Friday, February 4, 2022

ISLAM ITU BERSAUDARA

 



Huraian dalam bab ini adalah, sekali lagi kalau kita berminda dunia maka, kita akan hidup berpuak-puak sedangkan kalau kita berminda akhirat, kita akan berjemaah seperti yang telah saya terangkan dalam sebab yang lalu tapi bukan aspek itu yang akan saya panjangkan tapi kali ini dalam paparan ini, ia adalah keadaan mereka yang berminda dunia dibandingkan dengan mereka yang berminda akhirat. Di sini kita dapat lihat yang mereka yang berminda dunia ilmunya tidak bercantum. Mereka mendapat pengisian satu persatu dalam kehidupan. Ini terjadi kerana apabila kita membaca,  menonton TV, YouTube mahupun dalam sosial media kita dapati ilmu-ilmu yang disampaikan itu tidak merangkumi aspek kehidupan secara keseluruhan. Kita menerimanya satu persatu dan pengisian yang tak lengkap ini menjadi prinsip pegangan kehidupan kita. Mana tak kita keliru lagi sesat dalam kehidupan. Ia umpama serpihan-serpihan jigsaw puzzle yang masuk berterabur dan tidak lengkap. Apabila ia tidak lengkap maka ia tidak memberi makna. Bagaimanakah ia akan dapat dihayati dan apatah lagi untuk diamalkan?

Sebenarnya kepada yang berminda akhirat, di awal kehidupan, mereka juga berminda dunia tetapi apabila dia mendalami ilmu ugama dengan lebih mendalam maka semua neuron-neuron itu bersambung dengan izin Allah Taala. Apabila ia bersambung everything seems to make sense, kita dapat satu kesedaran yang sukar digambarkan dengan kata-kata. Secara tiba-tiba pandangan mata hati kita mula terbuka.  Mata hati menjadi tajam dan dapat melihat sesuatu yang tidak dapat dilihat selama ini. Dirinya mendapat petunjuk dan hidayah ini tiba-tiba kita menjadi insan yang baru. Tiba-tiba kita menjadi seorang yang berminda akhirat. Memandang sesuatu dengan menghubungkaitkannya dengan Allah Taala, dengan akhirat. Akhirnya kita menjadi tenang, faham apakah tugas yang perlu kita lakukan sebagai manusia atau sebagai Khalifah di muka bumi ini iaitu untuk memakmurkan bumi.

Rangkuman ilmu pengetahuan ini, mencukupi untuk diri kita menjadi seorang hamba yang patuh lagi taat. Dalam erti kata lain kita dikurniakan dengan kefahaman dalam agama. Kefahaman ini akan dapat dilihat dalam bentuk amalan-amalan kebajikan serta meninggalkan larangan Allah, ketakwaan serta keimanan kepada Allah Taala.

Itulah perbezaannya. 

Blog ini bertujuan untuk menyusun dan melengkapkan semua serpihan-serpihan ilmu yang sudah terbentuk dalam diri anda selama ini dengan harapan ia membuka mata hati anda serta membawa kebaikan kepada anda. InshaAllah.

Faizal Yusup Al Haj
0166667430
Minda Akhirat
Hidup Kena Cool, Hati kena Mulia...
https://mindaakhirat.blogspot.com/

PS - Sekiranya anda membaca semua 70 bab dalam blog Minda Akhirat ini mengikut tertib dan susunannya saya percaya sesuatu akan berlaku di dalam hati anda dengan izin Allah Taala. Ia akan membawa kebaikan yang banyak dalam hidup anda. Percayalah. Kalau anda tak percaya, bacalah!

PSS - Anda juga boleh menonton semua pengisian ini dalam bentuk video di Instagram Minda_Akhirat. Layari ;

MANUSIA YANG SOMBONG

 



Manusia adalah makhluk yang bersifat dominan, iaitu punya sifat selalu ingin menguasai dan tidak suka dikuasai. Kita tidak suka diancam tetapi kita lebih suka mengancam. Sebab inilah kita tak suka bila ada orang lebih dari kita. Kita suka bersaing dalam melawan untuk memastikan kita berada di atas. Begitulah sifat kebanyakan manusia. 

Dalam hal ini, mereka yang berminda dunia akan cuba mencari kelebihan dan apa jua keadaan. Pangkat, nama, gelaran kedudukan, kelayakan, pendidikan, tak kisahlah apapun juga janji kita lebih dari orang yang kita saingi itu. Kita guna kelebihan tu untuk berkuasa ke atas orang lain, untuk mengarah orang lain mahupun untuk menindas orang lain.

Mereka ini ingin menjadi idola, menjadi seorang yang berpengaruh, menjadi seorang terkenal dan popular, menjadi seorang yang dipuja dan disanjung. Mereka berasa bangga bila berada di atas.

