Friday, February 4, 2022

MENCARI KETENANGAN DAN KEBAHAGIAAN

 



Gambarajah di atas ini juga menunjukkan perbezaan antara orang berminda dunia dan orang berminda akhirat ini. Orang berminda dunia akan mempunyai pelbagai masalah dan hidupnya berserabut penuh dengan naik dan turun sepanjang kehidupan. Bila ditimpa musibah selalunya mereka akan mengambil jalan menentang, marah, kecewa, geram, menyalahkan orang lain dan sebagainya sedangkan dugaan seakan tak akan berhenti dalam kehidupan mereka. Turun naik emosinya begitu jelas dan kerap.

Mereka yang beriman kepada Allah iaitu mereka yang berminda akhirat itu pula akan selalu berada dalam keadaan tenang dalam gembira mahupun duka walau berat mana sekalipun dugaan yang sedang mereka hadapi. Dalam hal ini bila berjaya mereka tidak terlalu suka dan bila kecewa mereka tidak terlalu berduka. Mereka ini “flatliner”. Bila orang berminda akhirat ini dijodohkan dengan orang berminda dunia maka dia akan dapat melihat keresahan dan naik turun emosi orang berminda dunia dan selalunya mereka ini akan cuba membantu. Kalau dilihat dari sudut pandangan orang berminda dunia pula hati mereka kabur mahupun tertutup hinggakan mereka tak dapat melihat perbezaan ini. Mereka menyangkakan yang semua orang sama. Mereka menyangka orang yang bahagia dengan keimanan itu hipokrit seperti mereka. Hanya berlakon bahagia di khalayak ramai sepertimana yang mereka lakukan seakan buah mangga cantik tetapi busuk isinya namun sebenarnya mereka salah kerana orang berminda akhirat memang berada dalam keadaan yang bahagia di luar mahupun di dalam. Mangga yang cantik kulit juga isinya. Inilah hakikatnya.

Hakikatnya mereka yang tinggi imannya akan sentiasa berusaha untuk melakukan perbuatan-perbuatan yang bersifat wajib dan sunat yang disukai Allah dan bukan sebaliknya melakukan perbuatan yang sia-sia tidak berfaedah dalam rangkuman makruh dan haram. Mereka juga selalu dalam usaha untuk membaiki keimanan mereka ke tahap yang lebih baik dengan menjalankan usaha meningkatkan ilmu dan amal yang bertujuan untuk mendekatkan diri dengan Allah Taala dengan harapan Allah akan meningkatkan keimanan mereka.

Cuba fikirkan apakah peningkatan yang cuba kita lakukan dalam kehidupan dewasa ini? Cuba mencari jalan untuk menjadi kaya? Berusaha untuk menjadi ternama? Cuba mendapatkan ilmu akademik di peringkat yang tertinggi? Atau sedang dalam usaha meningkatkan keimanan kepada Allah Taala dengan mempelajari ilmu ugama dan meningkatkan amalan kepada Yang Esa. 

Fikir-fikirkanlah. 

Seperkara lagi sekiranya anda beremosi bila membaca pengisian ini maka ia jelas menunjukkan dimana kedudukan anda, ini kerana orang berminda akhirat akan sentiasa tenang dan reda dengan susunan Allah dalam kehidupannya. Lagipun pengisian, peringatan, taufik dan hidayah hanya ditujukan kepada orang yang beriman dan orang yang terbuka pintu hatinya. Ini jelas dalam sejarah dimana teguran Allah terhadap syaitan tidak dipedulikannya, teguran Nabi Muhammad S.A.W. terhadap Abu Jahal dan Abu Lahab juga tak dipedulikan mereka apatah lagi pengisian-pengisian ini.

Atas sebab inilah sekali lagi saya tekankan orang berminda akhirat akan faham apa yang orang berminda dunia lakukan tetapi orang berminda dunia takkan faham apa yang dilakukan orang berminda akhirat.

