Friday, February 4, 2022

KETAJAMAN MATA HATI

 



MINDA AKHIRAT – PANDANGAN 3 MATA

Bagi mereka yang berminda dunia, mereka punya akan punya 2 mata penglihatan sahaja iaitu ;

Mata Kasar 

Mata kasar ini adalah apa yang kelihatan secara fizikal pada kaca mata mereka. Dalam contoh ini mereka akan nampak pokok yang menghijau. Pokok yang rendang dan menghasilkan buah.  

Mata Akal

Mata akal pula memandang dari sudut saintifik seperti bioteknologi, Fotosintesis, sumber makanan dan ubat-ubatan dan sebagainya. Adakah pokok itu boleh mendatangkan keuntungan kewangan? Itu objektif utama pandangan mata ini. Kalau mereka menjalankan perniagaan, usaha mereka itu ialah mengkayakan diri mereka sendiri.

Sedangkan bagi yang berminda akhirat mereka ada satu lagi mata tambahan iaitu mata hati.

Mata Hati

Mata hati akan melihat dari sudut kacamata Allah Taala. Pokok itu juga adalah makhluk yang dicipta allah demi untuk memberikan khidmat kepada manusia malah makhluk lain. Ia hidup menurut perintah Allah Taala dan bila tiba masanya ia juga akan mati sepertimana makhluk hidup yang lainya. Mata hati bagi seseorang yang berniaga ialah kerana Allah Taala demi untuk membantu orang lain, demi untuk membangunkan ekonomi ummah dan demi untuk memakmurkan bumi. Kepentingan diri bukan perkara utama bagi mereka yang punya mata hati ini.

Ketajaman mata hati ini akan membolehkan seseorang itu melihat dari perpektif yang berbeza iaitu untuk melihat apakah yang dia boleh lakukan dalam kehidupannya saban hari demi untuk membawa manfaat dan mencari reda Allah Taala. Pada masa yang sama menjauhkan apa sahaja perbuatan yang boleh mendatang kemurkaan Allah Taala.

Jadi dalam hal ini usahalah untuk menajamkan mata hati untuk melihat sesuatu itu dan dihubungkaitkan dengan saham akhirat. InshaAllah ia pasti akan membawa kebaikan nanti.



Faizal Yusup Al Haj
0166667430
Minda Akhirat
Hidup Kena Cool, Hati kena Mulia...
https://mindaakhirat.blogspot.com/

PS - Sekiranya anda membaca semua 70 bab dalam blog Minda Akhirat ini mengikut tertib dan susunannya saya percaya sesuatu akan berlaku di dalam hati anda dengan izin Allah Taala. Ia akan membawa kebaikan yang banyak dalam hidup anda. Percayalah. Kalau anda tak percaya, bacalah!

PSS - Anda juga boleh menonton semua pengisian ini dalam bentuk video di Instagram Minda_Akhirat. Layari ;

 

APA TINDAKAN KITA BILA DIDUGA?

 



MINDA AKHIRAT - KONSEP ZON

Kawasan yang bertanda merah itu adalah Zon Minda Dunia dan yang bewarna hijau itu adalah zon Minda Akhirat. Huraiannya adalah seperti berikut ;

ZON NEGATIF NEGATIF

Bagi yang berminda dunia, bila diuji dengan kesukaran dan kesakitan mereka marah dan tak puas hati. Menyalahkan keluarga, menyalahkan orang sekeliling, menyalahkan majikan, menyalahkan keadaan, menyalahkan kerajaan, menyalahkan apa sahaja. Diri sendiri yang paling jarang dipersalahkan. Kemiskinan menjadikan mereka kufur. Adakalanya mereka merasakan Allah tak adil dan paling teruk lagi mereka berputus asa hingga sanggup mengadaikan nyawa sendiri.

ZON NEGATIF POSITIF

Namun bagi yang berminda akhirat, tatkala diuji dengan kesukaran dan kesakitan, mereka reda. Mereka bersyukur. Malah para sahabat Nabi SAW gembira bila mendapat demam kerana pada mereka itu petanda yang Allah ingat kepada mereka. Mereka sabar dan tabah menjalani apa juga dugaan yang diuji ke atas mereka kerana mereka tahu hakikat yang dugaan itu adalah penguji keimanan.   

ZON POSITIF NEGATIF

Dalam zon ini bagi yang berminda dunia, bila diuji dengan kuasa, kesenangan, kekayaan dan kemewahan maka mereka kufur. Umpama Firaun yang berkuasa tetapi zalim, sombong, menindas, menidakkan kebenaran dan sebagainya malah paling teruk lagi hingga sanggup mengaku yang dirinya itu Tuhan sedangkan Iblis pun tak berani berbuat demikian atau umpama Qarun yang dikurniakan harta yang banyak tetapi tetap juga kufur. Hingga kini ramai manusia yang bersikap begini.

