Friday, February 4, 2022

HIDUP KENA BERMATA LEBAH

 


Mereka yang berminda akhirat ini bermata lebah. Kerana lebah adalah satu serangga yang matanya fokus kepada pencarian bunga-bunga dengan tujuan untuk mendapatkan madu. Lebah ini permata positif kerana hanya memandang kepada bunga-bungaan yang bewarna warni dan tidak langsung memandang kepada sampah sarap. Ia tidak seperti mata lalat yang tidak memandang kepada madu yang manis itu tetapi lebih memandang kepada kekotoran dan sampah sarap. Lebah yang dicampak ke dalam tong besar yang penuh dengan sampah sekalipun tetap akan cuba mencari bunga di kalangan sampah. Lalat yang dicampak ke dalam sebuah taman yang penuh dengan bunga-bungaan tetap akan cuba mencari sampah.
 
Dalam hal ini apa yang cuba saya sampaikan ialah kita hendaklah bermata lebah iaitu memandang kepada perkara-perkara yang positif. Fokus kepada perkara yang membawa manfaat dalam apa juga yang kita lihat. Contohnya kalau kita pergi ke sebuah restoran kita pandang kepada apa yang baik tentang restoran tersebut dan bukannya fokus kepada apa yang tidak baik yang ada di dalam restoran tersebut.

Bagi mereka yang bermata lebah ini mereka sebenarnya berminda akhirat, mereka sentiasa bersangka baik dalam setiap kejadian dan peristiwa. Ini kerana mereka percaya yang setiap kejadian dan peristiwa itu berlaku atas kehendak dan ketentuan Allah Taala. Jadi mereka tahu yang setiap kejadian dan peristiwa itu yang berlaku terhadap dirinya yang datang daripada Allah itu adalah yang terbaik buatnya. Tak kiralah samaada ia berupa kejayaan atau perkara-perkara yang baik atau sebaliknya sekiranya ia merupakan kegagalan atau perkara-perkara yang tidak baik. Mereka reda dan percaya kepada Qada dan Qadar Allah sepenuhnya. Yang negatif pun pada kacamata mereka positif apatah lagi yang positif.

Berbeza dengan mereka yang berminda dunia mereka bermata lalat yang fokus kepada perkara-perkara yang negatif, fokus kepada mencari kesalahan dan kesilapan. Dalam hal ini semua benda boleh jadi salah kepada mereka, Tuhan salah, pemimpin salah, kerajaan salah, majikan salah, kawan-kawan salah, ibu bapa salah, guru-guru salah, dalam ertikata lain tidak ada satu pun yang betul. 
Mungkin mereka sahaja yang betul kot?

Lebah ini adalah makhluk yang memberi manfaat dalam bentuk madu untuk manusia. Madu pula merupakan salah satu makanan yang paling sihat dan boleh memberikan antibodi yang kuat bagi menghalang penyakit lantas memberikan kita kesihatan yang baik dengan izin Allah sedangkan lalat pula diketahui membawa kuman dan kekotoran yang mana boleh menyebabkan kemudaratan kepada kita manusia. 

Lalat kita halau tapi lebah ada orang yang membelanya kerana mereka ingin mendapatkan madunya. Pernah ke anda nampak orang bela lalat?

Jom kita pasang mata lebah dan pandang kepada perkara yang baik sahaja!

Faizal Yusup Al Haj
0166667430
Minda Akhirat
Hidup Kena Cool, Hati kena Mulia...
https://mindaakhirat.blogspot.com/

PS - Sekiranya anda membaca semua 70 bab dalam blog Minda Akhirat ini mengikut tertib dan susunannya saya percaya sesuatu akan berlaku di dalam hati anda dengan izin Allah Taala. Ia akan membawa kebaikan yang banyak dalam hidup anda. Percayalah. Kalau anda tak percaya, bacalah!