Perbezaan di antara orang berminda dunia dan orang berminda akhirat ini sebenarnya boleh menerangkan pelbagai persoalan dalam kehidupan. Contohnya dari segi objektif kehidupan seseorang itu. Orang yang memenuhkan diri mereka dengan pengisian dunia akan menjadikan apa juga elemen keduniaan ini sebagai objektif dirinya. Mereka berusaha sedaya upaya untuk menjadi kaya raya, untuk berjaya dalam bidang akademik demi untuk mendapat pengiktirafan, untuk menjadi terkenal, untuk mendapat pangkat dan sebagainya. Semua ini sebenarnya berada dalam rangkuman elemen keduniaan yang bakal dilupakan oleh generasi yang mendatang bila mereka mati kelak.

Ada orang yang begitu mementingkan pencapaian akademik yang tertinggi lantas meletakkannya sebagai objektif kehidupannya. Mereka sanggup berkorban apa sahaja demi untuk mendapatkan pencapaian yang tertinggi. Kemudian bila dikupas tujuan sebenar mereka adalah agar mereka mendapat pulangan kewangan, pengiktirafan, pangkat, untuk merasakan diri lebih berilmu dari orang lain dan sebagainya. Tak lebih dari itu.

Berbeza dengan orang berminda akhirat pula, semua ini bukanlah objektif utama diri mereka. Objektif utama mereka ialah untuk melakukan ibadah dan meningkatkan keimanan kepada Allah Taala setiap masa dan ketika dengan harapan kehidupan mereka diberkati di dunia dan di akhirat, dengan harapan mereka dapat ke syurga kelak. Bagi mereka walau dimana kedudukan mereka sama ada dalam keadaan miskin mahupun kaya, berpangkat atau tidak tidak menjadi masalah bagi mereka kerana apa yang penting ialah mereka beriman kepada Allah. Mereka mengambil iktibar dari para Nabi yang terdahulu contohnya Nabi Sulaiman A.S. manusia yang paling kaya di muka bumi, Nabi Isa A.S. yang dipenjarakan, Nabi Ayub A.S. yang disakitkan buat masa yang panjang, Nabi Muhammad S.A.W. yang bersifat hamba, kesemua mereka beriman kepada Allah walau apapun juga kedudukannya.

Kesimpulan dalam topik ini ialah kalau anda ada sifat tenang di dalam hati maka anda tak ada sifat resah gelisah, tension, stress, bosan, tertekan dan yang sewaktu dengannya.

Faizal Yusup Al Haj
0166667430
Minda Akhirat
Hidup Kena Cool, Hati kena Mulia...

PS - Sekiranya anda membaca semua 70 bab dalam blog Minda Akhirat ini mengikut tertib dan susunannya saya percaya sesuatu akan berlaku di dalam hati anda dengan izin Allah Taala. Ia akan membawa kebaikan yang banyak dalam hidup anda. Percayalah. Kalau anda tak percaya, bacalah!

PSS - Anda juga boleh menonton semua pengisian ini dalam bentuk video di Instagram Minda_Akhirat. Layari ;


MENCARI PRINSIP PEGANGAN YANG BENAR

 



PERBEZAAN ORANG MINDA AKHIRAT DENGAN ORANG MINDA DUNIA

Orang yang berminda akhirat ini akan mempunyai prinsip dan pegangan yang sama. Katalah kita cerita tentang prinsip memaafkan. Maka kedua-dua mereka mempunyai sifat pemaaf kerana mereka tahu Nabi SAW mengampunkan umat dan Allah Taala Maha Pengampun. Kedua-dua mereka tenang bila diuji dan reda dengan ujian. Mereka ini ikut hukum Allah Taala.

Ia berbeza dengan orang beminda dunia kerana mereka punya prisip pegangan yang berbeza. Tanya lima orang, lima-lima akan berikan pendapat yang berbeza. Dalam prinsip memaafkan sebagai contoh, seorang maafkan tapi tak boleh lupakan, seorang lagi kalau nak maafkan kena melutut padanya, seorang lagi kalau nak maaf kena bagi pampasan, seorang lagi takkan maafkan sampai mati. Mereka ini ikut hukum logik akal fikiran sahaja. 

Ilustrasi di bawah menerangkan akan perbezaan prinsip ini secara lebih lanjut.