ZON POSITIF POSITIF

Dalam zon ini bagi mereka yang berminda akhirat, apabila mereka diuji dengan kuasa, kesenangan, kekayaan dan kemewahan, maka mereka menggunakan semua itu untuk kebaikan. Untuk membawa manfaat kepada orang lain. Mereka tahu yang semua harta, kuasa dan kekayaan itu tak lain hanyalah diamanahkan atau dipertanggungjawabkan atau ianya hanyalah pinjaman daripada Allah Taala sementara hidup di dunia ini.

Mereka ini ikut sunnah Nabi Sulaiman AS dimana Nabi Sulaiman merupakan manusia yang paling kaya di dunia ini namun demikian baginda tidak kufur malah memerintah sebagai raja yang adil bukan hanya untuk makhluk manusia tetapi untuk makhluk-makhluk yang lain juga.

Kesimpulan dari Konsep Zon ini ialah tidak kiralah kita berada di mana sama ada kita berada dalam kesusahan atau kesenangan, kita hendaklah sentiasa reda dan bersyukur kerana senang itu satu dugaan, susah itu juga satu dugaan. Hakikatnya dugaan susah adalah lebih senang kerana dugaan susah akan mengingatkan kita kepada Allah Taala sedangkan dugaan senang hakikatnya lebih sukar kerana tatkala senang kita selalu melupakan Allah jadi dalam hal ini tak kiralah dalam susah atau senang hendaklah kita sentiasa ingat pada Allah hendaklah kita reda dan bersyukur.

Faizal Yusup Al Haj
0166667430
Minda Akhirat
Hidup Kena Cool, Hati kena Mulia...
https://mindaakhirat.blogspot.com/

PS - Sekiranya anda membaca semua 70 bab dalam blog Minda Akhirat ini mengikut tertib dan susunannya saya percaya sesuatu akan berlaku di dalam hati anda dengan izin Allah Taala. Ia akan membawa kebaikan yang banyak dalam hidup anda. Percayalah. Kalau anda tak percaya, bacalah!

PSS - Anda juga boleh menonton semua pengisian ini dalam bentuk video di Instagram Minda_Akhirat. Layari ;

KETAATAN DAN KEPATUHAN

 



JALAN KETAATAN DAN JALAN PEMBERONTAKAN

Bab ini adalah sambungan dari topik perbezaan antara orang berminda dunia dengan orang berminda akhirat tapi kali ini saya menggunakan analogi Jalan Ketaatan bagi mereka yang berminda akhirat dan Jalan Pemberontakan bagai mereka yang berminda dunia.  

Bila difikirkan tentang Jalan Ketaatan dan Jalan Pemberontakan ini, kadang-kadang kita akan bertemu dengan remaja yang masih belum terbuka pintu hatinya. Apa yang ditakuti ialah dia akan terus-terusan begitu dan ini mungkin boleh menyebabkan dia melencong jauh. Walaupun remaja itu merupakan anak seorang imam masjid yang diterapkan dengan pelbagai pengisian ilmu ugama oleh bapanya tetapi andai hatinya tertutup maka berkemungkinan dia akan menangkis semua pengisian ini. Secara tak langsung mereka memilih jalan yang saya namakan Jalan Pemberontakan ini. Mereka merasakan yang semua pengisian ini hanya membelenggu diri mereka sedangkan mereka mahukan kebebasan yang bersifat keseronokan. 

Bila mereka meningkat dewasa jalan ini jugalah yang mereka pilih. Mereka kemudiannya berkemungkinan terjebak dengan salah satu atau semua aspek ini, maksiat, dadah, arak, judi dan sebagainya. Mereka terkeluar dari landasan hukum hakam Allah Taala dan mereka melakukannya dengan selamba tanpa rasa bersalah. Inilah jalan yang mereka pilih dan rasakan jalan paling baik. Hati orang sebegini sebenarnya tertutup gelap dan menyebabkan sukar untuk cahaya taufik dan hidayah Allah memasukinya. Pada ketika ini, setiap nasihat dan pengisian yang datang akan disangkal, ditangkis dan diperangi. Mereka percaya mereka berada dalam golongan yang benar dan sebaliknya mereka yang mengikuti Jalan Ketaatan merupakan golongan yang kolot dan bodoh.