Dalam keadaan yang lain, mereka-mereka ini memandang rendah kepada orang lain, mereka memperlekeh malah menghina orang lain kerana mereka merasakan mereka punya kelebihan dari semua segi. Mereka hanya berkawan dengan orang-orang yang berada dalam rangkuman diri mereka sahaja. Mereka bangga diri dan sombong. Mereka percaya kekayaan dan status menjadikan diri mereka lebih mulia.

Keadaan ini jauh berbeza dengan mereka yang berminda akhirat. Orang yang berminda akhirat ini, tidak mengamalkan semua yang di atas. Pada mereka semua orang sama sahaja, apa yang memuliakan seseorang manusia itu adalah ketakwaannya kepada Allah Taala dan bukannya faktor yang lain.

Dalam hal ini kita tidak tahu mungkin si peminta sedekah lebih mulia dari diri kita,  sebagai bos kita tidak tahu mungkin  pekerja di bawah kita itu lebih mulia dari kita kerana ketakwaannya kepada Allah Taala. Sebagai rakyat Malaysia kita tidak tahu pendatang asing dari Indonesia, Bangladesh maupun Pakistan mungkin jauh lebih mulia daripada diri kita sekali lagi kerana ketakwaannya kepada Allah Taala. Jadi takperlulah kita mencemuh dan memperlekehkan mereka. Kita tak tahu mungkin mereka bangun solat tahajud setiap malam. Tidak seperti kita.

Kita bukan Tuhan yang boleh menilai dan menghukum seseorang manusia itu. Kita pun tidak tahu siapa yang lebih beriman dari kita, kita pun tidak tahu siapa yang makam atau kedudukannya lebih tinggi di sisi Allah.

Kalau difikirkan dalam hal ini, kaedah terbaik ialah menghargai semua manusia baik mahupun buruk. Allah memuliakan manusia dan meletakkan makhluk manusia di tahap yang tinggi. Kenapa pula kita tak muliakan manusia? Jadi, hilangkanlah rasa sombong, riak dan takbur. Kita sentiasa berbaik sangka, menghormati sesiapapun manusia yang dijodohkan dengan kita bukan hanya yang beragama Islam malah yang bukan. Bagaimana cara orang kafir akan menghormati kita sekiranya kita tidak menunjukkan akhlak yang baik, sekiranya kita membenci, berlagak dan sombong?

Apapun sedarilah yang nama, pangkat, gelaran dan harta hanya pinjaman dan amanah Allah yang bersifat sementara. Satu hari nanti semua ini akan hilang dan tak berharga lagi dan tak ada apa lagi yang tinggal di muka bumi ini. 

Faizal Yusup Al Haj
0166667430
Minda Akhirat
Hidup Kena Cool, Hati kena Mulia...
https://mindaakhirat.blogspot.com/

PS - Sekiranya anda membaca semua 70 bab dalam blog Minda Akhirat ini mengikut tertib dan susunannya saya percaya sesuatu akan berlaku di dalam hati anda dengan izin Allah Taala. Ia akan membawa kebaikan yang banyak dalam hidup anda. Percayalah. Kalau anda tak percaya, bacalah!

PSS - Anda juga boleh menonton semua pengisian ini dalam bentuk video di Instagram Minda_Akhirat. Layari ;

 

DIUJI ALLAH SETELAH BERSARA



SATU ANALISIS

Analisis antara dua orang tua Abu dan Ali.

ABU BERMINDA DUNIA

Siapa Abu?

Abu seorang tua yang menjalani hidup mudanya dengan cara sekular keduniaan.

KEADAAN DI MASA TUA

Allah ambil kesihatan dan digantikan dengan kesakitan yang berpanjangan. Allah ambil keupayaan mata untuk melihat, keupayaan telinga untuk mendengar, keupayaan seksual dan sebagainya.

Dipinggir keluarga, anak-anak dan isteri. Semua ahli keluarga, saudara mara dan rakan taulan menjauhkan diri dan tidak menghormatinya. Mereka merasakan yang Abu satu beban atau liabiliti dalam kehidupan mereka.

Otaknya sudah mula lembab, ingatannya kurang, nyanyuk, pelupa dan sebagainya.

Menghadapi pelbagai masalah dan tekanan yang melampau. Punya masalah kewangan yang meruncing, kalau ada perniagaan, perniagaan itu tidak berjaya, mempunyai hutang keliling pinggang dan sebagainya.

RUTIN KEHIDUPAN DI MASA TUANYA

Masih fokus pada dunia suka menghabiskan masa menonton rancangan hiburan, buang masa di kompleks-kompleks membeli belah, melakukan perbuatan yang makruh dan haram dan sebagainya.

KESIMPULAN

Dibogel dan dimalukan.


ALI BERMINDA AKHIRAT

Siapa Ali?