Inilah perbezaannya. Jadi dalam hal ini perhubungan antara dua insan yang kedua-duanya punya minda akhirat akan berjalan dengan baik, dengan penuh kasih sayang dan prasangka baik. Semua yang dilakukan tak lain kerana Allah Taala. Ia berlainan dengan kelompok mereka dalam minda dunia ini kerana mereka panas dan mudah bertelingkah dan berantakan walaupun dalam hal perkara yang kecil. Ini kerana terdapat perbezaan prinsip dan pegangan di hati mereka.    

Faizal Yusup Al Haj
0166667430
Minda Akhirat
Hidup Kena Cool, Hati kena Mulia...
https://mindaakhirat.blogspot.com/

PS - Sekiranya anda membaca semua 70 bab dalam blog Minda Akhirat ini mengikut tertib dan susunannya saya percaya sesuatu akan berlaku di dalam hati anda dengan izin Allah Taala. Ia akan membawa kebaikan yang banyak dalam hidup anda. Percayalah. Kalau anda tak percaya, bacalah!

PSS - Anda juga boleh menonton semua pengisian ini dalam bentuk video di Instagram Minda_Akhirat. Layari ;

 

BERCAKAP BENAR DAN MENEPATI JANJI

 



Perbezaan seterusnya dalam paparan ini ialah orang yang berminda  akhirat,  lurus orangnya. Lurus dan mudah kehidupannya. Mereka memegang tali Allah, bila bercakap mereka bercakap benar, bila berjanji mereka tepati, bila diberi amanah mereka bertanggungjawab. Mereka ini adalah orang-orang yang mudah dijangka. Mereka ini orang yang bersih hatinya. Ini kerana mereka mengikut hukum hakam Allah, mengikut syariat dan tak lari darinya. Kalau kita mengenali mereka kita tahu mereka adalah orang yang boleh diharap dan dipercayai. Orang seperti ini elok dijadikan sahabat dunia dan akhirat kerana mereka sentiasa sudi membantu anda dalam susah dan senang.

Berbeza dengan berminda dunia, mereka ini penuh dengan tipu daya, penuh dengan auta dan temberang, penuh dengan manipulasi. Hendak menyampaikan sesuatu perkarapun penuh rahsia, sorok sana sorok sini, pusing sana pusing sini. Orang seperti ini sebenarnya elok jadi peguambela kerana mereka pandai pusing cerita umpama ular hinggakan orang yang mengikut kata-kata mereka itu ketinggalan dan tenggelam punca. Kalau mereka meniaga mereka juga penuh dengan alasan dan tipu daya.  Bercakap benar dan lurus adalah perkara yang terakhir di dalam minda mereka. Kehidupan mereka juga bersimpang siur dan bersimpul-simpul. Pada saya kalau anda bertemu dengan orang yang sebegini elok jauhkan sahaja kerana mereka ini akan hanya menyusahkan anda.

Dalam hal ini sekiranya anda seorang yang lurus, benar dan menepati janji maka pastinya anda bukan seorang yang penipu, kaki memanipulasi dan sering memungkiri janji.
 
Faizal Yusup Al Haj
0166667430
Minda Akhirat
Hidup Kena Cool, Hati kena Mulia...
https://mindaakhirat.blogspot.com/

PS - Sekiranya anda membaca semua 70 bab dalam blog Minda Akhirat ini mengikut tertib dan susunannya saya percaya sesuatu akan berlaku di dalam hati anda dengan izin Allah Taala. Ia akan membawa kebaikan yang banyak dalam hidup anda. Percayalah. Kalau anda tak percaya, bacalah!

PSS - Anda juga boleh menonton semua pengisian ini dalam bentuk video di Instagram Minda_Akhirat. Layari ;

 

IKUT HUKUM HAKAM DAN SYARIAT

 



UNDANG UNDANG DUNIA DAN AKHIRAT

Seterusnya sebagai sambungan kepada bab pengisian itu tadi, perbezaan seseorang yang berminda akhirat dengan mereka yang berminda dunia boleh dilihat dari segi kepatuhannya kepada undang-undang. 

Sebagai seorang muslim kita tertakluk kepada dua undang-undang iaitu undang-undang dunia dan undang-undang akhirat.

Insan berminda akhirat punya hati yang terbuka lantas mudah menerima ilmu dan merupakan seorang yang patuh pada Allah dan taat kepada kedua orang tuanya dan pada masa yang sama mematuhi undang-undang baik undang-undang dunia mahupun undang-undang akhirat sepertimana yang saya gambarkan dalam paparan di atas.