Bila meningkat tua, maka lambat laun keadaan akan mengubah pendirian mereka. Masa terbitnya kesedaran itu tak tentu. Ada yang sedar di masa muda remaja ada juga yang lambat setelah mereka tua. Apapun kesedaran ini menyebabkan mereka ingin kembali semula ke Jalan Ketaatan. Dari sini bermulalah langkah pertama perjalanan keluar dari Jalan Pemberontakan ke arah Jalan Ketaatan.

Mereka yang berada dalam Jalan Ketaatan merupakan mereka yang patuh. Patuh kepada ibubapa, majikan, kerajaan dan taat kepada Allah Taala. Mereka bersikap terbuka, pendamai, mudah menerima nasihat juga pelajaran. Jalan ini bukanlah jalan yang seronok bagi seseorang individu tetapi jalan ini ada nikmatnya yang tersembunyi bagi mereka yang memahami dan melaluinya. Dalam jalan ini juga ada musibah yang melanda tetapi ia lebih berbentuk menduga untuk meningkatkan keimanan dan jati diri.

Mereka yang berada dalam kelompok Jalan Pemberontakan selalunya mereka akan memilih kawan-kawan yang berada dalam kelompok yang sama. Mereka akan saling meng”ia”kan antara satu sama lain. 

Satu kisah.

Suatu hari lima sekawan menghisap dadah dan salah seorang kawan mereka mati kerana “overdose”. Peristiwa ini menginsafkan seorang dan mengembalikannya semula ke Jalan Ketaatan tetapi keinsafan yang sama tidak berlaku kepada tiga yang lain. Apapun bila musibah dan dugaan terus melanda setiap ketika dari kiri dan kanan akhirnya ramai akan mengalah juga kerana kita sebagai manusia bukanlah makhluk yang kuat yang dapat menangkis semua dugaan.
 
Untuk keluar dari Jalan Pemberontakan ini, kita kenalah berhijrah dengan membuka hati untuk menerima input dari kawan-kawan dari kelompok Jalan Ketaatan. Input-input keimanan dan keislaman. Ada yang mengambil masa yang lama untuk keluar dan pada masa yang sama ada juga yang lebih singkat dan dapat keluar dengan mudah. Kesedaran demi kesedaran yang timbul dalam hatinya membawanya naik ke tahap kefahaman yang lebih jitu akan aspek kehidupan hinggalah satu hari dia sampai ke destinasi Jalan Ketaatan. Mulai saat itu jalan inilah yang diikutinya dan dari sinilah dia menyampai dan memberikan iktibar kepada mereka yang masih lagi dalam Jalan Pemberontakan agar keluar dan mengikut jejak langkahnya. 

Pasti ada yang membaca blog ini dan mengatakan yang apa yang ditulis ini mengarut dan tak ada makna tetapi bukalah hati analisis kembali, lihat yang tersurat juga yang tersirat kerana ada maksud di dalamnya. Apa yang kita baca semasa berumur 20 tahun membawa makna yang berbeza bila kita membacanya sekali lagi bila kita berumur 30 tahun dan begitulah seterusnya. Semakin kita matang, kita semakin faham makna sesuatu ayat itu dengan lebih mendalam. 

Saya doakan kita semua sentiasa berada dalam Jalan Ketaatan yakni jalan mereka yang berminda akhirat.

Faizal Yusup Al Haj
0166667430
Minda Akhirat
Hidup Kena Cool, Hati kena Mulia...
https://mindaakhirat.blogspot.com/

PS - Sekiranya anda membaca semua 70 bab dalam blog Minda Akhirat ini mengikut tertib dan susunannya saya percaya sesuatu akan berlaku di dalam hati anda dengan izin Allah Taala. Ia akan membawa kebaikan yang banyak dalam hidup anda. Percayalah. Kalau anda tak percaya, bacalah!

PSS - Anda juga boleh menonton semua pengisian ini dalam bentuk video di Instagram Minda_Akhirat. Layari ;

KEKUATAN JASMANI, ROHANI DAN AKAL DALAM MENGHADAPI DUGAAN



MENGHADAPI DUGAAN

Dalam gambarajah di atas seperti yang saya pernah terangkan sebelum ini keseimbangan seorang manusia itu hanya didapati apabila seimbang rohani, jasmani dan akalnya. Saban hari manusia perlukan makanan rohani, makanan jasmani dan makanan akal. Makanan jasmani ialah makan minum, tidur, rehat, bersantai dan sebagainya. Makanan rohani ialah amalan ibadah serta ingatan terhadap kepada Allah Taala dan makanan akal ialah ilmu pengetahuan yang didapati daripada pembacaan dan orang sekeliling. 

