akan merapatkan hubungan persaudaraan baik sesama Islam manupun bukan Islam.

Ketahuilah kalau kita begitu sibuk mengejar dunia hingga lupa pada pengisian akhirat, lupa untuk mengingati Allah, lupa untuk menunaikan solat dan sebagainya akan menyebabkan lambat laun hati menjadi rosak dan kotor dan satu hari ia mungkin akan mati. Bila ia mati kita tak akan dapat membezakan antara yang hak dengan yang batil. Mata hati itu akan langsung tertutup dan akan hanya dapat melihat yang tersurat.

Fikir-fikirkanlah..

Sesungguhnya segala kebaikan adalah dari Allah dan segala kelemahan adalah atas kekurangan diri saya sendiri. Kemaafan jualah yang saya pinta.

Bukalah pintu hati, anda pasti akan memahami. Terima kasih meluangkan masa membaca. Harap ia membawa manfaat buat anda.

Ikhlas dari,

Faizal Yusup
Pengkaji Isu Sosial

Facebook : Faizal Yusup
Revolusi Baru Kecemerlangan Diri!

PS - Anda suka blog ini? Jadilah follower, komenlah mana yang patut dan tolong saya hebahkan pada semua rakan-rakan anda atau linkkan blog saya ni kepada blog anda okay? Ada banyak manfaat untuk semua. InsyaAllah.

Terima kasih…

Thursday, April 12, 2012

Menurut Perintah Allah Taala



Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam ugama Islam (dengan mematuhi) seluruh hukum-hukumnya.

Al – Baqarah ayat 208


Dalam perspektif selain Islam termasuklah ideologi Barat, semua perkara dibahagikan kepada dua kategori iaitu yang baik dan yang buruk tetapi dalam perspektif ugama Islam ia dibahagikan kepada lima kategori hukum utama selain dari hukum-hukum yang lainnya.

WAJIB, SUNAT, HARUS, MAKRUH dan HARAM

Wajib              – Buat dapat pahala, tak buat berdosa.
Sunat             – Buat dapat pahala, tak buat tak mengapa.
Harus             – Buat / tak buat tak mengapa.
Makruh          – Buat kemungkinan dapat dosa, tak buat tak mengapa.
Haram            – Buat berdosa, tak buat dapat pahala.

Contohnya pengisian yang kita dengar seharian juga tertakluk kepada hukum. Ada pengisian yang haram iaitu pengisian yang bersifat fitnah, mengadu domba, penipuan dan sebagainya, ada juga pengisian yang makruh iaitu pengisian yang sia-sia, ada pula pengisian yang harus yang menceritakan tentang isu semasa, kemudian ada pula pengisian sunat yang bertujuan merapatkan silaturrahim dan ada juga pengisian fardhu iaitu pengisian dakwah yang membawa kebenaran.

Bagi saya terdapat banyak maklumat yang berkisar di dunia ini hinggakan kemajuan internet telah membolehkan kita memperolehi pelbagai maklumat dengan hanya satu petikan jari pada tetikus. Pada pendapat saya dalam maklumat yang begitu banyak itu akan terselit ilmu. Ilmu itu sebenarnya datang Allah dan benar sifatnya. Pengisian inilah pengisian dakwah yang berada dalam rangkuman Fardhu Kifayah yang tinggi nilainya kalau dibandingkan dengan pengisian-pengisian maklumat yang lainnya.

Sebagai contoh lain semua kerja yang kita lakukan juga tertakluk pada hukum. Menyanyi, berhibur, membuang masa sia-sia dan tak berfaedah boleh jadi makruh hukumnya. Ada puasa wajib di bulan Ramdhan, ada puasa sunat pada hari Isnin dan Khamis ada puasa harus, ada puasa makruh pada hari Ahad dan ada puasa yang haram kalau dijalankan pada Hari Raya contohnya. Ada wajib makan kalau kita sudah terlalu lapar hingga boleh memudaratkan, ada sunat makan, ada harus makan ada makruh makan kalau sudah berlebihan ada haram makan kalau apa yang dimakan itu diharamkan.

Kalau difikirkan apakah kerja yang kita lakukan sekarang dan apakah kategorinya? Membaca buku bersifat ilmu boleh jadi fardhu kifayah tetapi membaca majalan hiburan lain pula hukumnya.