Ali seorang tua yang menjalani hidup mudanya dengan cara Islam berminda akhirat.

KEADAAN DI MASA TUA...

Ali masih dengan kesihatan yang agak baik dengan mata yang terang dan pendengaran telinga yang jelas mungkin kerana rutinnya hidupnya yang selalu berkebun, menjaga makan minumnya, beribadah dan mengaji Al Quran.

Ali pula disayangi semua orang anak, menantu dan cucu. Pantang ada sebarang keperluan pasti akan dipenuhi. Dihormati rakan taulan dan masyarakat.

Akalnya masih baik, masih boleh berfikir secara rasional dan penuh kebijaksanaan dan ilmu untuk dikongsikan.

Ali yang memulakan perniagaan yang sama satu ketika dahulu pula menjadi senang dan hidup tanpa masalah kewangan, tenang dan sejahtera.

RUTIN KEHIDUPAN DI MASA TUANYA

Fokus pada akhirat dengan menghabiskan masa di masjid, menunaikan haji dan umrah, membuat amalan kebajikan serta ibadah.

KESIMPULAN

Lengkap berpakaian siap dengan perhiasan.


Anda punya sampel yang sedemikian berdekatan dengan anda? Saya yakin ada. Apapun cubalah ambil iktibar darinya.

Inilah yang saya namakan dibogelkan oleh Allah Taala di hujung perjalanan hingga hidup merempat tak berumah, hatinya mati, sakit, tak berduit, tiada tempat hendak pergi, tiada tempat nak mengadu dan silap-silap haribulan mati dalam keadaan yang hina dan dina.

Di sini saya mengingatkan diri saya sendiri khususnya dan anda semua di luar sana amnya. Jom kita kembali ke jalan Allah Taala. Jalan yang lurus dan pastinya benar. InshaAllah dengan demikian itu kita taklah dibogelkan bila kita tua nanti.

Saya cukup yakin kita telah berkali-kali ditemukan dengan orang-orang yang memberi peringatan namun kita tak mempedulikan mereka dan kali ini sekali lagi anda di beri peringatan dan saya sebagai perantaraNya. Ambillah peringatan Allah ini. 

Buatlah perubahan dan kembalilah ke jalan Allah, jalan yang pasti benar!

Faizal Yusup Al Haj
0166667430
Minda Akhirat
Hidup Kena Cool, Hati kena Mulia...
https://mindaakhirat.blogspot.com/

PS - Sekiranya anda membaca semua 70 bab dalam blog Minda Akhirat ini mengikut tertib dan susunannya saya percaya sesuatu akan berlaku di dalam hati anda dengan izin Allah Taala. Ia akan membawa kebaikan yang banyak dalam hidup anda. Percayalah. Kalau anda tak percaya, bacalah!

PSS - Anda juga boleh menonton semua pengisian ini dalam bentuk video di Instagram Minda_Akhirat. Layari ;

https://instagram.com/minda_akhirat?utm_medium=copy_link 

ORANG ISLAM DITINDAS

 KASIHAN INSAN BERMINDA AKHIRAT DI DUNIA...


Dugaan demi dugaan harus ditempuhi sepanjang kehidupan. Kebanyakan manusia mahu dihargai tetapi tidak menghargai, mahu dipandang tetapi tidak memandang, mahu dihormati tetapi tidak mahu menghormati. 

Bila difikirkan maka saya kasihan pada insan yang berminda akhirat. Iaitu mereka yang patuh dan faham akan prinsip Islam ini. Ini kerana mereka merupakan insan-insan yang sukakan kedamaian. Mereka berada dalam keadaan tenang dan bukan dari golongan yang suka beremosi, dramatik dan penuh dengan kemarahan dan rasa tak puas hati.

  • Sedang orang berminda dunia berdendam dan tak dapat memaafkan, insan berminda akhirat tidak akan berdendam dan memaafkan walaupun diri mereka diperlakukan dengan buruk. Ini kerana mereka faham Allah Maha Pengampun dan Nabi SAW juga mengampunkan umat. Mereka tak punya hak untuk tidak memaafkan.
  • Sedang orang berminda dunia memasukkan kebencian dalam diri dan rasa tak puas hati lantas mencari peluang untuk bergaduh dan berperang, insan berminda akhirat menghindari perbalahan hanya kerana mereka mahu memelihara silaturrahim dan tak mahu memutuskannya.
  • Sedang orang berminda dunia sentiasa tak puas hati dengan pelbagai dugaan kehidupan, insan berminda akhirat reda walau apapun juga keadaannya kerana tahu dan yakin yang semuanya datang dari Allah Taala. 
  • Sedang orang berminda dunia membalas dengan penuh kekejaman, insan berminda akhirat hanya boleh balas dalam lingkungan yang dibenarkan dan setimpal dengan apa yang diperlakukan, tidak lebih dari itu dan selebihnya diserahkan pada Allah Taala.
  • Sedang orang berminda dunia mengejar harta, nama, pangkat, gelaran dan sebagainya insan berminda akhirat hanya mengejar keredaan Allah Taala.
  • Sedang orang berminda dunia menipu dan mengelirukan, insan berminda akhirat bercakap benar dan berhemah.
  • Dan banyak lagi...
Orang berminda dunia sentiasa kelihatan seperti sentiasa serba tak cukup dan tidak puas sedangkan insan berminda akhirat akan sentiasa cukup dan bersyukur dengan apa yang ada. Insan berminda akhirat menjalankan usaha dakwah kerana ingin mengajak orang berminda dunia kembali ke jalan Allah Taala, ingin menyelamatkan namun ini tidak difahami orang berminda dunia.