PSS - Anda juga boleh menonton semua pengisian ini dalam bentuk video di Instagram Minda_Akhirat. Layari ;

MEMELIHARA SILATURRAHIM

 



Huraian dari paparan ini pula ialah mereka yang berminda akhirat gemar menjalankan hubungan sesama manusia. Suka bersilaturrahim. Mereka bersatu dan suka berjemaah dalam menjalankan apa-apa juga aktiviti. Kita juga tahu yang solat berjemaah di masjid dan surau membawa ganjaran 27 kali ganda dari solat berseorang di rumah. Bersatu kita teguh bercerai kita roboh. Mereka ini berpegang kepada perumpamaan bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat. 

Tidak seperti minda dunia yang bersifat individualistik, mementingkan diri sendiri, tak pedulikan orang lain juga anti sosial. Seringkali mereka  bersangka buruk terhadap orang lain. Bermata lalat dan suka mencari kesalahan orang lain. Akhirnya mereka kesepian, mereka tak punya kawan dan sahabat. Keseorangan. 

Namun dewasa ini kita dapati yang kesatuan telah berpecah belah.  Dalam negara ini sekalipun bangsa Melayu Islam berpecah belah dari segi pegangan ideologi dan pegangan politiknya. Berpecah belah  dari segi status, kedudukan dan sebagainya. Kita saling tak tumpah seperti binatang-binatang yang berpuak-puak, harimau dengan  harimau,  putih gajah dengan gajah, zirafah dengan zirafah, buaya dengan buaya dan sebagainya. Walhal kita makhluk manusia yang dikurniakan akal fikiran, kita bukan binatang. Cuba perhatikan kanak-kanak kecil di sekolah tadika. Bila bertemu dengan kawannya, mereka tidak kenal warna kulit, mereka tidak kenal pandai atau tidak, mereka tidak kenal kaya atau miskin namun mereka berkawan, bergaul dan bersilaturahim dengan gembira. Mungkin lebih elok kita ini dibiarkan Allah tetap menjadi anak kecil sahaja tak perlu membesar menjadi dewasa, tatkala kita dikurniakan akal dan ilmu pengetahuan secara tiba-tiba kita berubah dan merasakan diri kita lebih hebat,  merasakan yang kita perlu berpuak-puak dan sebagainya. 

Nak ucapkan salam kepada saudara seugamapun mulut kita terkunci apatah lagi nak diajak berbual. 

Biarpun kita berbeza dari segi rupa, pendidikan, usia, status, hobi, sifat, latar belakang, kedewasaan, profesion, lingkungan pemikiran, ideologi, politik, pegangan dan sebagainya, takperlulah kita bergaduh dan bertelagah. Cari persamaan dan bukan perbezaan. Learn to agree to disagree. Hormati prinsip pegangan serta keputusan orang lain, cari jalan tengah dan sebagainya. Semua ini bertujuan untuk menyatukan dan bukan memisahkan. Bak kata orang tua-tua tak kenal maka tak cinta. Ambillah inisiatif untuk mengenali hati budi insan yang lain. InshaAllah lama kelamaan ia akan membawa kepada kesatuan dan bukannya perpecahan. 

Hakikat sebenarnya ialah kita manusia boleh disatukan dengan pegangan agama Islam yang diturunkan Allah Taala. Ini kerana ugamalah yang dapat menyatukan manusia. Ini dibuktikan di zaman Rasulullah SAW di Madinah dahulu. Namun setelah Rasullullah SAW wafat, perpecahan mula berlaku sehinggalah ke hari ini. Dalam hal ini kembalilah ke jalan pegangan Islam yang benar, jalan yang lurus, jalan yang diredai Allah. Saya harap semoga kandungan buku ini sedikit sebanyak membawa kepada kesatuan ini kepada sesiapa sahaja yang dijodohkan Allah Taala dengannya. InshaAllah. Sesungguhnya yang baik itu adalah dari Allah dan yang tak baik itu Allah bagi saya penulis yang serba daif ini.