Apakah pula kerja yang kita lakukan sekarang? Adakah kita bekerja di Bank, di Hotel, di Genting Highland, di Kelab-kelab malam, di kilang rokok dan Arak atau melibatkan penipuan, rasuah dan riba yang boleh menyebabkan rezeki yang kita terima berada dalam lingkungan makruh mahupun haram?

Rezeki yang diterima dengan cara yang sebegini pasti ada implikasinya yang tersendiri dan dari kajian yang saya buat ia bakal mengundang kesusahan kepada penerimanya.

Kemudian timbul pula persoalan rezeki yang diterima itu kemana pula ia dibelanjakan. Pengisian dunia tidak mengatakan kemana ia dibelanjakan oleh itu orang Barat lebih suka membelanjakannya ke arah perkara-perkara yang makruh. Melalui televisyen mereka memaparkan kemewahan dalam bentuk rumah yang besar siap dengan semua perhiasannya, kereta yang canggih dan sebagainya lantas inilah yang ditiru orang kita tanpa mengettahui yang semua ini berada dalam rangkuman makruh.

Dalam Islam orang yang bermampuan hendaklah menyempurnakan kewajipan rezeki dengan melangsaikan hutang, menunaikan zakat dan menunaikan haji, kemudian sedekah dari yang dekat kepada yang jauh, membantu anak yatim dan orang yang dalam kesusahan dan sebagainya. Seterusnya menyediakan keperluan makan, minum dan tempat perlindungan yang termasuk dalam rangkuman harus. Perhiasan rumah, shopping,  membesarkan rumah hingga berlebihan boleh termasuk dalam hukum makruh dan akhir sekali penyalahgunaan rezeki dengan aktiviti haram hendaklah dielakkan sama sekali.

Malangnya manusia lebih suka melakukan perkara yang makruh dan haram. Suka membazir, bercakap perkara yang tiada faedah, melakukan kerja-kerja yang haram dan sebagainya. Saya pernah ditanya soalan akan apa salah sekiranya seorang melayu mewarnakan rambut perang dan memakai kanta lekap berwarna biru tetapi iman dalam hati siapa yang tahu? Lalu saya katakan yang Allah sukakan kepada perkara yang wajib dan sunat dikerjakan manusia maka berambut kuning dan bermata biru berada dalam kedudukan makruh malah mungkin haram maka sebenarnya ia jelas menunjukkan kedudukan keimanan seseorang itu. Mereka yang beriman pasti akan mengelakkan dari melakukan perkara-perkara yang makruh dan haram sebegini.

Dalam berpakaian juga kita boleh melihat kepercayaan dan penerapan diri seseorang insan itu. Pada masa yang sama ia juga berada dalam rangkuman hukum Islam yang sedang diperkatakan ini. Ada yang berpakaian menjolok mata yang haram sifatnya, ada yang berpakaian bersilau dan berkelip-kelip yang menjadi tumpuan ramai, ada yang memakai baju Manchester United mahupun Liverpool demi menunjukkan sokongan kepada pasukan kegemaran mereka tanpa melihat sokongan kepada Red Devil atau setan merah mahupun jenama arak yang terpampang di dada. Bukankah semua ini berada dalam rangkuman makruh dan berkemungkinan menjadi haram sedangkan kita boleh memakai baju putih dan menutup aurat mengikut sunnah Nabi Muhammad S.A.W. yang menjanjikan pahala dari Allah Taala.
                                                     
Ini semua sebenarnya adalah dakyah Barat yang pada masa yang sama didorongi syaitan dibelakangnya. Kalau kita perhatikan sedalam-dalamnya mereka menonjolkan rangkuman makruh dan haram dengan budaya hedonism iaitu budaya hiburan, maksiat, seks, dadah dan arak, penonjolan kepada kemewahan, kekayaan dan sebagainya. Ramai pula diantara kita yang lebih suka mengagung-agungkan budaya Barat ini kerana mereka percaya yang budaya ini merupakan budaya universal yang sepatutnya diterima umum walhal budaya ini pada hakikatnya serba lemah dan banyak kekurangannya.

Mungkin juga kedudukan keimanan seseorang itu bergantung kepada apa yang dilakukan sepertimana di bawah ini.