Masalahnya dewasa ini, pun manusia lebih suka untuk meningkatkan makanan akal untuk menjadikan diri pandai dan berpengetahuan luas. Bagi mendapatkan Diploma, Ijazah, Master dan PhD. Kemudian usaha untuk meningkatkan keperluan jasmani untuk menjadikan tubuh badan sasa dan bergaya mahupun untuk menjadi seorang yang ramping lagi cantik. Makanan rohani iaitu hubungan dengan Allah SWT ditolak ketepi dan tidak dipedulikan sedangkan elemen rohani adalah elemen paling penting bagi seseorang manusia itu. Kerana rohanilah yang menjaga seluruh kerajaan tubuh badan seseorang insan itu.

Bagi mereka yang berminda dunia ini mereka lemah dalam elemen kerohanian ini maka apabila mereka diuji mereka akan rasa begitu lemah. Mereka tenggelam punca, mata hati menjadi kabur. Mereka tidak tahu bagaimana caranya untuk mencari jalan keluar bagi mengatasi permasalahan atau dugaan yang sedang mereka hadapi itu. Silap-silap mereka mencari jalan keluar yang salah lantas membawa kepada permasalahan yang lebih dalam lagi.

Jasmani atau kesihatan mereka mula merosot. Mereka merasa lesu, lemah dan tidak bermaya dalam menghadapi dugaan. Hingga mereka terpaksa mengambil ubat-ubatan dan dimasukkan ke hospital. Mereka ini mudah berputus asa.

Akal pemikiran mereka juga terganggu dengan dugaan yang dihadapi itu. Mereka ini berfikiran negatif sehinggakan ada yang menjadi paranoia bahkan ada pula yang mengidap stress, kemurungan, anxiety, bipolar disorder dan menghadapi penyakit mental.

Sedangkan bagi yang mereka yang berminda akhirat mereka ini punya rohani yang mantap kerana mereka sentiasa berhubungan dengan Allah. Mereka ini tabah dalam menghadapi apa juga dugaan Allah kerana mereka tahu Allah turunkan dugaan itu tidak lain untuk menguji keimanan mereka kepada Allah. Mereka akan berusaha mencari jalan penyelesaian serta berdoa dan bertawakal kepada Allah dalam apa juga yang mereka lakukan. Mereka tidak sama sekali mengalah apatah lagi berputus asa. Mereka akan menjalankan solat istiharah bagi mendapatkan keputusan yang terbaik dari Allah. Malah sekiranya mereka jatuh bagaimana sekalipun mereka tahu Allah pasti akan menyambut mereka. Mereka tahu Allah pasti akan mengeluarkan mereka dari dugaan itu satu hari nanti.

Oleh itu, dalam hal ini sambungkan apa juga masalah, apa juga tindakan, apa juga yang kita lihat dengan kekuasaan Allah. Tepukan hati dengan ingatan kepada Allah. Bila diduga dengan apa cara sekalipun, walau bagaimana berat bebanannya sekalipun hendaklah kita yakin yang ia datang dari Allah, Dia yang memberi dugaan dan Dia jugalah yang akan memberikan jalan keluar darinya. Dia akan menyediakan jalan keluar dari tempat yang tak dijangka andai kita bertakwa, Dia juga akan mencukupkan andai kita bertawakal kepadaNya. 

Lagipun biar saya ulangi satu ungkapan yang biasa kita dengar iaitu ;

“ Ada hikmah bagi setiap kejadian ”.

Faizal Yusup Al Haj
0166667430
Minda Akhirat
Hidup Kena Cool, Hati kena Mulia...
https://mindaakhirat.blogspot.com/

PS - Sekiranya anda membaca semua 70 bab dalam blog Minda Akhirat ini mengikut tertib dan susunannya saya percaya sesuatu akan berlaku di dalam hati anda dengan izin Allah Taala. Ia akan mambawa kebaikan yang banyak dalam hidup anda. Percayalah. Kalau anda tak percaya, bacalah!

PSS - Anda juga boleh menonton semua pengisian ini dalam bentuk video di Instagram Minda_Akhirat. Layari ;

 

SEMUANYA KERANA ALLAH TAALA

 


MATLAMAT MINDA AKHIRAT

Terdapat perbezaan objektif atau matlamat hidup diantara orang berminda dunia kalau dibandingkan dengan orang berminda akhirat.

Mari kita perhatikan perbezaan kedua-dua objektif ini.

Tujuan utama mereka yang berminda dunia mencari ilmu pengetahuan dan mendapatkan pengisian demi pengisian adalah untuk menjadikan diri lebih berpengetahuan. Dalam dunia yang kita hidup ini Diploma, Ijazah, Ijazah Sarjana dan PhD merupakan tangga-tangga akademik yang boleh kita panjat.