Faizal Yusup Al Haj
0166667430
Minda Akhirat
Hidup Kena Cool, Hati kena Mulia...
https://mindaakhirat.blogspot.com/

PS - Sekiranya anda membaca semua 70 bab dalam blog Minda Akhirat ini mengikut tertib dan susunannya saya percaya sesuatu akan berlaku di dalam hati anda dengan izin Allah Taala. Ia akan membawa kebaikan yang banyak dalam hidup anda. Percayalah. Kalau anda tak percaya, bacalah!

PSS - Anda juga boleh menonton semua pengisian ini dalam bentuk video di Instagram Minda_Akhirat. Layari ;

ISLAM ITU BERSAUDARA

 



Huraian dalam bab ini adalah, sekali lagi kalau kita berminda dunia maka, kita akan hidup berpuak-puak sedangkan kalau kita berminda akhirat, kita akan berjemaah seperti yang telah saya terangkan dalam sebab yang lalu tapi bukan aspek itu yang akan saya panjangkan tapi kali ini dalam paparan ini, ia adalah keadaan mereka yang berminda dunia dibandingkan dengan mereka yang berminda akhirat. Di sini kita dapat lihat yang mereka yang berminda dunia ilmunya tidak bercantum. Mereka mendapat pengisian satu persatu dalam kehidupan. Ini terjadi kerana apabila kita membaca,  menonton TV, YouTube mahupun dalam sosial media kita dapati ilmu-ilmu yang disampaikan itu tidak merangkumi aspek kehidupan secara keseluruhan. Kita menerimanya satu persatu dan pengisian yang tak lengkap ini menjadi prinsip pegangan kehidupan kita. Mana tak kita keliru lagi sesat dalam kehidupan. Ia umpama serpihan-serpihan jigsaw puzzle yang masuk berterabur dan tidak lengkap. Apabila ia tidak lengkap maka ia tidak memberi makna. Bagaimanakah ia akan dapat dihayati dan apatah lagi untuk diamalkan?

Sebenarnya kepada yang berminda akhirat, di awal kehidupan, mereka juga berminda dunia tetapi apabila dia mendalami ilmu ugama dengan lebih mendalam maka semua neuron-neuron itu bersambung dengan izin Allah Taala. Apabila ia bersambung everything seems to make sense, kita dapat satu kesedaran yang sukar digambarkan dengan kata-kata. Secara tiba-tiba pandangan mata hati kita mula terbuka.  Mata hati menjadi tajam dan dapat melihat sesuatu yang tidak dapat dilihat selama ini. Dirinya mendapat petunjuk dan hidayah ini tiba-tiba kita menjadi insan yang baru. Tiba-tiba kita menjadi seorang yang berminda akhirat. Memandang sesuatu dengan menghubungkaitkannya dengan Allah Taala, dengan akhirat. Akhirnya kita menjadi tenang, faham apakah tugas yang perlu kita lakukan sebagai manusia atau sebagai Khalifah di muka bumi ini iaitu untuk memakmurkan bumi.

Rangkuman ilmu pengetahuan ini, mencukupi untuk diri kita menjadi seorang hamba yang patuh lagi taat. Dalam erti kata lain kita dikurniakan dengan kefahaman dalam agama. Kefahaman ini akan dapat dilihat dalam bentuk amalan-amalan kebajikan serta meninggalkan larangan Allah, ketakwaan serta keimanan kepada Allah Taala.

Itulah perbezaannya. 

Blog ini bertujuan untuk menyusun dan melengkapkan semua serpihan-serpihan ilmu yang sudah terbentuk dalam diri anda selama ini dengan harapan ia membuka mata hati anda serta membawa kebaikan kepada anda. InshaAllah.

Faizal Yusup Al Haj
0166667430
Minda Akhirat
Hidup Kena Cool, Hati kena Mulia...
https://mindaakhirat.blogspot.com/

PS - Sekiranya anda membaca semua 70 bab dalam blog Minda Akhirat ini mengikut tertib dan susunannya saya percaya sesuatu akan berlaku di dalam hati anda dengan izin Allah Taala. Ia akan membawa kebaikan yang banyak dalam hidup anda. Percayalah. Kalau anda tak percaya, bacalah!