WAJIB, SUNAT, HARUS
Solat
Puasa
Menunaikan zakat
Menunaikan Haji
Berdakwah
Bercakap Benar
Berzikir
Mengaji Al Quran
Sedekah
Derma
Saling Berkhidmat
Bersilaturrahim
Bekerja
Belajar
Berniaga
Bercucuk tanam
dan lain-lain ibadah.

MAKRUH DAN HARAM
Mewarna rambut
Membuka aurat
Merokok
Bercakap sia-sia
Membazir masa, tenaga dan sumber
Fitnah
Mengadu Domba
Menipu
Syak wasangka buruk
Berjudi
Minum arak
Bercampur gaul
Bergaduh
Melakukan zina
dan lain-lain maksiat.

Dari rangkuman di atas anda berada dalam golongan yang mana?

Masa juga sebenarnya tertakluk kepada hukum. Kita diwajibkan solat setiap kali masa waktu 5 kali sehari iaitu menjelang fajar, menjelang tengahari, menjelang petang, menjelang senja dan menjelang malam. Setiap kali waktu itu menjelang maka perkara pertama yang perlu kita lakukan ialah bersolat fardhu yang diwajibkan ke atas kita kemudian barulah kita buat urusan dalam rangkuman hukum yang lainnya. Seorang sahabat pernah bertanya kepada Rasullullah S.A.W., apakah amalan yang paling baik untuk dilakukan? Baginda menjawab, mendirikan solat di awal waktu, berbuat baik kepada ibubapa dan berjihad ke jalan Allah. Ia membawa maksud yang kita menjadikan Allah keutamaan iaitu mendahulukan Allah sebelum perkara yang lain. Inilah disiplin yang diterapkan Islam yang begitu sempurna tiada dalam ugama lain.

Saya juga pernah mendengar satu khutbah yang mengatakan menurut statistik kebanyakan penceraian yang berlaku di negara ini adalah disebabkan penghuni di dalam rumah tangga itu tidak menunaikan solat atau mempelecehkan soal solat. Cuba perhatikan sampel-sampel yang berada di sekeliling anda. Adakah mereka yang menghadapi cerai berai ini terdiri dari mereka yang mendirikan solat atau sebaliknya? Saya tak tahu apa hubungkait penceraian dengan rumahtangga tetapi saya yakin yang fakta ini adalah benar. 



Apapun Allah Taala suka kepada makhlukNya yang melakukan kerja-kerja dalam rangkuman Wajib dan Sunat. Wajib mesti ditegakkan dan sunat pula sebagai tambahan kepada Wajib sekiranya Wajib tidak dapat disempurnakan dengan sebaiknya atau Sunat merupakan bonus kepada Wajib yang telah dilengkapkan.

Kesimpulannya pula sebagai seorang Islam semua perkara dalam kehidupan kita sebenarnya tertakluk kepada hukum.

Sekian dulu buat kali ini.

FY

Wednesday, April 11, 2012

Kaedah Manusia Menghilangkan Tekanan


Salam hormat buat semua...


FY bercerita lagi...

Di zaman millennium ini apabila seseorang menghadapi tekanan daripada permasalahan yang dihadapinya banyak cabang yang telah disediakan yang pada pandangan kita merupakan cara yang terbaik untuk mengatasinya.

Ada yang mengambil keputusan untuk merokok, minum minuman keras, ke tempat-tempat hiburan, mengambil dadah dan sebagainya. Ada juga yang mengambil inisiatif untuk berjumpa kaunselor tidak rasmi iaitu kawan-kawan, keluarga ataupun meminta nasihat pakar. Selain itu ada juga yang mengambil jalan untuk melakukan maksiat dan perzinaan sebagai langkah keluar. Bagi mereka yang pasif pula mereka akan bermurung dan berdiam diri tanpa berbuat apa-apa dengan harapan masalah tersebut akan berlalu begitu sahaja.

Kita berkata inilah cara yang terbaik untuk "release tension".

Masalahnya dengan saluran emosi ini ialah ia hanyalah bersifat sementara. Tak lama selepas itu kita akan kembali tertekan mengenangkan masalah yang dihadapi. Kebanyakan saluran emosi ini dicipta oleh orang Barat yang pincang rohaninya. Mereka mencari pelbagai cara untuk mengatasi masalah mereka. Mereka mencipta permainan yang ekstrim demi untuk menghilangkan tekanan. Namun ia tetap tidak berhasil. Kebanyakan saluran emosi ciptaan mereka ini hanyalah akan memudaratkan diri mereka sendiri. Sekiranya kita mengambil dadah, minum arak mahupun merokok, ia pasti akan menjejaskan kesihatan diri kita sendiri. Saluran ini seterusnya akan menyebabkan timbulnya masalah yang lain pula.