Mereka yang mengikut undang-undang ini seakan berada dalam satu landasan dan mereka tidak terkeluar dari landasan tersebut. Setiap undang-undang yang memasuki diri mereka akan mereka patuhi. Mereka akan selalu mengikut perintah, kalau disuruh buat kerja rumah akan mereka lakukan, kalau lampu isyarat merah mereka akan berhenti dan kalau ia hijau mereka akan jalan. Kereta mereka lengkap dengan cukai jalan dan insurans serta berada dalam keadaan baik, mereka juga punya lesen memandu yang masih hidup. 

Bila diterapkan dengan undang-undang akhirat juga mereka akan patuh. Kalau mereka tahu mereka wajib solat lima waktu maka itulah yang akan mereka lakukan, makan dengan tangan kanan, tahu dan patuh kepada hukum hakam, halal dan haram, memotong kuku hari Khamis dan Jumaat, memakai selipar dan menutup kepala bila masuk tandas menunaikan hajat dan sebagainya. Selagi boleh mereka mahu berada dalam jalan yang lurus dan lancar.

Apapun antara undang-undang dunia dan akhirat, undang-undang akhirat adalah jauh lebih penting. Pelanggaran undang-undang dunia kita akan kena denda, kompaun dan penjara namun melanggar undang-undang akhirat silap-silap ke nerakalah jawabnya.

Mari kita lihat pula bagaimana keadaan mereka yang berminda dunia, mereka ini suka memberontak dan gemar melanggar undang-undang. Saya gambarkan mereka sebegini. 

Bagi saya mereka ini mengikut undang-undang sendiri. Mereka seakan roh yang bebas, bebas melakukan apa sahaja tanpa mengira landasan undang-undang. Mereka hanya menurut undang-undang kerana mereka dipaksa menurut. Bila ibubapa memaksa mereka ke sekolah kerana itulah norma kehidupan semua murid, mereka ke sekolah tetapi mereka ke sekolah bukan untuk belajar tetapi untuk bermain dan menghabiskan masa.

Mereka tak faham kenapa mereka perlu ke sekolah. Norma dan nilai kehidupan yang dipegang umum tidak mereka fahami. Mereka hanya ingin buat apa yang mereka ingin lakukan tanpa memikirkan akibatnya terhadap orang lain di sekeliling mereka. Mereka pentingkan diri sendiri, mereka mahukan perhatian dari orang lain terhadap diri mereka dan mereka merasakan yang mereka selalu betul dan semua yang ada di sekeliling adalah salah. Dalam diri mereka, mereka selalu akan memberontak, sering tidak berpuas hati apatah lagi  bersyukur dengan apa yang mereka ada. 

Sebenarnya undang-undang yang mereka ikuti adalah undang-undang yang mereka cipta sendiri dan ini menyebabkan tindakan mereka ini sukar diramal.

Kalau dahulu zaman datuk nenek moyang kita mereka yang sebegini dinamakan degil dan tak dengar kata maka mereka akan dihukum dengan hukuman yang berat-berat. Ada yang dirotan, dibentak, dipukul, disebat, ada pula yang diikat di sebatang pokok dan diletakkan kerengga di seluruh badan mereka, ada yang dikurung dan sebagainya dengan harapan mereka kembali ke dalam landasan kepatuhan. Di zaman ini keadaan tak jauh bezanya mereka yang sebegini akan tetap juga dihukum kerana dikatakan degil dan memberontak. 

Kesudahannya ada yang kembali ke pangkal jalan dan menjadi orang patuh bila mereka matang malangnya ada juga yang tidak.

Para saintis pula mengatakan yang mereka ini menghidap penyakit autism mahupun penyakit mental dan ia mungkin benar tetapi pada saya ini semua bergantung kepada keterbukaan pintu hati yang dikurniakan Allah kepada seseorang itu. 

Kalau memandu kereta mereka boleh memandu tanpa lesen, tanpa insuran dan cukai jalan. Mereka melanggar lampu isyarat merah dan memandu dengan laju. Masalahnya sebagai seorang Islam, kalau kita boleh melanggar undang-undang dunia maka kemungkinan untuk kita melanggar undang-undang akhirat sangatlah tinggi. 