PSS - Anda juga boleh menonton semua pengisian ini dalam bentuk video di Instagram Minda_Akhirat. Layari ;

MANUSIA YANG SOMBONG

 



Manusia adalah makhluk yang bersifat dominan, iaitu punya sifat selalu ingin menguasai dan tidak suka dikuasai. Kita tidak suka diancam tetapi kita lebih suka mengancam. Sebab inilah kita tak suka bila ada orang lebih dari kita. Kita suka bersaing dalam melawan untuk memastikan kita berada di atas. Begitulah sifat kebanyakan manusia. 

Dalam hal ini, mereka yang berminda dunia akan cuba mencari kelebihan dan apa jua keadaan. Pangkat, nama, gelaran kedudukan, kelayakan, pendidikan, tak kisahlah apapun juga janji kita lebih dari orang yang kita saingi itu. Kita guna kelebihan tu untuk berkuasa ke atas orang lain, untuk mengarah orang lain mahupun untuk menindas orang lain.

Mereka ini ingin menjadi idola, menjadi seorang yang berpengaruh, menjadi seorang terkenal dan popular, menjadi seorang yang dipuja dan disanjung. Mereka berasa bangga bila berada di atas.

Dalam keadaan yang lain, mereka-mereka ini memandang rendah kepada orang lain, mereka memperlekeh malah menghina orang lain kerana mereka merasakan mereka punya kelebihan dari semua segi. Mereka hanya berkawan dengan orang-orang yang berada dalam rangkuman diri mereka sahaja. Mereka bangga diri dan sombong. Mereka percaya kekayaan dan status menjadikan diri mereka lebih mulia.

Keadaan ini jauh berbeza dengan mereka yang berminda akhirat. Orang yang berminda akhirat ini, tidak mengamalkan semua yang di atas. Pada mereka semua orang sama sahaja, apa yang memuliakan seseorang manusia itu adalah ketakwaannya kepada Allah Taala dan bukannya faktor yang lain.

Dalam hal ini kita tidak tahu mungkin si peminta sedekah lebih mulia dari diri kita,  sebagai bos kita tidak tahu mungkin  pekerja di bawah kita itu lebih mulia dari kita kerana ketakwaannya kepada Allah Taala. Sebagai rakyat Malaysia kita tidak tahu pendatang asing dari Indonesia, Bangladesh maupun Pakistan mungkin jauh lebih mulia daripada diri kita sekali lagi kerana ketakwaannya kepada Allah Taala. Jadi takperlulah kita mencemuh dan memperlekehkan mereka. Kita tak tahu mungkin mereka bangun solat tahajud setiap malam. Tidak seperti kita.

Kita bukan Tuhan yang boleh menilai dan menghukum seseorang manusia itu. Kita pun tidak tahu siapa yang lebih beriman dari kita, kita pun tidak tahu siapa yang makam atau kedudukannya lebih tinggi di sisi Allah.

Kalau difikirkan dalam hal ini, kaedah terbaik ialah menghargai semua manusia baik mahupun buruk. Allah memuliakan manusia dan meletakkan makhluk manusia di tahap yang tinggi. Kenapa pula kita tak muliakan manusia? Jadi, hilangkanlah rasa sombong, riak dan takbur. Kita sentiasa berbaik sangka, menghormati sesiapapun manusia yang dijodohkan dengan kita bukan hanya yang beragama Islam malah yang bukan. Bagaimana cara orang kafir akan menghormati kita sekiranya kita tidak menunjukkan akhlak yang baik, sekiranya kita membenci, berlagak dan sombong?

Apapun sedarilah yang nama, pangkat, gelaran dan harta hanya pinjaman dan amanah Allah yang bersifat sementara. Satu hari nanti semua ini akan hilang dan tak berharga lagi dan tak ada apa lagi yang tinggal di muka bumi ini. 