Sebenarnya sukar untuk menjadi seorang insan berminda akhirat yang faham akan hukum hakam dan mengikut sunnah Nabi SAW ini. Insan yang mendapat kefahaman dalam beragama. Ini kerana mereka terpaksa berhati-hati dalam penggunaan emosi kerana tahu emosi hanya boleh digunakan di tempat yang hak dan yang dibenarkan. Dan hakikatnya ini adalah sesuatu yang sukar.

Insan berminda akhirat beremosi ;

Bila Allah dihina
Bila Islam dipersendakan
Bila Nabi SAW dipermainkan
Demi menjaga kehormatan keluarganya
Bila melihat kemaksiatan
Bila melihat keimanan manusia yang semakin meruncing.

Marah dalam rangkuman yang tertentu dan dibenarkan.
 
Namun demikian orang berminda dunia marah kerana semua perkara. Marah yang tiada berpenghujung, tiada had. Marah disebabkan makhluk dan kejadian.

Orang berminda dunia pula beremosi dan marah ;

Sebab makanannya lambat sampai 
Sebab hari hujan
Sebab kekasih lambat sampai
Sebab kena marah
Sebab jalan jem
Sebab kereta rosak
Sebab tak jawab panggilan telefon
Dan berjuta sebab yang lainnya.

Sebenarnya perselisihan dan pertembungan sering berlaku antara orang berminda dunia dan insan berminda akhirat ini. Ini kerana orang berminda dunia tidak dapat memahami insan berminda akhirat sedangkan insan berminda akhirat faham akan tindak tanduk orang orang berminda dunia kerana satu ketika dahulu insan berminda akhirat juga merupakan orang berminda dunia sebelum dia insaf dan terbuka pintu hatinya.

Malangnya di dunia ini terdapat lebih banyak orang berminda dunia dari insan berminda akhirat. Jadi jumlah majoriti ini memperlihatkan seakan mereka berada dalam kebenaran. Hakikatnya mereka hanya melakukan kerosakan dan maksiat. Lihatlah rancangan televisyen yang ada di negara ini contohnya, majoritinya rancangan hiburan dan rancangan bersifat duniawi.  

Apapun, ingatlah secara puratanya setiap kita akan singgah di muka bumi ini selama 70 tahun atau 25,000 hari sebelum MATI dan meninggalkan semua yang kita usahakan sepanjang kehidupan kemudian digantikan dengan generasi yang baru yang akan diduga dengan perkara yang sama. Sedarilah orang yang paling  bijak ialah orang yang sepanjang kehidupannya membuat persiapan untuk menuju kematian.

Faizal Yusup Al Haj
0166667430
Minda Akhirat
Hidup Kena Cool, Hati kena Mulia...
https://mindaakhirat.blogspot.com/

PS - Sekiranya anda membaca semua 70 bab dalam blog Minda Akhirat ini mengikut tertib dan susunannya saya percaya sesuatu akan berlaku di dalam hati anda dengan izin Allah Taala. Ia akan membawa kebaikan yang banyak dalam hidup anda. Percayalah. Kalau anda tak percaya, bacalah!

PSS - Anda juga boleh menonton semua pengisian ini dalam bentuk video di Instagram Minda_Akhirat. Layari ;

SAHABAT YANG MENYENANGKAN ATAU MENYUSAHKAN?

 PAYUNG MANFAAT PAYUNG MUDARAT


Ramai alim ulama yang berkata akan tiba masanya dalam kehidupan mereka yang beriman kepada Allah, seseorang itu melalui fasa peralihan dari mementingkan diri sendiri kepada mementingkan orang lain. Di awal kehidupannya dia akan mencukupkan dirinya serba serbi dan bila sudah mencukupi dan mempunyai lebihan maka dia akan mula menyumbang kepada orang lain.