Mereka yang selalu melanggar undang-undang dunia selalunya mempunyai kecenderungan untuk melanggar undang-undang akhirat sepertimana yang digambarkan dalam gambarajah tadi. Ponteng solat, ponteng puasa, makan yang haram, maksiat, zina, mencuri, mencederakan orang lain, minum arak, berjudi, mengambil rasuah dan sebagainya. 

Inilah yang terjadi di Barat. Mereka hanya menggunakan undang-undang dunia dan tak punya undang-undang akhirat. Saya pernah menerangkan tentang konsep benang bersimpul dalam buku yang terdahulu. Ia menghuraikan keburukan yang dilakukan oleh ibubapa akan menjadi benang yang bersimpul dan diturunkan pula kepada anak-anaknya dan begitulah seterusnya. Lama kelamaan benang itu akan terus bersimpul dan semakin besar dan berserabut. Ia lama-kelamaan bakal menular dalam masyarakat. Inilah sebabnya masalah gejala sosial di negara Barat begitu teruk dan sukar untuk diselesaikan sepertimana yang kita semua ketahui.
 
Contoh terawal ialah salah satu nilai Barat bayi yang dilahirkan kebiasaannya akan diberikan susu tepung yang merupakan susu lembu. Bayi yang tidak diberikan susu ibu dan digantikan dengan susu lembu bakal menjadi anak yang degil sepertimana anak seekor lembu. Kita mungkin punya pelbagai alasan kenapa kita memberikan bayi kita susu tepung namun tanpa kita sedari ia ada kesan kepada tumbesaran anak itu. Sebabnya mudah. Kita tidak mengikut fitrah kehidupan. Susu lembu untuk anak lembu dan susu ibu untuk bayi.

Bermula dari sini pelbagai gejala sosial mula menular dalam ketamadunan mereka. Seks bebas tanpa had bermula semenjak usia muda, seks dengan kaum sejenis, seks dengan binatang, seks kejam, sifat kurang ajar, melawan ibubapa, gangsterism, melanggar undang-undang, memuja hantu, roh, dewa dan sebagainya. Inilah juga yang bakal berlaku dalam masyarakat kita sekiranya kita percaya dan meniru nilai kehidupan mereka. Kita bakal menjadi masyarakat dan bangsa yang berserabut penuh dengan permasalahan sepertimana  masyarakat sekular yang lain. 

Namun demikian ini semua adalah pemerhatian dari kacamata saya semata-mata dan saya yakin ada yang tidak bersetuju dengan huraian saya ini, apa yang boleh saya katakan tidak mengapa itu hak anda tetapi saya yakin satu hari nanti anda akan memahaminya.

Sebenarnya hanya ugama Islam ugama yang diredai Allah Taala dan yang paling sesuai untuk semua manusia. Ia merangkumi semua aspek kehidupan manusia dan menjadikan manusia itu berakhlak mulia. Kedatangan Rasullullah S.A.W. juga bertujuan untuk memperbaiki akhlak semua manusia. 

Persoalannya anda tergolong dalam golongan yang mana satu? 

Ketahuilah, orang yang beriman pada Allah akan takut untuk melanggar undang-undang namun bagi yang tidak beriman semua ini tak menjadi masalah bagi mereka. Mereka bebas melakukan apa sahaja walaupun sedar yang perbuatan itu membawa kepada kerosakan. 

Oleh yang demikian, mengetahui akan hakikat ini, kepada mereka yang mempunyai anak yang sebegini berusahalah dengan menyampaikan pengisian keimanan kepada mereka, berikhtiar, bertawakal dan berdoa. Kerana doa ibu amat berkesan untuk anaknya. Marilah kita sama-sama berdoa semoga Allah membuka pintu hati kita dengan seluas-luasnya. Sekiranya semua kita berbuat demikian mungkin kita bakal punya keluarga, kejiranan, masyarakat, nusa dan bangsa yang berakhlak mulia lantas diberkati Allah Taala. InshaAllah.