Faizal Yusup Al Haj
0166667430
Minda Akhirat
Hidup Kena Cool, Hati kena Mulia...
https://mindaakhirat.blogspot.com/

PS - Sekiranya anda membaca semua 70 bab dalam blog Minda Akhirat ini mengikut tertib dan susunannya saya percaya sesuatu akan berlaku di dalam hati anda dengan izin Allah Taala. Ia akan membawa kebaikan yang banyak dalam hidup anda. Percayalah. Kalau anda tak percaya, bacalah!

PSS - Anda juga boleh menonton semua pengisian ini dalam bentuk video di Instagram Minda_Akhirat. Layari ;

 

DIUJI ALLAH SETELAH BERSARA



SATU ANALISIS

Analisis antara dua orang tua Abu dan Ali.

ABU BERMINDA DUNIA

Siapa Abu?

Abu seorang tua yang menjalani hidup mudanya dengan cara sekular keduniaan.

KEADAAN DI MASA TUA

Allah ambil kesihatan dan digantikan dengan kesakitan yang berpanjangan. Allah ambil keupayaan mata untuk melihat, keupayaan telinga untuk mendengar, keupayaan seksual dan sebagainya.

Dipinggir keluarga, anak-anak dan isteri. Semua ahli keluarga, saudara mara dan rakan taulan menjauhkan diri dan tidak menghormatinya. Mereka merasakan yang Abu satu beban atau liabiliti dalam kehidupan mereka.

Otaknya sudah mula lembab, ingatannya kurang, nyanyuk, pelupa dan sebagainya.

Menghadapi pelbagai masalah dan tekanan yang melampau. Punya masalah kewangan yang meruncing, kalau ada perniagaan, perniagaan itu tidak berjaya, mempunyai hutang keliling pinggang dan sebagainya.

RUTIN KEHIDUPAN DI MASA TUANYA

Masih fokus pada dunia suka menghabiskan masa menonton rancangan hiburan, buang masa di kompleks-kompleks membeli belah, melakukan perbuatan yang makruh dan haram dan sebagainya.

KESIMPULAN

Dibogel dan dimalukan.


ALI BERMINDA AKHIRAT

Siapa Ali?

Ali seorang tua yang menjalani hidup mudanya dengan cara Islam berminda akhirat.

KEADAAN DI MASA TUA...

Ali masih dengan kesihatan yang agak baik dengan mata yang terang dan pendengaran telinga yang jelas mungkin kerana rutinnya hidupnya yang selalu berkebun, menjaga makan minumnya, beribadah dan mengaji Al Quran.

Ali pula disayangi semua orang anak, menantu dan cucu. Pantang ada sebarang keperluan pasti akan dipenuhi. Dihormati rakan taulan dan masyarakat.

Akalnya masih baik, masih boleh berfikir secara rasional dan penuh kebijaksanaan dan ilmu untuk dikongsikan.

Ali yang memulakan perniagaan yang sama satu ketika dahulu pula menjadi senang dan hidup tanpa masalah kewangan, tenang dan sejahtera.

RUTIN KEHIDUPAN DI MASA TUANYA

Fokus pada akhirat dengan menghabiskan masa di masjid, menunaikan haji dan umrah, membuat amalan kebajikan serta ibadah.

KESIMPULAN

Lengkap berpakaian siap dengan perhiasan.


Anda punya sampel yang sedemikian berdekatan dengan anda? Saya yakin ada. Apapun cubalah ambil iktibar darinya.

Inilah yang saya namakan dibogelkan oleh Allah Taala di hujung perjalanan hingga hidup merempat tak berumah, hatinya mati, sakit, tak berduit, tiada tempat hendak pergi, tiada tempat nak mengadu dan silap-silap haribulan mati dalam keadaan yang hina dan dina.

Di sini saya mengingatkan diri saya sendiri khususnya dan anda semua di luar sana amnya. Jom kita kembali ke jalan Allah Taala. Jalan yang lurus dan pastinya benar. InshaAllah dengan demikian itu kita taklah dibogelkan bila kita tua nanti.