Kes contoh ;

Maskiah mempunyai seorang adik lelaki yang bernama Mamat. Mereka kehilangan ibu yang meninggal dunia semasa kecil dan keadaan ini meninggalkan kesan yang mendalam dalam dirinya. Tak lama kemudian dia mendapat ibu tiri yang garang macam dalam cerita bawang putih, bawang merah. Mereka didera, diherdik, dimarah, disebat, dirotan, dicubit, diarah dan sebagainya. Dalam ertikata lain dia menghadapi pengalaman yang traumatik pada umur yang semuda itu.

Anda sudah tahu apa terjadi pada Maskiah tetapi apa pula yang terjadi pada Mamat?

Tekanan yang Mamat terima pasti memerlukan jalan keluar. Tekanan ini umpama air yang masuk melalui satu paip dan akan keluar di penghujung paip yang satu lagi. Paip itu boleh pecah sekiranya air yang berupa tekanan itu terus masuk tetapi tidak menemui jalan keluar.


Tekanan itu menyebabkan Mamat memilih menagih dadah sebagai jalan keluar bagi melupakan masalah yang dihadapinya itu. Mamat juga menyimpan dendam pada ibu tirinya dan sentiasa mencari peluang untuk membalas apa yang telah terjadi di zaman mudanya. 

Antara saluran emosi yang ada pada masa ini adalah seperti dalam gambarajah di bawah ini :

GAMBARAJAH TEKANAN DAN OUTPUT SALURAN EMOSI

INLET
OUTLET

Tekanan Yang  Mendatang
Kaedah Therapi Yang Dipilih
Makan
Shopping
Tidur
Bersukan
Memancing
Berlumba
Video Games
Merokok
Menagih Dadah
Berjudi
Berzina
Minum Arak
Disko / Club
Melepak
Berdoa
Beribadat
Berdiam Diri
Minta nasihat kawan
Minta pandangan kaunselor
Mangancam orang lain
Mencederakan Diri Sendiri
Membunuh diri
Lain-lain lagi

Yang mana satu pilihan anda?

Cuba anda lihat gambarajah tersebut, saya percaya bila anda menghadapi tekanan anda akan mengendurkan tekanan tersebut dengan menggunakan salah satu atau lebih saluran emosi yang tertera di atas.

Kalau difikirkan, 40 tahun dahulu hampir separuh dari saluran emosi yang saya nyatakan dalam gambarajah ini belum lagi dicipta. Agaknya pada masa itu bagi seorang lelaki yang menghadapi tekanan mereka pergi memancing atau memburu bagi meringankan tekanan tersebut kerana kurangnya pilihan yang ada pada masa itu.

Kebanyakan saluran emosi yang ada dewasa ini dicipta oleh orang Barat yang tidak menemui penawar kepada jiwa mereka. Mereka akan terus-terusan mencipta bagi melegakan tekanan kehidupan mereka dan kita pula akan terus-terusan mengikut cara mereka. Kita juga mungkin sakit jiwa sepertimana mereka kerana cara hidup kita yang tak jauh bezanya dari mereka.

Rokok juga merupakan jalan keluar tak kira lelaki mahupun perempuan. Dewasa ini kita dapat lihat ramai yang terjebak dalam gejala ini. Walaupun ianya hanyalah rokok tetapi percaya atau tidak bila sudah terjerat amat sukar untuk keluar. Mereka menggunakan pelbagai alasan yang munasabah mahupun yang tidak bagi mempertahankan kebenaran mereka untuk menghisap rokok. Salah satu sebab utama mereka menjalankan aktiviti ini adalah kerana tekanan yang dihadapi sama ada di rumah, di sekolah, di tempat kerja atau di mana sahaja. Pelbagai langkah diambil oleh pihak kerajaan bagi menangani masalah ini namun ia masih lagi berleluasa. Mereka tahu yang merokok boleh membahayakan kesihatan tetapi sebenarnya amat sukar untuk menghentikan tabiat ini.