Faizal Yusup Al Haj
0166667430
Minda Akhirat
Hidup Kena Cool, Hati kena Mulia...
https://mindaakhirat.blogspot.com/

PS - Sekiranya anda membaca semua 70 bab dalam blog Minda Akhirat ini mengikut tertib dan susunannya saya percaya sesuatu akan berlaku di dalam hati anda dengan izin Allah Taala. Ia akan membawa kebaikan yang banyak dalam hidup anda. Percayalah. Kalau anda tak percaya, bacalah!

PSS - Anda juga boleh menonton semua pengisian ini dalam bentuk video di Instagram Minda_Akhirat. Layari ;

 

HIDUP KENA BERMATA LEBAH

 


Mereka yang berminda akhirat ini bermata lebah. Kerana lebah adalah satu serangga yang matanya fokus kepada pencarian bunga-bunga dengan tujuan untuk mendapatkan madu. Lebah ini permata positif kerana hanya memandang kepada bunga-bungaan yang bewarna warni dan tidak langsung memandang kepada sampah sarap. Ia tidak seperti mata lalat yang tidak memandang kepada madu yang manis itu tetapi lebih memandang kepada kekotoran dan sampah sarap. Lebah yang dicampak ke dalam tong besar yang penuh dengan sampah sekalipun tetap akan cuba mencari bunga di kalangan sampah. Lalat yang dicampak ke dalam sebuah taman yang penuh dengan bunga-bungaan tetap akan cuba mencari sampah.
 
Dalam hal ini apa yang cuba saya sampaikan ialah kita hendaklah bermata lebah iaitu memandang kepada perkara-perkara yang positif. Fokus kepada perkara yang membawa manfaat dalam apa juga yang kita lihat. Contohnya kalau kita pergi ke sebuah restoran kita pandang kepada apa yang baik tentang restoran tersebut dan bukannya fokus kepada apa yang tidak baik yang ada di dalam restoran tersebut.

Bagi mereka yang bermata lebah ini mereka sebenarnya berminda akhirat, mereka sentiasa bersangka baik dalam setiap kejadian dan peristiwa. Ini kerana mereka percaya yang setiap kejadian dan peristiwa itu berlaku atas kehendak dan ketentuan Allah Taala. Jadi mereka tahu yang setiap kejadian dan peristiwa itu yang berlaku terhadap dirinya yang datang daripada Allah itu adalah yang terbaik buatnya. Tak kiralah samaada ia berupa kejayaan atau perkara-perkara yang baik atau sebaliknya sekiranya ia merupakan kegagalan atau perkara-perkara yang tidak baik. Mereka reda dan percaya kepada Qada dan Qadar Allah sepenuhnya. Yang negatif pun pada kacamata mereka positif apatah lagi yang positif.

Berbeza dengan mereka yang berminda dunia mereka bermata lalat yang fokus kepada perkara-perkara yang negatif, fokus kepada mencari kesalahan dan kesilapan. Dalam hal ini semua benda boleh jadi salah kepada mereka, Tuhan salah, pemimpin salah, kerajaan salah, majikan salah, kawan-kawan salah, ibu bapa salah, guru-guru salah, dalam ertikata lain tidak ada satu pun yang betul. 
Mungkin mereka sahaja yang betul kot?

Lebah ini adalah makhluk yang memberi manfaat dalam bentuk madu untuk manusia. Madu pula merupakan salah satu makanan yang paling sihat dan boleh memberikan antibodi yang kuat bagi menghalang penyakit lantas memberikan kita kesihatan yang baik dengan izin Allah sedangkan lalat pula diketahui membawa kuman dan kekotoran yang mana boleh menyebabkan kemudaratan kepada kita manusia. 

Lalat kita halau tapi lebah ada orang yang membelanya kerana mereka ingin mendapatkan madunya. Pernah ke anda nampak orang bela lalat?

Jom kita pasang mata lebah dan pandang kepada perkara yang baik sahaja!

Faizal Yusup Al Haj
0166667430
Minda Akhirat
Hidup Kena Cool, Hati kena Mulia...
https://mindaakhirat.blogspot.com/

PS - Sekiranya anda membaca semua 70 bab dalam blog Minda Akhirat ini mengikut tertib dan susunannya saya percaya sesuatu akan berlaku di dalam hati anda dengan izin Allah Taala. Ia akan membawa kebaikan yang banyak dalam hidup anda. Percayalah. Kalau anda tak percaya, bacalah!