Saya cukup yakin kita telah berkali-kali ditemukan dengan orang-orang yang memberi peringatan namun kita tak mempedulikan mereka dan kali ini sekali lagi anda di beri peringatan dan saya sebagai perantaraNya. Ambillah peringatan Allah ini. 

Buatlah perubahan dan kembalilah ke jalan Allah, jalan yang pasti benar!

Faizal Yusup Al Haj
0166667430
Minda Akhirat
Hidup Kena Cool, Hati kena Mulia...
https://mindaakhirat.blogspot.com/

PS - Sekiranya anda membaca semua 70 bab dalam blog Minda Akhirat ini mengikut tertib dan susunannya saya percaya sesuatu akan berlaku di dalam hati anda dengan izin Allah Taala. Ia akan membawa kebaikan yang banyak dalam hidup anda. Percayalah. Kalau anda tak percaya, bacalah!

PSS - Anda juga boleh menonton semua pengisian ini dalam bentuk video di Instagram Minda_Akhirat. Layari ;

https://instagram.com/minda_akhirat?utm_medium=copy_link 

ORANG ISLAM DITINDAS

 KASIHAN INSAN BERMINDA AKHIRAT DI DUNIA...


Dugaan demi dugaan harus ditempuhi sepanjang kehidupan. Kebanyakan manusia mahu dihargai tetapi tidak menghargai, mahu dipandang tetapi tidak memandang, mahu dihormati tetapi tidak mahu menghormati. 

Bila difikirkan maka saya kasihan pada insan yang berminda akhirat. Iaitu mereka yang patuh dan faham akan prinsip Islam ini. Ini kerana mereka merupakan insan-insan yang sukakan kedamaian. Mereka berada dalam keadaan tenang dan bukan dari golongan yang suka beremosi, dramatik dan penuh dengan kemarahan dan rasa tak puas hati.

  • Sedang orang berminda dunia berdendam dan tak dapat memaafkan, insan berminda akhirat tidak akan berdendam dan memaafkan walaupun diri mereka diperlakukan dengan buruk. Ini kerana mereka faham Allah Maha Pengampun dan Nabi SAW juga mengampunkan umat. Mereka tak punya hak untuk tidak memaafkan.
  • Sedang orang berminda dunia memasukkan kebencian dalam diri dan rasa tak puas hati lantas mencari peluang untuk bergaduh dan berperang, insan berminda akhirat menghindari perbalahan hanya kerana mereka mahu memelihara silaturrahim dan tak mahu memutuskannya.
  • Sedang orang berminda dunia sentiasa tak puas hati dengan pelbagai dugaan kehidupan, insan berminda akhirat reda walau apapun juga keadaannya kerana tahu dan yakin yang semuanya datang dari Allah Taala. 
  • Sedang orang berminda dunia membalas dengan penuh kekejaman, insan berminda akhirat hanya boleh balas dalam lingkungan yang dibenarkan dan setimpal dengan apa yang diperlakukan, tidak lebih dari itu dan selebihnya diserahkan pada Allah Taala.
  • Sedang orang berminda dunia mengejar harta, nama, pangkat, gelaran dan sebagainya insan berminda akhirat hanya mengejar keredaan Allah Taala.
  • Sedang orang berminda dunia menipu dan mengelirukan, insan berminda akhirat bercakap benar dan berhemah.
  • Dan banyak lagi...
Orang berminda dunia sentiasa kelihatan seperti sentiasa serba tak cukup dan tidak puas sedangkan insan berminda akhirat akan sentiasa cukup dan bersyukur dengan apa yang ada. Insan berminda akhirat menjalankan usaha dakwah kerana ingin mengajak orang berminda dunia kembali ke jalan Allah Taala, ingin menyelamatkan namun ini tidak difahami orang berminda dunia.