Bagi saya salah satu cara mudah untuk melihatkan keadaan hati seseorang itu ialah dengan melihatkan kedudukan luarannya. Maksudnya adakah dia seorang yang memegang payung manfaat atau adakah dia seorang yang memegang payung mudarat. Penjelasannya begini. Mereka yang memegang payung manfaat seakan membawa bakteria yang baik atau seakan cahaya yang menerangkan suasana di sekelilingnya. Orang sebegini akan membawa kebaikan kepada orang sekeliling. Mereka alah seorang yang berminda akhirat. Sebaliknya mereka yang memegang payung mudarat pula akan membawa kemudaratan kepada orang-orang yang berada di sekitarnya. Mereka ini berminda dunia. 

Sebagai contoh, orang yang membawa manfaat dengan mudah memberikan bantuan kewangan, tenaga, nasihat dan selalu menggembirakan orang yang berada di sekelilingnya dengan amalan kebaikannya baik kepada dirinya sendiri, keluarga, saudara mara, rakan dan taulan. Sebenarnya tanpa kita sedari mereka ini melakukan kebaikan ini dengan niat kerana Allah Taala tanpa meminta apa-apa balasan.
 
Mereka ini selalunya menjadi idola kebaikan dan bila disebut namanya tak ada lain yang keluar melainkan pujian kebaikan kecuali pada mata mereka yang rosak hatinya kerana sifat dengki dan irihati maka keburukan jugalah yang kelihatan. Mereka akan menyangka bantuan yang dihulurkan tidak ikhlas, untuk mendapat nama, populariti, untuk menunjuk-nunjuk dan sebagainya.  

Bagi yang memegang payung mudarat pula mereka bakal membawa virus kegelapan. Kehadiran mereka dalah kehidupan bakal membawa mudarat kegelapan dalam kehidupan orang lain. Sebagai contoh mereka yang telah berkahwin tetapi merupakan seorang kaki mabuk. Maka keadaannya ini bakal menjejaskan isterinya, anak-anaknya, keluarganya, mertuanya, kerjanya dan sebagainya. Kaki dadah, kaki perempuan, kaki judi dan segala macam jenis kaki bakal memegang payung mudarat yang saya namakan tadi. Bukankah keadaan ini merupakan satu keadaan yang jelas dan nyata?

Saya pernah bertemu dengan penagih dadah yang mana keadaan beliau itu menjejaskan semua orang di sekelilingnya hinggakan mereka semua berputus asa terhadapnya. Saya juga pernah bertemu seorang isteri yang curang pada suaminya yang seterusnya menyebabkan rumahtangganya hancur, anak-anaknya bertempiaran dan seterusnya menghadapi masalah dengan majikan, keluarga, adik-beradik, mertua, ipar-duai dan sebagainya.

Mereka yang membawa payung manfaat ini pula ada yang pasif dan ada yang aktif. Yang pasif akan membuat sesuatu kebajikan hanya untuk dirinya sendiri dan mungkin kepada keluarganya namun bagi mereka yang aktif mereka akan mencari jalan memanfaatkan seramai yang mungkin, selama yang mungkin dengan usaha-usaha dakwah. Begitu juga mereka yang membawa payung mudarat ini mereka juga ada yang pasif dan melakukan kerosakan yang terhad hanya pada sendiri namun ada juga yang mengajak orang lain untuk melakukan kerosakan tersebut.

Persoalannya payung apakah yang kita bawa selama hari ini?

Untuk menerangkan dengan lebih lanjut lagi saya terangkan kisah payung manfaat dan payung mudarat ini dengan menggunakan analogi hati yang bersih dan hati yang kotor dalam topik yang seterusnya.

Faizal Yusup Al Haj
0166667430
Minda Akhirat
Hidup Kena Cool, Hati kena Mulia...
https://mindaakhirat.blogspot.com/

PS - Sekiranya anda membaca semua 70 bab dalam blog Minda Akhirat ini mengikut tertib dan susunannya saya percaya sesuatu akan berlaku di dalam hati anda dengan izin Allah Taala. Ia akan membawa kebaikan yang banyak dalam hidup anda. Percayalah. Kalau anda tak percaya, bacalah!

PSS - Anda juga boleh menonton semua pengisian ini dalam bentuk video di Instagram Minda_Akhirat. Layari ;

 

KEMBALI KE PANGKAL JALAN

 HATI YANG BERSIH


Dalam gambarajah di bawah ini bulatan putih menunjukkan orang yang membawa payung manfaat atau mempunyai hati yang bersih dan berminda akhirat dan sebaliknya bulatan hitam menunjukkan yang sebaliknya. Bulatan yang besar itu pula menerangkan subset orang-orang yang kita kenali di sekeliling kita. 