PhD contohnya membawa kepada gelaran doktor dan inilah yang dikejar oleh mereka-mereka yang berminda dunia. Status itu menyebabkan mereka merasakan yang mereka lebih dominan atau lebih pandai dari orang lain. Inilah ukuran yang digunapakai di dunia. Orang pandai disanjung dan orang bodoh dihina. Walhal hakikat sebenar kemuliaan seseorang itu terletak kepada ketakwaanNya kepada Allah Taala dan bukannya pandai atau bodohnya seseorang itu.

Tak kiralah pengisian tersebut boleh menjadikan mereka bersifat terbuka, berpandangan luas, berkemahiran dan sebagainya. Itulah tujuan utama mereka belajar, membaca dan sebagainya.

Dalam hal ini mereka yang berminda akhirat belajar dan mendapatkan pengisian demi pengisian dengan tujuan untuk meningkatkan keimanan, memperbaiki akhlak dan untuk mendekatkan hubungan dengan Allah Taala antara sebab utama kenapa mereka berbuat demikian.

Mereka ini lebih suka kepada pengisian keimanan dan keislaman kalau dibandingkan dengan pengisian keduniaan. Namun demikian ini bukan bermakna yang mereka menolak sama sekali pengisian dunia dan pengisian akademik kerana mereka tahu ini juga penting dalam menjalani kehidupan di dunia ini. Namun begitu ini bukanlah matlamat utama mereka. Begitupun sekiranya mereka belajar ke tahap PhD sekalipun ia dilakukan dengan niat kerana Allah Taala demi untuk menggunakan ilmu-ilmu tersebut bagi tujuan membangunkan ummah dan bukannya bagi tujuan untuk menunjuk, berlagak dan merasakan diri lebih baik dari orang lain.

Seterusnya apakah matlamat utama bagi mereka yang berminda dunia ini? Matlamat utama adalah untuk buat sebanyak duit yang mungkin, untuk mengumpul harta, untuk menjadi terkenal, untuk mendapatkan pangkat, gelaran dan sebagainya. Sebenarnya sebagai seorang manusia bila kita mendapat kuasa kita inginkan kuasa yang lebih banyak lagi.  Bila kita mendapat harta kita inginkan harta yang lebih banyak lagi. Ini kerana nafsu kita tidak pernah puas. Kita akan terus-terusan mengejar semua ini sepanjang kehidupan.

Keadaan ini jauh berbeza dengan orang-orang yang beriman dan  berminda akhirat ini kerana apa yang mereka lakukan, apa yang mereka jalankan tidak lain tidak bukan adalah untuk meningkatkan keimanan, untuk mendapatkan keredaan dari Allah Taala dan juga bermatlamat untuk mendapatkan keberkatan dan apa juga yang mereka jalankan. Menjadi terkenal mendapat pangkat, duit dan harta bukalah matlamat utama bagi mereka.

Inilah perbezaannya. 

Faizal Yusup Al Haj
0166667430
Minda Akhirat
Hidup Kena Cool, Hati kena Mulia...
https://mindaakhirat.blogspot.com/

PS - Sekiranya anda membaca semua 70 bab dalam blog Minda Akhirat ini mengikut tertib dan susunannya saya percaya sesuatu akan berlaku di dalam hati anda dengan izin Allah Taala. Ia akan mambawa kebaikan yang banyak dalam hidup anda. Percayalah. Kalau anda tak percaya, bacalah!

PSS - Anda juga boleh menonton semua pengisian ini dalam bentuk video di Instagram Minda_Akhirat. Layari ;

ALLAH MELIHAT APA YANG KITA BUAT

 



PANDANGAN MINDA AKHIRAT

INSIDE OUT - OUTSIDE IN

Dalam pengisian kali ini saya akan cuba membuat perbandingan antara dua prinsip iaitu prinsip pegangan manusia iaitu inside-out dan outside-in. 

Sedari kecil tanpa kita sedari bagi kebanyakan, kita mempunyai pandangan inside-out iaitu lebih suka melihat sesuatu keadaan dan peristiwa itu dari dalam keluar. Maknanya kita melihat semua perkara yang berlaku di sekeliling kita ada kena mengena dengan hasil usaha diri kita. Kejayaan dalam pelajaran, memiliki harta yang banyak, rumah yang besar, kereta yang mewah, isteri yang cantik, kerja yang baik dan sebagainya berlaku hasil dari titik peluh diri kita sendiri. 