Sebenarnya sukar untuk menjadi seorang insan berminda akhirat yang faham akan hukum hakam dan mengikut sunnah Nabi SAW ini. Insan yang mendapat kefahaman dalam beragama. Ini kerana mereka terpaksa berhati-hati dalam penggunaan emosi kerana tahu emosi hanya boleh digunakan di tempat yang hak dan yang dibenarkan. Dan hakikatnya ini adalah sesuatu yang sukar.

Insan berminda akhirat beremosi ;

Bila Allah dihina
Bila Islam dipersendakan
Bila Nabi SAW dipermainkan
Demi menjaga kehormatan keluarganya
Bila melihat kemaksiatan
Bila melihat keimanan manusia yang semakin meruncing.

Marah dalam rangkuman yang tertentu dan dibenarkan.
 
Namun demikian orang berminda dunia marah kerana semua perkara. Marah yang tiada berpenghujung, tiada had. Marah disebabkan makhluk dan kejadian.

Orang berminda dunia pula beremosi dan marah ;

Sebab makanannya lambat sampai 
Sebab hari hujan
Sebab kekasih lambat sampai
Sebab kena marah
Sebab jalan jem
Sebab kereta rosak
Sebab tak jawab panggilan telefon
Dan berjuta sebab yang lainnya.

Sebenarnya perselisihan dan pertembungan sering berlaku antara orang berminda dunia dan insan berminda akhirat ini. Ini kerana orang berminda dunia tidak dapat memahami insan berminda akhirat sedangkan insan berminda akhirat faham akan tindak tanduk orang orang berminda dunia kerana satu ketika dahulu insan berminda akhirat juga merupakan orang berminda dunia sebelum dia insaf dan terbuka pintu hatinya.

Malangnya di dunia ini terdapat lebih banyak orang berminda dunia dari insan berminda akhirat. Jadi jumlah majoriti ini memperlihatkan seakan mereka berada dalam kebenaran. Hakikatnya mereka hanya melakukan kerosakan dan maksiat. Lihatlah rancangan televisyen yang ada di negara ini contohnya, majoritinya rancangan hiburan dan rancangan bersifat duniawi.  

Apapun, ingatlah secara puratanya setiap kita akan singgah di muka bumi ini selama 70 tahun atau 25,000 hari sebelum MATI dan meninggalkan semua yang kita usahakan sepanjang kehidupan kemudian digantikan dengan generasi yang baru yang akan diduga dengan perkara yang sama. Sedarilah orang yang paling  bijak ialah orang yang sepanjang kehidupannya membuat persiapan untuk menuju kematian.

Faizal Yusup Al Haj
0166667430
Minda Akhirat
Hidup Kena Cool, Hati kena Mulia...
https://mindaakhirat.blogspot.com/

PS - Sekiranya anda membaca semua 70 bab dalam blog Minda Akhirat ini mengikut tertib dan susunannya saya percaya sesuatu akan berlaku di dalam hati anda dengan izin Allah Taala. Ia akan membawa kebaikan yang banyak dalam hidup anda. Percayalah. Kalau anda tak percaya, bacalah!

PSS - Anda juga boleh menonton semua pengisian ini dalam bentuk video di Instagram Minda_Akhirat. Layari ;

SAHABAT YANG MENYENANGKAN ATAU MENYUSAHKAN?

 PAYUNG MANFAAT PAYUNG MUDARAT


Ramai alim ulama yang berkata akan tiba masanya dalam kehidupan mereka yang beriman kepada Allah, seseorang itu melalui fasa peralihan dari mementingkan diri sendiri kepada mementingkan orang lain. Di awal kehidupannya dia akan mencukupkan dirinya serba serbi dan bila sudah mencukupi dan mempunyai lebihan maka dia akan mula menyumbang kepada orang lain.