Dalam kehidupan seharian kita bakal bertemu dengan ramai orang yang terdiri dari mereka-mereka yang hatinya yang bersih dan juga yang kotor namun dalam kehidupan serba moden ini kebanyakan yang kita temui sebenarnya merupakan orang yang berada dalam kekotoran dan jarang-jarang kita bertemu dengan orang yang bersih hatinya. 

Persoalannya mudah; berapa ramai orang yang kita temui yang mengajak melakukan kebaikan dengan harapan untuk menyelamatkan kita di akhirat kelak kalau dibandingkan berapa ramai pula yang datang dan mengajak kita menuju ke arah kerosakan? Berapa ramai pula yang telah dijodohkan dengan kita sepanjang kehidupan kita yang cuba menyampaikan dakwah namun setiap peluang yang datang berkali-kali itu kita tolak mentah-mentah langsung tidak mempedulikannya. 

Saya yakin dari segi nisbahnya lebih ramai yang mengajak kita untuk mensia-siakan masa kehidupan dan melakukan kerosakan dari yang mengajak ke arah kebaikan.

Tanpa pengetahuan ini, kita akan menjalani kehidupan dengan menyangkakan yang semua orang yang kita temui itu serupa tetapi pada hakikatnya mereka semua berbeza dari tahap keimanannya. Sebenarnya ia terpulang kepada diri kita sendiri untuk memilih siapakah yang bakal menjadi kawan atau lawan diri kita.
 


Bagi mereka yang memilih kawan-kawan yang kotor hatinya maka dia berkemungkinan akan menuju ke arah kegelapan sepertimana yang digambarkan dalam gambarajah di atas. Bermula dengan berkawan dengan mereka-mereka yang menghisap rokok kemudiannya naik pangkat menjadi seorang penghisap dadah, mat rempit, kaki minum, kaki gaduh, kaki seks dan sebagainya. Secara jelas Allah Taala telah memerintahkan kita untuk menjauhkan diri dari kaki judi, kaki minum dan kaki-kaki yang lainnya disamping mengharamkan apa juga yang boleh mengkhayalkan namun inilah yang seronok kita cari.

Pada masa ini secara automatik kita akan menolak orang-orang yang cuba menyampaikan pengisian ugama berdakwah, menyampaikan tazkirah, menegur dan memberi nasihat atau dalam perkataan lain kita menolak insan-insan yang bersih hatinya dari mendekati kita dengan mengutuk dan mengatakan yang mereka kolot dan sebagainya. Kita tutup pintu hati serapat-rapatnya.

    “ Pesanan kepada sahabat-sahabat walau dimana juga anda berada; janganlah mengalah dalam menjalankan usaha dakwah walau anda dikeji dan dicaci. Yakinlah sesungguhnya Allah bersama orang-orang yang benar! “.

Dalam senario kebiasaan seseorang yang berhijrah dari satu tempat ke satu tempat yang baru boleh dilihat akan arah tujunya. Contohnya penghijrahan seorang yang berkahwin dan masuk ke dalam kelompok orang berminda akhirat yang mengutamakan prinsip keislaman maka ia menunjukkan yang penghijrahannya itu ke arah jalan yang lebih baik sebaliknya sekiranya dia berkahwin ke dalam kelompok orang yang bersifat keduniaan maka masalahlah yang bakal menunggu di hadapan. Begitu jugalah penghijrahan rumah ke daerah yang baru, penghijrahan tempat kerja dan sebagainya. Perhatikanlah, adakah anda masuk ke dalam kelompok mereka yang berminda dunia atau adakah anda masuk ke dalam kelompok mereka yang berminda akhirat kerana ia bakal membawa kepada implikasi kehidupan yang berbeza.




Maka dalam hal ini beruntunglah orang-orang yang dijodohkan Allah Taala dengan mereka-mereka yang bersih hatinya, mereka yang beriman kepada Allah kerana sebenarnya Allah mahu membantu kita kembali ke jalan yang benar. Mereka ini akan mengikut hukum, menegur kesilapan, menasihati, menyampaikan pengisian, berdakwah dan sebagainya atas tiket ibadah.

Dan hendaklah ada diantara kamu satu puak yang menyeru kepada kebajikan (mengembangkan Islam) dan menyuruh berbuat segala yang baik, serta melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji). Dan mereka (yang bersifat demikian) itu, ialah orang-orang yang berjaya.

Al-Imran ayat 104 


Dalam senario yang lain pula, kita bertemu dengan keadaan berikut dimana seorang banduan yang baru keluar dari penjara atau seorang penagih dadah yang keluar dari pusat Serenti yang telah insaf dan bila dia dikembalikan ke tempat asalnya maka kemungkinan untuk dia kembali ke jalan asalnya sangat tinggi. Dalam hal ini satu sistem sokongan dan bantuan mesti disediakan untuk mengelakkan dia kembali ke dalam kegelapan. 