Sekali lagi bagi kebanyakan kita selalu memandang sesuatu itu berpusatkan dari dalam diri kita sendiri dan seterusnya keluar. Kita menjadi kaya kerana kepandaian diri kita mahupun atas usaha kita sendiri, semua harta yang ada di sekeliling kita adalah hak milik kita, kita yang buat itu dan kita yang buat ini. Dalam keadaan ini sepertimana yang diperkatakan tadi sebenarnya kita merupakan orang berminda dunia yang merasakan kitalah punca kepada segala apa yang berlaku di sekeliling kita saban hari.

Pandangan ini berpusatkan AKU atau diri kita sendiri. Ini kerana sejak kita dikurniakan akal fikiran kita merasakan diri kita berkuasa atas itu ini. Kita merasakan kita boleh mencipta itu ini, kita merasakan kita boleh mengubah itu ini tanpa kita sedari kita tak lain hanyalah makhluk yang dicipta Allah Taala. Makhluk yang dijadikan Allah untuk patuh dan taat kepada semua perintahNya dan meninggalkan segala laranganNya. Makhluk yang hanya boleh merancang tetapi ketentuan semuanya terletak di tangan Allah Taala.

Mengetahui hakikat ini kita boleh membentuk prinsip outside-in ( luar ke dalam ) pula ialah dengan memandang dari elemen luar ke dalam diri. Pandangan ini berpusatkan Allah sang Pencipta yang mencipta diri kita yang serba tahu apa sahaja mengenai diri kita di dalam dan di luar.

Outside-in pula merupakan prinsip yang mana semua yang berlaku dalam hidup ini berlaku atas kehendak kuasa yang lebih besar iaitu kuasa Allah S.W.T. Dalam ertikata lain ia merupakan prinsip penyerahan. Islam itu sendiri membawa maksud berserah jadi orang sebegini merupakan orang berminda akhirat yang menyerahkan segalanya pada Allah dan percaya dengan penuh yakin yang semua berlaku baik dan buruk adalah atas kehendak Allah. Apapun penyerahan ini berlaku setelah segala usaha, ikhtiar dan doa telah dijalankan. Bukan hanya berserah buta. Sebagai contoh orang sebegini tak akan mengatakan yang harta benda yang ada di sekelilingnya sebagai haknya tetapi mengatakan yang ia adalah hak mutlak Allah dan ia diamanahkan Allah kepada dirinya. Mereka yakin sekiranya harta itu disalahguna maka dialah yang bakal menerima akibatnya di akhirat kelak.

Dalam contoh yang lain pula, sekiranya dia memiliki sebuah kereta maka dia mahu menggunakan kereta itu untuk tujuan ibadah dengan membawa keluarga, saudara dan sahabat handai ke sana-sini, untuk pergi ke tempat kerja dan tempat ibadah, sanggup meminjamkan kereta tersebut kepada sesiapa sahaja yang memerlukan dan sebagainya. Mereka takut untuk menggunakannya bagi tujuan melakukan maksiat di dalamnya, membawa ke tempat maksiat, melakukan rompakan atau membawa barangan terlarang dan sebagainya. Kadangkala kita akan dapat lihat orang berminda dunia yang menjunjung kereta bagai minyak yang penuh, sanggup membelanjakan duit yang banyak untuk menghias kereta dengan aksesori yang pelbagai. Kemik dan calar yang sedikit boleh menyebabkan kemarahan yang memuncak.

Kalau dia mempunyai tanah pula tanah itu akan diusahakan ke tahap yang maksima kerana takut sekiranya ia tak digunakan maka ini juga terletak dalam penyalahgunaan amanah. Seandainya pula dikurniakan dengan ilmu maka ilmu ini akan digunakan dengan sebaiknya dan disampaikan kepada yang ramai dalam bentuk penyampaian, penulisan dan sebagainya di tahap yang maksimum kerana takut dirinya ditanya di akhirat kelak kenapakah tidak menyampaikan amanah yang telah dikurniakan ke dalam dirinya itu. Begitu jugalah halnya dengan amanah-amanah yang lain. Berlainan dengan orang berminda dunia dalam prinsip Inside-out dia bakal menyalahgunakan ilmu tersebut bagi tujuan untuk menipu, menindas, memikat gadis, mencari nama dan sebagainya. Sekali lagi bukan untuk tujuan ibadah tetapi untuk tujuan maksiat atau amalan yang salah.