Saya banyak menghuraikan isu dadah sebagai salah satu jalan keluar yang diambil oleh sesetengah pihak. Ini adalah salah satu dari jalan keluar yang paling buruk yang boleh mengakibatkan pelbagai masalah lainnya. Masalah dadah ini juga telah menjadi agenda nasional kerana keadaannya yang semakin kritikal dan semakin susah dibendung kerajaan. Masalahnya dengan dadah ini ialah ia akan memegang hati dan darah daging anda dan lebih teruk dari merokok, peluang untuk keluar dari jerat ini amatlah tipis. Hanya segelintir mereka yang kuat dan dapat mencari jalan keluar sahaja yang berjaya membersihkan diri dari gejala ini.

Oleh itu terpulanglah kepada anda untuk memilih saluran manakah yang anda mahu. Pilihlah saluran yang terbaik untuk mengurangkan tekanan yang anda hadapi. Apapun janganlah memilih saluran yang boleh membawa kemudaratan kepada anda.

Nota : Menurut statistik 6 daripada 100,000 orang melayu membunuh diri pada tahun 2000 kenaikan 300 peratus daripada tahun 90an.

Dipetik dari Buku Keluar Dari Tempurung 2. Pendekatan Praktikal Menangani Masalah.

Fikir-fikirkanlah..

Sesungguhnya segala kebaikan adalah dari Allah dan segala kelemahan adalah atas kekurangan diri saya sendiri. Kemaafan jualah yang saya pinta.

Bukalah pintu hati, anda pasti akan memahami. Terima kasih meluangkan masa membaca. Harap ia membawa manfaat buat anda.

Ikhlas dari,

Faizal Yusup

Pengkaji Isu Sosial


Facebook : Faizal Yusup


Revolusi Baru Kecemerlangan Diri!

PS - Anda suka blog ini? Tolong saya hebahkan pada semua rakan-rakan anda atau linkkan blog saya ni kepada blog anda okay? Ada banyak manfaat untuk semua. InsyaAllah.

Terima kasih…

Iktaibar dari Jodoh dan Pertemuan



Salam Ceria!


Kita bercerita lagi...


Kita berada dalam zaman yang sama maka di sini kita dapat berjumpa. Ada juga yang saya pernah jumpa dan selepas itu terus tak jumpa lagi walaupun mereka masih berada di muka bumi tetapi ada juga yang sayap pernah jumpa tetapi mereka telahpun meninggalkan dunia ini. Yang pergi meninggal dunia diganti dengan yang baru lahir dan membesar. Masa bergerak begitu pantas dan anak yang kecil membeasr dengan begitu cepat sekali. Itulah lumrah dunia. Jadi di sini saya Faizal Yusup telah singgah di muka bumi ini semenjak tahun 1970 dan saya tak tahulah bila saya akan meninggalkan dunia yang fana ini. Apapun sebelum saya pergi saya ingin menyampaikan sepatah dua kata dengan apa cara sekalipun terutamanya melalui blog ini dengan harapan ia membawa manfaat kepada sesiapa sahaja yang membacanya baik hari ini mahupun di masa yang akan datang walau siapapun mereka.

Saya selalu bercerita tentang topik masa ini dan tak jemu-jemu mengulanginya dari pelbagai sudut. Ini kerana masa adalah elemen atau nikmat yang amat bernilai dalam kehidupan. Tanpanya semua perkara akan terhenti. Sekali lagi ingatlah secara purata di zaman ini kita hanya akan hidup kira-kira 70 tahun atau 25,000 hari, itu pun kalau tak terjadi apa-apa di tengahnya. Kalau tak pendeklah umur.

Jom kita lihat contoh ini.

Ali bin Abu bin Azhar bin AZLAN bin Azman bin Azizi bin Amir

Katalah nama anda Azlan. Saya yakin kemungkinan besar anda tak akan kenal dengan moyang anda Amir. Ini kerana kemungkinan besar moyang anda itu telahpun meninggal dunia. Anda tak tahu apa yang dilakukannya di zaman kehidupannya, apa kerjanya, dimana kuburnya, adakah kuburnya kemas atau dipenuhi belalang?

Kalau difikirkan anda juga tak akan mengenali cicit anda Ali. Kerana pada masa dia dilahirkan, kemungkinan besar anda telahpun meninggal dunia. Dia juga tak tahu tak tahu apa yang anda lakukan di zaman anda hidup, apa kerja anda, dimana kubur anda, adakah kubur anda kemas atau dipenuhi belalang... Mereka tidak hidup sezaman dengan kita.