Keadaan ini samalah juga mereka-mereka yang telah mula dibuka pintu hatinya oleh Allah Taala dan bila dia kembali ke tempat asalnya maka kemungkinan ia kembali ke jalan kesesatan amatlah tinggi kerana dalam keadaan inilah syaitan dengan segala usaha ikhtiarnya untuk mengajaknya kembali pulang ke dalam kegelapan. Oleh itu carilah insan-insan yang bersih hatinya di sekeliling untuk menyokong dan membantu mengukuhkan keimanan ke tahap yang lebih tinggi. 

Pengukuhan keimanan lebih mudah didapati berjemaah dari mencarinya berseorangan, pada masa yang sama kekuatan berjemaah ini menyebabkan lebih sukar untuk diri ditembusi syaitan. Mungkin inilah sebabnya ganjaran pahala solat berjemaah 27 kali ganda lebih banyak dari solat berseorangan. Ini supaya kita dapat bersilaturahim dan mendekatkan diri dengan orang-orang yang soleh.




Bagi mereka yang faham dan sedar pula bakal memilih untuk berada dalam jalan selamat, jadi mereka akan memilih untuk mendekatkan diri dengan orang-orang yang bersih hatinya iaitu orang-orang yang dekat hatinya dengan Allah Taala. 

Apapun ini semua terletak kepada Allah Taala. Kalau Allah mahukan kebaikan pada kita maka pasti Dia akan mendekatkan diri kita dengan orang yang baik dan begitu juga sebaliknya. Maka terpulanglah kepada kita untuk meneliti, berfikir dan membuat keputusan untuk kebaikan diri kita sendiri.

Mungkin inilah sebabnya kenapa Allah menyuruh kita berdampingan dengan orang-orang yang soleh kerana InshaAllah mereka akan dapat memberikan pengisian keimanan yang bakal membersihkan hati dan meningkatkan iman dengan izin Allah Taala.


Pada masa yang sama beruntunglah mereka-mereka yang mempunyai insan-insan yang putih hatinya di sekeliling mereka yang dapat bantu membantu dan hal dunia mahupun hal akhirat. Insan berhati bersih ini tak tentu perhubungannya dengan kita, mereka mungkin ibu kita, adik beradik, kawan dan sebagainya. Bak lirik lagu kumpulan nasyid Raihan “Iman adalah mutiara, ia tak boleh dijual beli, tak bukan diwarisi dan ia tiada di tepian pantai”. 




Di zaman Nabi S.A.W. satu ketika dahulu di Madinah sewaktu keimanan berada di tahap yang tertinggi atau keimanan di tahap yang tepu maka boleh dikatakan semua orang yang ditemui merupakan orang yang bersih hatinya. Agak sukar untuk berdakwah pada masa ini kerana keadaan ini. Mereka yang bersih hatinya bakal bertemu dengan hati yang bersih juga. Dalam perkataan lain orang yang soleh bertemu dengan orang yang soleh dan sekadar bertukar-tukar fikiran sepertimana yang digambarkan dalam gambarajah di atas.

Kemudian turunnya wahyu dari Allah untuk menjalankan dakwah yang menyebabkan lebih 100,000 sahabat-sahabat Nabi bertebaran di mukabumi untuk berdakwah memandangkan ganjaran yang dijanjikan Allah amat besar. Inilah sebabnya hanya tinggal lebih kurang 10,000 sahabat-sahabat Nabi yang tinggal dan dikebumikan di perkuburan Baqi’ di Madinah. 

Inilah sasaran Rasullullah S.A.W. iaitu untuk menerangkan semua hati makhluk manusia di dunia ini dengan menjadikan kita semua orang-orang Islam yang beriman dan beramal soleh. 

Faizal Yusup Al Haj
0166667430

Minda Akhirat
Hidup Kena Cool, Hati kena Mulia...
https://mindaakhirat.blogspot.com/


PS - Sekiranya anda membaca semua 70 bab dalam blog Minda Akhirat ini mengikut tertib dan susunannya saya percaya sesuatu akan berlaku di dalam hati anda dengan izin Allah Taala. Ia akan membawa kebaikan yang banyak dalam hidup anda. Percayalah. Kalau anda tak percaya, bacalah!

PSS - Anda juga boleh menonton semua pengisian ini dalam bentuk video di Instagram Minda_Akhirat. Layari ;

SIFAT YANG ADA DALAM SEORANG HAMBA ALLAH

 


Jika seorang hamba itu berminda akhirat dengan ilmu yang cukup ;

 
Hatinya Dengan Allah SWT Sentiasa Hidup
Dia akan menjadi seorang yang sentiasa mengingati Allah Taala pada setiap ketika. Hati mereka akan sentiasa berzikir.

Sangat Beradab Dengan Allah SWT
Dia akan mengikut perintah Allah dan meninggalkan larangan Allah. Bertakwa dan sangat berhati-hati dalam apa juga yang dilakukan.