Lebih halus lagi dia dikurniakan dengan mulut, lidah dan suara maka akan digunakannya dengan bercakap perkara yang baik, hikmah, zikir, dakwah dan yang benar kerana rasa bersyukur akan nikmat suara yang dikurniakan Allah padanya. Makhluk mulut, lidah dan suara itu pasti akan gembira sekiranya ia digunakan untuk kebaikan ibadah oleh pemiliknya malangnya kita selalu menyalahgunakanya untuk mengeluarkan cetusan-cetusan mencaci, memaki hamun, memarahi, mengutuk, mengkeji, mengadu domba dan sebagainya. Saya pernah bertemu dengan seseorang yang suka mencarut dan perkataan F**K tak pernah lekang dari mulutnya. Bukankah ini merupakan penyalahgunaan mulut yang nyata? Fikir-fikirkanlah.

Gambarajah di bawah ini menunjukkan perbezaan antara kedua-dua prinsip ini;

                              INSIDE OUT                    OUTSIDE IN
BANTUAN              Mengharap balasan makhluk     Mengharap reda Allah
HARTA              Milik sendiri                             Amanah Allah
SIFAT              Sombong                            Rendah diri
KEJAYAAN              Atas usaha sendiri                    Kurniaan Allah

Jadi anda memegang prinsip yang mana satu?

Mereka yang memegang prinsip “Inside-out” adalah orang berminda dunia dan hanya baik untuk dijadikan kawan. “Kawan makan kawan” adalah ungkapan yang biasa kita dengar. Mereka melakukan sesuatu dengan agenda dan motif yang tertentu dengan harapan mendapat ganjaran baik dalam bentuk duit, kontrak, nama, kuasa dan sebagainya. Mereka merupakan orang yang sombong lagi ego kerana mereka merasakan yang mereka serba kuat, berkuasa dan tahu banyak perkara. Mereka mempunyai sifat pentingkan diri sendiri, penuh syak wasangka buruk, fitnah, menipu, tidak telus dan banyak berahsia. Mereka masih bergantung kepada dunia dan segala isi kandungannya yang pada hakikatnya hanya bersifat sementara.

Sepertimana sifat dunia yang sementara selalunya perhubungan dengan kawan yang berasaskan dunia ini tak kekal lama dan perselisihan atau pertembungan boleh berlaku pada bila-bila masa. Selalunya perhubungan sahabat yang bersifat akhirat yang bakal kekal hingga ke akhir hayat. Konsep ini boleh juga diguna pakai dalam perhubungan suami isteri. Menurut kajian, 30% daripada penceraian berlaku atas sebab masalah kewangan. Dalam ertikata lain penceraian berlaku kerana perhubungan itu berasaskan duit ( makhluk ) yang tak kekal sifatnya.

Ketahuilah mereka yang memegang prinsip yang kedua iaitu prinsip Outside-in merupakan seorang sahabat dan sahabat adalah seseorang yang boleh dipercayai dan akan sentiasa bersedia berkhidmat tanpa meminta apa-apa balasan. Ini kerana mereka hanya mahukan ganjaran dari Allah, ganjaran dunia tak penting bagi mereka. Mereka yang dalam kategori ini suka berkhidmat dan melakukan ibadah. Mereka tidak punya rasa syak wasangka, tidak melakukan fitnah, bercakap benar, mempunyai sifat yang telus dan terbuka dan sebagainya. Inilah perbezaannya.

Perbezaan ini membolehkan anda menilai semula semua orang baik ibu bapa, adik beradik, saudara mara, kawan, rakan dan taulan yang ada di sekeliling anda samaada mereka itu bersifat kawan atau sahabat. 

Kesimpulannya berkawan kerana dunia, makhluk dan segala isinya tak akan kekal tetapi bersahabat kerana akhirat atas tiket Allah Taala akan kekal sepanjang hayat. InshaAllah.

Konsep Inside Out dan Outside In ini juga seharusnya dipraktikkan dalam hubungan sesama manusia. 

Mereka yang Inside Out dan berminda dunia ini merupakan orang yang self centered iaitu seorang yang pentingkan diri sendiri. Kalau bercerita mereka hanya bercerita tentang perkara-perkara yang khusus terhadap kehidupan diri mereka sendiri. Mereka bercerita tentang kerja atau perniagaan yang mereka jalankan, prinsip yang mereka pegang, peristiwa yang berlaku di dalam kehidupan mereka, kisah anak cucu cicit mereka dan sebagainya. Mereka sentiasa merasakan diri mereka hebat dan orang lain perlu mengikut cara mereka.

Mereka lebih suka meminta dan menerima juga lebih cenderung untuk memastikan kepentingan diri dan keluarga mereka terpelihara. Kalau ada dua biji mangga di tangan mereka, maka mereka akan memberikan mangga yang kurang baik kepada sahabatnya. Mangga yang elok akan disimpan untuk diri mereka sendiri.