Tapi, Ali cucu anda itu ada kemungkinan kenal dengan Faizal Yusup. Kenapa? Sebab kalau buku-buku yang ditulis masih di ulang cetak, kalau blog ini masih bertahan isi kandungannya maka InsyaAllah kalau ada jodoh mereka akan bertemu dengannya. Kita masih kenal denga Ibnu Sina, Hamka dan Pendita Zaaba kerana penulisan dan ilmu mereka yang masih bertahan hingga kini. Kita masih kenal dengan Colonel Saunders, Thomas Edison dan Alexander Graham Bell kerana ciptaan yang mereka tinggalkan.

Jadi apakah yang bakal kita tinggalkan buat mereka? Apakah sumbangan kita buat anak cucu cicit kita itu di zaman kita hidup ini? Atau adakah kita singgah dan meninggalkan dunia ini tanpa berbuat apa-apa. Singgah dan pergi begitu sahaja. Pernahkah anda ke kawasan perkuburan melihat kubur-kubur yang dipenuhi lalang dan bertanya bagaimanakah ahli kubur itu hidup di zamannya dahulu hingga ia tak dipedulikan lagi sekarang.

Apapun sebagai seorang Islam hanya 3 amalan ini yang akan kita bawa. Amal jariah, Ilmu yang bermanfaat yang disampaikan dan anak yang soleh. Semua manusia baik di zaman ini, di zaman dahulu mahupun di zaman akan datang juga akan diduga dengan perkara yang sama.

Fikir-fikirkanlah..

Sesungguhnya segala kebaikan adalah dari Allah dan segala kelemahan adalah atas kekurangan diri saya sendiri. Kemaafan jualah yang saya pinta.

Bukalah pintu hati, anda pasti akan memahami. Terima kasih meluangkan masa membaca. Harap ia membawa manfaat buat anda.

Ikhlas dari,

Faizal Yusup
Pengkaji Isu Sosial

Facebook : Faizal Yusup
Revolusi Baru Kecemerlangan Diri!

PS - Anda suka blog ini? Tolong saya hebahkan pada semua rakan-rakan anda atau linkkan blog saya ni kepada blog anda okay? Ada banyak manfaat untuk semua. InsyaAllah.

Terima kasih…

Mengambil Iktibar dari Jodoh dan Pertemuan




Bismillahirahmanirrahim...


Dalam kehidupan kita sebenarnya sering bertemu dengan agen perubahan. Agen perubahan ini boleh jadi manusia, buku, keadaan, peristiwa dan sebagainya untuk kita mengambil iktibar dan memperbaiki diri. Dalam kehidupan, tiada apa yang tetap semuanya akan mengalami perubahan. Dalam ertikata lain hanya perubahan yang bersifat tetap.

Bagi kebanyakan kita yang telah diterapkan dengan sosio budaya, penerapan pembentukan nilai diri baik dalam rumah dalam measyarakat dalam pekerjaan dan sebagainya menukarnya kepada sesuatu yang baru bukanlah satu tugaas yang mudah. Kita yang telah berada dalam zon selesa begitu sukar untuk melakukan perubahan kepada sesuatu yang baru kerana kita telah biasa menjalankannya dengan cara yang kira selesa, senang dan tahu. Walhal ada teknologi baru yang lebih mudah, praktikal, efisien dan sebagainya.

Zaman teknologi digital ini mereka yang lambat akan ketinggalan dan perubahan berlaku dengan begitu cepat saban hari jadi kita mesti mencari jalan untuk berubah dan bersaing agar kita tidak ketinggalan.

Bila kita yang telah biasa dengan budaya yang lama dalam diri maka bila ada seseorang yang datang dan mengajak kita berubah kita akan menolak mereka keluar dan merasakan yang mereka mengancam kedudukan kita.

Dari sudut budaya syarikat.

Syarikat XYZ yang dijalankan dengan tidak efisien dengan pelbagai bocoran kepada perbelanjaan kewangannya kita ambil sebagai contoh.