Bagi saya salah satu cara mudah untuk melihatkan keadaan hati seseorang itu ialah dengan melihatkan kedudukan luarannya. Maksudnya adakah dia seorang yang memegang payung manfaat atau adakah dia seorang yang memegang payung mudarat. Penjelasannya begini. Mereka yang memegang payung manfaat seakan membawa bakteria yang baik atau seakan cahaya yang menerangkan suasana di sekelilingnya. Orang sebegini akan membawa kebaikan kepada orang sekeliling. Mereka alah seorang yang berminda akhirat. Sebaliknya mereka yang memegang payung mudarat pula akan membawa kemudaratan kepada orang-orang yang berada di sekitarnya. Mereka ini berminda dunia. 

Sebagai contoh, orang yang membawa manfaat dengan mudah memberikan bantuan kewangan, tenaga, nasihat dan selalu menggembirakan orang yang berada di sekelilingnya dengan amalan kebaikannya baik kepada dirinya sendiri, keluarga, saudara mara, rakan dan taulan. Sebenarnya tanpa kita sedari mereka ini melakukan kebaikan ini dengan niat kerana Allah Taala tanpa meminta apa-apa balasan.
 
Mereka ini selalunya menjadi idola kebaikan dan bila disebut namanya tak ada lain yang keluar melainkan pujian kebaikan kecuali pada mata mereka yang rosak hatinya kerana sifat dengki dan irihati maka keburukan jugalah yang kelihatan. Mereka akan menyangka bantuan yang dihulurkan tidak ikhlas, untuk mendapat nama, populariti, untuk menunjuk-nunjuk dan sebagainya.  

Bagi yang memegang payung mudarat pula mereka bakal membawa virus kegelapan. Kehadiran mereka dalah kehidupan bakal membawa mudarat kegelapan dalam kehidupan orang lain. Sebagai contoh mereka yang telah berkahwin tetapi merupakan seorang kaki mabuk. Maka keadaannya ini bakal menjejaskan isterinya, anak-anaknya, keluarganya, mertuanya, kerjanya dan sebagainya. Kaki dadah, kaki perempuan, kaki judi dan segala macam jenis kaki bakal memegang payung mudarat yang saya namakan tadi. Bukankah keadaan ini merupakan satu keadaan yang jelas dan nyata?

Saya pernah bertemu dengan penagih dadah yang mana keadaan beliau itu menjejaskan semua orang di sekelilingnya hinggakan mereka semua berputus asa terhadapnya. Saya juga pernah bertemu seorang isteri yang curang pada suaminya yang seterusnya menyebabkan rumahtangganya hancur, anak-anaknya bertempiaran dan seterusnya menghadapi masalah dengan majikan, keluarga, adik-beradik, mertua, ipar-duai dan sebagainya.

Mereka yang membawa payung manfaat ini pula ada yang pasif dan ada yang aktif. Yang pasif akan membuat sesuatu kebajikan hanya untuk dirinya sendiri dan mungkin kepada keluarganya namun bagi mereka yang aktif mereka akan mencari jalan memanfaatkan seramai yang mungkin, selama yang mungkin dengan usaha-usaha dakwah. Begitu juga mereka yang membawa payung mudarat ini mereka juga ada yang pasif dan melakukan kerosakan yang terhad hanya pada sendiri namun ada juga yang mengajak orang lain untuk melakukan kerosakan tersebut.

Persoalannya payung apakah yang kita bawa selama hari ini?

Untuk menerangkan dengan lebih lanjut lagi saya terangkan kisah payung manfaat dan payung mudarat ini dengan menggunakan analogi hati yang bersih dan hati yang kotor dalam topik yang seterusnya.

Faizal Yusup Al Haj
0166667430
Minda Akhirat
Hidup Kena Cool, Hati kena Mulia...
https://mindaakhirat.blogspot.com/

PS - Sekiranya anda membaca semua 70 bab dalam blog Minda Akhirat ini mengikut tertib dan susunannya saya percaya sesuatu akan berlaku di dalam hati anda dengan izin Allah Taala. Ia akan membawa kebaikan yang banyak dalam hidup anda. Percayalah. Kalau anda tak percaya, bacalah!

PSS - Anda juga boleh menonton semua pengisian ini dalam bentuk video di Instagram Minda_Akhirat. Layari ;