Reda Dengan Ketentuan Allah SWT
Dia reda dengan apa juga dugaan dan ketentuan Allah Taala kerana tahu semua ujian itu adalah sebagai menguji keimanan.

Sabar Dengan Ujian
Dia punya sifat sabar dan tabah dengan segala ujian kerana tahu yang hujan itu datang dari Allah dan penawar itu juga datang dari Allah. Mereka hanya perlu bersabar.

Jiwanya Bersih Hingga Hatinya Terpimpin
Dia punya jiwa yang bersih, punya sifat yang bersih yakni sifat Mahmudah. Oleh yang demikian hatinya akan terpimpin untuk melakukan kebajikan dan juga perkara-perkara yang bermanfaat kerana Allah Taala.

Jiwanya Hidup Sangat Peka
Jiwanya hidup sangat peka. Peka kepada apa sahaja yang berlaku kepada keadaan dan peristiwa yang berlaku di sekelilingnya lantas mengambil Iktibar dan pengajaran dari semua itu.

Ibadah Terutamanya Sembahyang Sangat Berdisiplin
Dia juga amat berdisiplin jalan menjalankan amal ibadah terutamanya solat yang dilakukan berjemaah di awal waktu.

Kalau Dia Memimpin Sangat Dikasihi Dan Disegani
Dia merupakan seorang pemimpin yang disegani dan dikasihi kerana kepimpinan yang dinamik, amanah, bertanggungjawab, adil dan saksama.

Kelihatan Orangnya Tenang
Dia juga sentiasa tenang, bila berduka tidak terlalu duka dan bila suka tidak terlalu suka dalam apa juga keadaan dan situasi biarpun dalam keadaan yang begitu genting.

Wibawanya Tinggi
Orangnya berwibawa, berprinsip, berkarisma, sentiasa positif dan punya daya penarik.

Akhlaknya Mulia Hingga Disegani Orang
Dia punya budi pekerti yang tinggi, penuh dengan sopan santun dan punya akhlak yang baik lagi terpuji.

Kerja-Kerja Tersusun Dan Teratur
Dalam menjalankan kerja, dia menjalankannya dengan adab, peraturan dan tertib. Menjalankan usaha berdasarkan apa yang telah dirancang dan melaksanakannya dengan baik.

Tenang, Tidak Gopoh Dan Berdisiplin
Dalam menjalankan tugas, dia tenang, tidak tergopoh gopoh dan berdisiplin.

Pandai Bergaul Dengan Manusia
Insan itu juga akan pandai bergaul dengan manusia, punya sifat prihatin dan tahu adab pergaulan. Mereka ini disenangi sesiapa pun juga.

Berhadapan Dengan Orang Penuh Dengan Bijaksana Dan Lemah Lembut
Bila berhadapan dengan orang mereka sangat bijaksana dan lemah lembut. Mereka membantu menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh orang lain malah berkata-kata dengan penuh hikmah dan tidak menyakitkan hati pihak yang satu lagi.

Mengutamakan Orang Lain Lebih Dari Dirinya
Andai dia ada dua biji mangga, maka dia akan berikan mangga yang elok kepada orang lain dan mangga yang kurang elok untuk dirinya sendiri. Dia jaga orang lain seumpama dia jaga dirinya sendiri.

Bertimbang Rasa Dengan Manusia
Dia juga sangat bertimbangrasa, bertoleransi dan sudi berkongsi dengan sesiapa pun juga.

Sangat Bersimpati Dengan Orang Yang Susah Dan Mendapat Kemalangan
Bila ada orang yang menghadapi kesusahan atau kemalangan maka dialah antara orang yang pertama yang akan menghulurkan bantuan dan datang untuk menziarah untuk memberikan kata-kata semangat dan sebagainya.

Suka Berkhidmat Dengan Manusia
Dia juga sentiasa sedia untuk berkhidmat dengan sesiapa pun juga apabila mereka memerlukan pertolongan. Mereka ini sanggup menjadi sukarelawan walaupun tanpa upah dan gaji kerana mereka melakukannya ikhlas kerana Allah.

Faizal Yusup Al Haj
0166667430

Minda Akhirat
Hidup Kena Cool, Hati kena Mulia...
https://mindaakhirat.blogspot.com/

PS - Sekiranya anda membaca semua 70 bab dalam blog Minda Akhirat ini mengikut tertib dan susunannya saya percaya sesuatu akan berlaku di dalam hati anda dengan izin Allah Taala. Ia akan membawa kebaikan yang banyak dalam hidup anda. Percayalah. Kalau anda tak percaya, bacalah!

PSS - Anda juga boleh menonton semua pengisian ini dalam bentuk video di Instagram Minda_Akhirat. Layari ;