PSS - Anda juga boleh menonton semua pengisian ini dalam bentuk video di Instagram Minda_Akhirat. Layari ;

MEMELIHARA SILATURRAHIM

 



Huraian dari paparan ini pula ialah mereka yang berminda akhirat gemar menjalankan hubungan sesama manusia. Suka bersilaturrahim. Mereka bersatu dan suka berjemaah dalam menjalankan apa-apa juga aktiviti. Kita juga tahu yang solat berjemaah di masjid dan surau membawa ganjaran 27 kali ganda dari solat berseorang di rumah. Bersatu kita teguh bercerai kita roboh. Mereka ini berpegang kepada perumpamaan bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat. 

Tidak seperti minda dunia yang bersifat individualistik, mementingkan diri sendiri, tak pedulikan orang lain juga anti sosial. Seringkali mereka  bersangka buruk terhadap orang lain. Bermata lalat dan suka mencari kesalahan orang lain. Akhirnya mereka kesepian, mereka tak punya kawan dan sahabat. Keseorangan. 

Namun dewasa ini kita dapati yang kesatuan telah berpecah belah.  Dalam negara ini sekalipun bangsa Melayu Islam berpecah belah dari segi pegangan ideologi dan pegangan politiknya. Berpecah belah  dari segi status, kedudukan dan sebagainya. Kita saling tak tumpah seperti binatang-binatang yang berpuak-puak, harimau dengan  harimau,  putih gajah dengan gajah, zirafah dengan zirafah, buaya dengan buaya dan sebagainya. Walhal kita makhluk manusia yang dikurniakan akal fikiran, kita bukan binatang. Cuba perhatikan kanak-kanak kecil di sekolah tadika. Bila bertemu dengan kawannya, mereka tidak kenal warna kulit, mereka tidak kenal pandai atau tidak, mereka tidak kenal kaya atau miskin namun mereka berkawan, bergaul dan bersilaturahim dengan gembira. Mungkin lebih elok kita ini dibiarkan Allah tetap menjadi anak kecil sahaja tak perlu membesar menjadi dewasa, tatkala kita dikurniakan akal dan ilmu pengetahuan secara tiba-tiba kita berubah dan merasakan diri kita lebih hebat,  merasakan yang kita perlu berpuak-puak dan sebagainya. 

Nak ucapkan salam kepada saudara seugamapun mulut kita terkunci apatah lagi nak diajak berbual. 

Biarpun kita berbeza dari segi rupa, pendidikan, usia, status, hobi, sifat, latar belakang, kedewasaan, profesion, lingkungan pemikiran, ideologi, politik, pegangan dan sebagainya, takperlulah kita bergaduh dan bertelagah. Cari persamaan dan bukan perbezaan. Learn to agree to disagree. Hormati prinsip pegangan serta keputusan orang lain, cari jalan tengah dan sebagainya. Semua ini bertujuan untuk menyatukan dan bukan memisahkan. Bak kata orang tua-tua tak kenal maka tak cinta. Ambillah inisiatif untuk mengenali hati budi insan yang lain. InshaAllah lama kelamaan ia akan membawa kepada kesatuan dan bukannya perpecahan. 

Hakikat sebenarnya ialah kita manusia boleh disatukan dengan pegangan agama Islam yang diturunkan Allah Taala. Ini kerana ugamalah yang dapat menyatukan manusia. Ini dibuktikan di zaman Rasulullah SAW di Madinah dahulu. Namun setelah Rasullullah SAW wafat, perpecahan mula berlaku sehinggalah ke hari ini. Dalam hal ini kembalilah ke jalan pegangan Islam yang benar, jalan yang lurus, jalan yang diredai Allah. Saya harap semoga kandungan buku ini sedikit sebanyak membawa kepada kesatuan ini kepada sesiapa sahaja yang dijodohkan Allah Taala dengannya. InshaAllah. Sesungguhnya yang baik itu adalah dari Allah dan yang tak baik itu Allah bagi saya penulis yang serba daif ini.