Pengurusan syarikat yang lembab pada masa itu telah menyebabkan banyak pembaziran dalam perbelanjaan syarikat namun demikian kakitangannya gembira kerana mereka bebas untuk meminta kerja lebihan masa, bebas untuk menggunakan petty cash untuk tujuan yang adakalanya bukan untuk kegunaan syarikat. Namun bila masuk seorang CEO yang baru bernama Ali yang nampak semua kelemahan ini dan mula mengemplementasikan KPI (Key Performance Index) kepada semua kakitangan, menggunakan sistem komputer yang lebih baru dan canggih yang dapat mengesan inventori secara menyeluruh pada setiap masa, mengurangkan petty cash bersesuaian dengan bajet jabatan, membuat sasaran jualan dan sebagainya.

Keadaan ini meyebabkan ramailah kakitangan yang dahulunya asyik melepak minum pagi dan petang terpaksa bekerja dan mencapai sasaran yang diletakkan. Mereka memberontak kerana zon selesa mereka selama ini telah diganggugugat dan selagi daya mereka cuba mempertahankannya. Mereka cuba untuk menjatuhkan Ali kerana tak mahu menerima perubahan yang dibawanya.

Ali sebenarnya adalah seorang agen perubahan.

Dalam hal ini dua senario boleh berlaku.

Senario pertama,

Kakitangan syarikat itu berjaya menjatuhkan Ali hingga Ali dibuang kerja dan mereka kembali kepada cara lama tiada perubahan dan syarikat itu lambat laun akan mengalami masalah kewangan kerana perubahan yang trend perniagaan yang semakin sengit.

Senario kedua,

Sesuatu yang pada mulanya sukar untuk dilakukan lambat laun akan menjadi mudah. Kalau dahulu dengan mudah mereka mengatakan yang mereka tak tahu atau mencari alasan yang lainnya tetapi sekarang mereka perlu mencari jawapan kepada setiap soalan yang diajukan. Keadaan ini lambat laun akan menjadi budaya baru syarikat dan budaya ini pastinya akan membawa kepada keuntungan jangkamasa panjang buat syarikat tersebut.

Dari sudut budaya individu.

Individu juga tiada bezanya dari sebuah syarikat. Kita juga punya penerapan nilai budaya diri yang tersendiri samaada kita memasukkannya secara sengaja atau tidak. Dalam hal ini ia menjadikan kita seorang yang punya keyakinan atau tidak, pemaaf atau tidak, pemalas atau rajin, menghargai masa atau tidak dan sebagainya. Semua ini merupakan ketetapan-ketetapan dalam diri.

Masalahnya manusia lebih suka membuang masa, melepak, bersantai dan melakukan perkara-perkara mengikut nafsu. Hakikatnya orang yang sebegini sebenarnya tak sedar akan arah tuju dalam kehidupannya. Mereka lahir dan menjadi pengembara dalam dunia tanpa matlamat dan tujuan yang jelas.

Apapun bila kita bertemu dengan agen perubahan tak kiralah samaada ada orang yang menyampaikannya pada kita, kursus motivasi, pembacaan, kejadian dan peristiwa maka ambillah iktibar dan lakukanlah perubahan ke arah yang lebih baik.


Tamadun kita masih mentah jadi sebenarnya masih terdapat banyak lagi ruang untuk kita perbaiki baik dari aspek diri sendiri, masyarakat, pendidikan, perniagaan, kerajaan dan sebagainya.

Blog ini juga sebenarnya merupakan agen perubahan, sesiapa yang mendapat menfaat dari pembacaannya lantas melakukan perubahan dalam diri demi untuk meningkatkan KPI diri maka saya yakin lambat laun ia akan membawa kepada kejayaan baik di dunia mahupun di akhirat kelak. InsyaAllah.

Fikir-fikirkanlah..

Sesungguhnya segala kebaikan adalah dari Allah dan segala kelemahan adalah atas kekurangan diri saya sendiri. Kemaafan jualah yang saya pinta.

Bukalah pintu hati, anda pasti akan memahami. Terima kasih meluangkan masa membaca. Harap ia membawa manfaat buat anda.

Ikhlas dari,

Faizal Yusup
Agen Perubahan

Facebook : Faizal Yusup
Revolusi Baru Kecemerlangan Diri!

PS - Anda suka blog ini? Jadilah follower, komenlah mana yang patut dan tolong saya hebahkan pada semua rakan-rakan anda atau linkkan blog saya ni kepada blog anda okay? Ada banyak manfaat untuk semua. InsyaAllah.

Terima kasih…