Ini berbeza dengan orang yang memegang prinsip Outside In iaitu orang yang berminda akhirat. Kalau ada dua biji mangga, mereka akan berikan mangga yang terbaik kepada sahabatnya. Itu bezanya. mereka ini punya prinsip “be in other people shoes”, ini bermakna mereka prihatin terhadap kemaslahatan kawan, sahabat atau saudara yang berada di depan mereka. Mereka ini punya sifat ehsan. Mereka lebih suka memberi. Mereka sayang orang lain seperti mereka sayang diri mereka sendiri.

Nak kenal perbezaan antara dua minda atau prinsip ini mudah sahaja. Bila berbicara tu cuba perhatikan adakah mereka sahaja yang bercakap bercerita tentang diri mereka atau adakah mereka seorang yang bertanya kepada diri kita tentang keadaan diri kita. Adakah penceritaan itu 90% berkisar tentang diri mereka atau adakah dalam penceritaan itu pembahagiannya lebih kurang 50- 50?

Fikir-fikirkanlah…


Faizal Yusup Al Haj
0166667430
Minda Akhirat
Hidup Kena Cool, Hati kena Mulia...
https://mindaakhirat.blogspot.com/

PS - Sekiranya anda membaca semua 70 bab dalam blog Minda Akhirat ini mengikut tertib dan susunannya saya percaya sesuatu akan berlaku di dalam hati anda dengan izin Allah Taala. Ia akan membawa kebaikan yang banyak dalam hidup anda. Percayalah. Kalau anda tak percaya, bacalah!

PSS - Anda juga boleh menonton semua pengisian ini dalam bentuk video di Instagram Minda_Akhirat. Layari ;

MEMBERI, MENERIMA, MENGAMBIL, MENCURI

 



MINDA AKHIRAT – MEMBERI DAN MENERIMA

Dalam hal ini memberi adalah lebih baik daripada meminta, meminta lebih baik daripada mengambil dan mengambil lebih baik daripada mencuri. Minda akhirat berpegang kepada prinsip yang sedekah atau memberi itu akan membawa kepada kebaikan dan rezeki yang lebih banyak lagi sedangkan minda dunia merasakan yang meminta, mengambil malah dalam keadaan yang ekstrem mencuri boleh menjadikan mereka lebih kaya dan berharta. Bak kata orang Barat “Get rich or die trying!”. Dikala minda akhirat  membawa kepada sifat pemurah, minda dunia pula membawa kepada sifat kedekut. Minda akhirat tahu dan faham akan pengisian yang sesungguhnya Allah bersifat Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani.

Minda akhirat mengelakkan dari mengambil yang bukan hak, apatah lagi mencuri hak orang lain. Kalau terjumpa dengan duit dia tepi jalan mereka akan mencari siapakah empunya duit tersebut dan sekiranya tidak bertemu maka duit itu akan dimasukkan ke dalam tabung masjid. Mereka tidak sama sekali mahu mengambilnya kerana mereka tahu yang duit itu bukan hak mereka tak kiralah sedikit mahupun banyak. Sedangkan bagi yang berminda dunia akan merasakan berjumpa dengan duit itu merupakan satu keuntungan yang besar kepada mereka. Lantas mereka mengatakan itu satu rezeki yang menjadi hak mereka yang boleh dibelanjakan dengan sesuka hati. Bak kata mat saleh “Finder’s keepers” katanya.

Minda Akhirat akan hanya meminta apabila dalam keadaan terdesak atau dalam keadaan darurat yang menyebabkan mereka terpaksa berbuat demikian.  Ini kerana mereka tahu tangan yang memberi adalah baik dari tangan yang meminta atau tangan yang di atas adalah lebih baik dari tangan yang berada di bawah. Begitupun mereka ini akan cuba sedaya upaya untuk membayar kembali hutang yang mereka minta itu kerana mereka tahu hutang itu amat berat hukumnya. Kepada yang dipinta pula mereka akan menghulurkan bantuan kerana tahu yang si peminta telah menurunkan airmuka maruahnya sehingga terpaksa meminta.

Inilah bezanya.  

Faizal Yusup Al Haj
0166667430
Minda Akhirat
Hidup Kena Cool, Hati kena Mulia...
https://mindaakhirat.blogspot.com/

PS - Sekiranya anda membaca semua 70 bab dalam blog Minda Akhirat ini mengikut tertib dan susunannya saya percaya sesuatu akan berlaku di dalam hati anda dengan izin Allah Taala. Ia akan membawa kebaikan yang banyak dalam hidup anda. Percayalah. Kalau anda tak percaya, bacalah!

PSS - Anda juga boleh menonton semua pengisian ini dalam bentuk video di Instagram Minda_Akhirat. Layari ;