Faizal Yusup Al Haj
0166667430
Minda Akhirat
Hidup Kena Cool, Hati kena Mulia...
https://mindaakhirat.blogspot.com/

PS - Sekiranya anda membaca semua 70 bab dalam blog Minda Akhirat ini mengikut tertib dan susunannya saya percaya sesuatu akan berlaku di dalam hati anda dengan izin Allah Taala. Ia akan membawa kebaikan yang banyak dalam hidup anda. Percayalah. Kalau anda tak percaya, bacalah!

PSS - Anda juga boleh menonton semua pengisian ini dalam bentuk video di Instagram Minda_Akhirat. Layari ;

ISLAM ITU BERSAUDARA

 



Huraian dalam bab ini adalah, sekali lagi kalau kita berminda dunia maka, kita akan hidup berpuak-puak sedangkan kalau kita berminda akhirat, kita akan berjemaah seperti yang telah saya terangkan dalam sebab yang lalu tapi bukan aspek itu yang akan saya panjangkan tapi kali ini dalam paparan ini, ia adalah keadaan mereka yang berminda dunia dibandingkan dengan mereka yang berminda akhirat. Di sini kita dapat lihat yang mereka yang berminda dunia ilmunya tidak bercantum. Mereka mendapat pengisian satu persatu dalam kehidupan. Ini terjadi kerana apabila kita membaca,  menonton TV, YouTube mahupun dalam sosial media kita dapati ilmu-ilmu yang disampaikan itu tidak merangkumi aspek kehidupan secara keseluruhan. Kita menerimanya satu persatu dan pengisian yang tak lengkap ini menjadi prinsip pegangan kehidupan kita. Mana tak kita keliru lagi sesat dalam kehidupan. Ia umpama serpihan-serpihan jigsaw puzzle yang masuk berterabur dan tidak lengkap. Apabila ia tidak lengkap maka ia tidak memberi makna. Bagaimanakah ia akan dapat dihayati dan apatah lagi untuk diamalkan?

Sebenarnya kepada yang berminda akhirat, di awal kehidupan, mereka juga berminda dunia tetapi apabila dia mendalami ilmu ugama dengan lebih mendalam maka semua neuron-neuron itu bersambung dengan izin Allah Taala. Apabila ia bersambung everything seems to make sense, kita dapat satu kesedaran yang sukar digambarkan dengan kata-kata. Secara tiba-tiba pandangan mata hati kita mula terbuka.  Mata hati menjadi tajam dan dapat melihat sesuatu yang tidak dapat dilihat selama ini. Dirinya mendapat petunjuk dan hidayah ini tiba-tiba kita menjadi insan yang baru. Tiba-tiba kita menjadi seorang yang berminda akhirat. Memandang sesuatu dengan menghubungkaitkannya dengan Allah Taala, dengan akhirat. Akhirnya kita menjadi tenang, faham apakah tugas yang perlu kita lakukan sebagai manusia atau sebagai Khalifah di muka bumi ini iaitu untuk memakmurkan bumi.

Rangkuman ilmu pengetahuan ini, mencukupi untuk diri kita menjadi seorang hamba yang patuh lagi taat. Dalam erti kata lain kita dikurniakan dengan kefahaman dalam agama. Kefahaman ini akan dapat dilihat dalam bentuk amalan-amalan kebajikan serta meninggalkan larangan Allah, ketakwaan serta keimanan kepada Allah Taala.

Itulah perbezaannya. 

Blog ini bertujuan untuk menyusun dan melengkapkan semua serpihan-serpihan ilmu yang sudah terbentuk dalam diri anda selama ini dengan harapan ia membuka mata hati anda serta membawa kebaikan kepada anda. InshaAllah.

Faizal Yusup Al Haj
0166667430
Minda Akhirat
Hidup Kena Cool, Hati kena Mulia...
https://mindaakhirat.blogspot.com/

PS - Sekiranya anda membaca semua 70 bab dalam blog Minda Akhirat ini mengikut tertib dan susunannya saya percaya sesuatu akan berlaku di dalam hati anda dengan izin Allah Taala. Ia akan membawa kebaikan yang banyak dalam hidup anda. Percayalah. Kalau anda tak percaya, bacalah!

PSS - Anda juga boleh menonton semua pengisian ini dalam bentuk video di Instagram Minda_Akhirat. Layari ;